arrow_upward

Muharram/Safar

Isu 05-1

Juga dalam isu ini...


Ujian yang tidak disedari

Kita sudah biasa mendengar amaran untuk tidak terpedaya dengan hiasan dunia. Selalunya kita kaitkan cobaan dunia dengan harta dan anak-anak berdasarkan firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul dan janganlah kamu mengkhianati amanah yang dipercayakan kepadamu, sedang kamu mengetahui.

Dan ketahuilah bahwa hartamu dan anak-anakmu itu hanyalah sebagai cobaan dan sesungguhnya di sisi Allah ada pahala yang besar.”

(Q.S. Al-Anfal [8]: 27-28)

Namun, pernahkah kita kaitkan cobaan dunia dengan makanan?

Makanan adalah nikmat yang Allah s.w.t. berikan kepada kita. Akan tetapi, kita juga boleh diuji melalui makanan.

Allah s.w.t. menyuruh kita untuk memilih makanan yang halal dan baik.

“Maka makanlah yang halal lagi baik dari rezeki yang telah diberikan Allah kepadamu; dan syukurilah nikmat Allah, jika kamu hanya menyembah kepada-Nya.”

(An-Nahl [16]: 114)

Pun begitu, berapa ramai antara kita yang prihatin dalam memilih makanan yang benar-benar halal? Dan di antara kita yang lebih teliti soal halal, berapa kerat yang memastikan makanan itu baik, umpamanya dari sudut kesihatan?

Dari segi pemakanan juga kita dapati banyak pembaziran. Sama ada di restoran, majlis kenduri kahwin atau gerai jalanan, banyak makanan terbuang kerana dibeli bukan mengikut keperluan tetapi mengikut nafsu.

Belum lagi mengambil kira pembelian makanan mengikut trend yang mungkin mahal tetapi kadang-kala tidak sesuai untuk tubuh kita.

Di masa yang sama, harus diakui, ini bukan setakat masalah kekuatan dalaman seorang individu untuk melawan godaan. Kita sering percaya yang kita punya kuasa sepenuhnya atas setiap pilihan makanan kita. Tetapi tahukah anda, syarikat-syarikat makanan telah memperhalusi cara mereka memancing kita untuk ketagih kepada makanan yang kita sebenarnya tidak perlukan? Malah, mereka menjadikan kanak-kanak yang belum mampu mengawal emosi dan keinginan sebagai sasaran utama.

Wahai sahabat sekalian, ambillah peduli tentang apa yang kamu makan.

~Editor~

Teg:

Peringatan dari Tuhan

Mula-mula keju dan susu. Kemudian papaya, nenas, tembikai dan limau. Sekarang, apa-apa makanan yang punyai kadar gula yang tinggi, termasuk nasi putih.

Satu demi stau nimkat ditarik oleh Allah. Aku bukan sahaja harus menelan air liur melihat orang-orang di sekeliling aku melantak pelbagai kek, biskut dan manis-manisan. Aku juga perlu merancang pemakananku dengan teliti setiap hari untuk memastikan aku memperolehi protein dan nutrien yang aku makan mencukupi, serta karbohidrat yang masuk tubuhku tidak melebihi had.

Orang-orang kelilingku pula kadang-kala tidak bertimbang rasa / tidak mahu memahami.

“Makan ajelah, tak payah fikir-fikir.”

“Buat apa nak kawal sangat?”

Tetapi yang menanggungnya aku. Badan yang merana milik aku. Kehidupan yang terganggu kehidupan aku. Ibadat yang terjejas, ