arrow_upward

Ramadhan/Syawal
Isu 02-3

Yok Jadi ‘Trendsetter’!

Terkilan aku setiap kali menjelang Ramadhan. Bukan kerana perlu berpuasa, tetapi kerana melihat pembaziran di mana-mana dalam membuat persiapan untuk hari raya. Lebih-lebih lagi kerana ia bermula pada bulan mulia, di mana kita sepatutnya mengekang hawa nafsu kita dan memperbaharui iman kita dengan amalan-amalan yang soleh.

“Dan adapun orang-orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan menahan diri dari (keinginan) hawa nafsunya. Maka sungguh, syurgalah tempat tinggal(nya).”

(Q.S. Al-Nazi’at[79]: 40-41)

Sudah tiba masanya kita muhasabah diri dan memikirkan tentang erti hari raya yang sebenar. Bagaimana?

Tanamkan kesedaran, setiap belanja dipertanggungjawabkan

“Alah, semua orang dah nampak saya pakai baju kurung ini tahun lepas. Malulah nak pakai lagi tahun ini.” Itulah antara alasan yang diberikan untuk membeli baju baru setiap tahun. Atau berhelai-helai baju dalam satu tahun, sebab, “Mak Teh dah nampak baju ni pada hari raya pertama. Kenalah pakai baju lain untuk hari raya kedua sebab jumpa Mak Teh lagi.”

Terus-terang aku katakan, aku tak pernah ingat pun baju apa yang dikenakan saudara-mara dan rakan taulanku pada hari raya sebelum ini, hatta semalam. Malah aku pernah terdengar Mak Udaku memberi komen kepada kakak sepupuku, “Cantik baju tahun ni. Baru beli?” Lalu kakak sepupuku menjawab, “Taklah, beli sepuluh tahun lepas.”

(Satu petua dari kakak sepupuku: Kalau hendak baju sentiasa kelihatan baru, apabila menjemurnya di bawah matahari, terbalikkan supaya panahan matahari memancar pada bahagian dalam baju dan bahagian luar tidak cepat pudar warnanya.)

Kalaupun kita rasa hari raya tidak meriah tanpa baju baru, pilihlah untuk menyewa daripada membeli. Walaupun tidaklah ‘baru’ dalam erti kata yang sebenar, ia tetap ‘baru’ pada saudara dan rakan kita kerana mereka tidak pernah melihat kita memakainya.

Satu lagi tabiat kita ialah apabila barang yang kita ada cacat sedikit, kita akan membuangnya dan membeli yang baru, walaupun sebenarnya benda itu masih boleh digunakan lagi atau diperbaiki. Tetapi sedarkah kita bahawa bumi semakin kekurangan sumber asli? Budaya menjaga dan memperbaiki barangan perlu dipupuk semula seperti di zaman nenek moyang kita.

Malu pada Allah, bukan pada manusia

Dalam hal kunjung mengunjung di Syawal pula, kalau kita jemput 50 orang ke rumah, kita akan memesan makanan untuk 100 orang kerana terlalu takut makanan tidak cukup. Bayangkan, beribu-ribu rumah sedemikian membuang makanan dalam sehari kerana sikap kita yang tidak mahu rasa ‘malu’ pada tetamu. Sedangkan ramai orang fakir miskin yang melarat di negara lain mati kebuluran. Sudahlah itu, apabila kita menjemput 50 orang, tidak semestinya semua 50 orang itu akan datang.

Cukuplah dengan memesan makanan mengikut bilangan orang yang dijemput. Kalau tak cukup juga, barulah pesan makanan tambahan. Atau sediakan makanan sampingan lain yang boleh disimpan lama atau diubah-suai dan dimakan hari-hari esok, seperti yang dibuat oleh orang-orang dahulu.

Kita mesti jadikan ia satu budaya yg SEMUA orang (bukan tuan rumah sahaja, tetapi tetamu juga) rasa malu bukan kerana makanan tidak mencukupi, tetapi kerana makanan berlebihan. Malulah pada Allah, bukan pada manusia. Bukankah Allah yang memberikan kita rezeki?

“Maka makanlah yang halal lagi baik dari rezeki yang telah diberikan Allah kepadamu; dan syukurilah nikmat Allah, jika kamu hanya menyembah-Nya.”

(Q.S. An-Nahl [16] : 114)

Bukan sahaja kita patut rasa malu, malah kita sepatutnya takut Allah akan murka atas sikap kita yang membazir itu.

“Makanlah dari rezeki yang baik yang telah kami berikan kepadamu, dan janganlah melampaui batas padanya, yang menyebabkan kemurkaan-Ku menimpamu. Dan barangsiapa dtimpa kemurkaan-Ku, maka sesungguhnya binasalah dia.”

(Q.S. Thahaa [20] : 81)

Pupuk tabiat baik bersama

Tabiat yang baik seperti yang disebut di atas akan lebih mudah jika sama-sama dipersetujui dan disokong orang sekeliling kita.

Buah fikiran ini boleh diperluaskan lagi apabila merancang perjalanan raya beramai-ramai dengan sanak-saudara atau rakan-rakan. Jika dalam sehari sudah merancang untuk sama-sama kunjung ke enam buah rumah, tidak perlulah semua rumah hidangkan makanan yang berat, sehingga senak perut dibuatnya. Hendak rasa kuih raya yang memang setiap rumah wajib ada pun sudah tidak muat lagi. Kalau tidak makan pula, ada yang kecil hati.

Buat cadangan, tahun ini, makan sarapan di rumah Mak King Kong, makan tengahari disediakan Pak Godzilla dan makan malam pula dihidangkan Mak Dino. Tahun hadapan, giliran Pak Obi-wan, Mak Yoda dan Pak Chewbecca pula menyiapkan makanan. Muafakat membawa berkat.

Satu lagi kebiasaan di majlis perayaan ialah juadah bawaan (potluck). Setiap orang yang dijemput perlu membawa satu hidangan untuk majlis tersebut. Dan sudah tentunya setiap orang akan membawa hidangan mengikut bilangan tetamu yang datang kerana hendak memastikan semua orang dapat merasa juadah mereka.

Apa yang boleh diperbaiki ialah untuk menyumbang secara bekumpulan, bukan berseorangan. Umpamanya, 4 orang berkongsi untuk membawa mi goreng, 4 lagi berkongsi untuk bawa sate, dan sebagainya. Jadi tidaklah majilis untuk 20 orang mempunyai makanan untuk 20×20=400 orang.

Belajar juga dari kesilapan dahulu. Umpamanya, aku perhatikan, nasi selalu berlebihan kerana kita lebih suka makan lauk daripada nasi. Tetapi tidak pula dikurangkan nasi pada tahun seterusnya, malah masalah ini berulang saban tahun. Kenapa tidak minta penyedia khidmat katering mengurangkan nasi, umpamanya, jika tetamu dijemput 50 orang, minta lauk pauk untuk 50 orang tetapi nasi hanya untuk 30 orang. Kalau menjemput 120 orang, elak dari mengambil penyedia makanan yang menetepkan had minimum untuk 150 orang.

Penyedia khidmat katering juga perlu memainkan peranan dan ubah cara berniaga. Penuhi permintaan pelanggan yang mahu ubah gaya hidup kepada yang lebih mampan, sama ada mahu kurangkan nasi, mahu memesan mengikut bilangan tetamu secara tepat dan sebagainya.

Walaupun kita tidak dilarang untuk menikmati apa yang disediakan Allah untuk kita di dunia yang fana ini, kita juga diingatkan untuk tidak berlebih-lebihan.

“Wahai anak Adam, pakailah pakaianmu yang indah di setiap masjid, dan makanlah serta minumlah, dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan. Katakanlah: ‘Siapakah yang mengharamkan perhiasan daripada Allah yang telah dikeluarkan-Nya untuk hamba-hamba-Nya dan juga rezeki yang baik?’ Katakanlah: ‘Semuanya itu bagi orang-orang yang beriman dalam kehidupan dunia, khusus (untuk mereka sahaja) di hari kiamat.’ Demikianlah Kami menjelaskan ayat-ayat itu bagi kaum yang mengetahui.”

(Q.S. Al-A’raaf [7]: 31-32)

Hayatilah betul-betul perintah Allah yang disebut di atas. Tanamkan rasa takut untuk berhadapan dengan Allah atas setiap nikmat yang dibazirkan. Gantikan rasa malu dengan manusia kepada malu dengan Allah Yang Memberikan kita segala-galanya. Pupukkanlah sifat prihatin dengan orang-orang yang dekat dengan kita, mudah-mudahan tabiat tidak membazir akan merebak menjadi kebiasaan dalam masyarakat kita. Sebagai seorang Muslim, kita patut mulakan trend baru yang mengajak kepada tabiat baik kerana agama kita memerintahkannya. Yok jadi trendsetter!

~Techie Qari~

Teg:

Anda mungkin juga berminat...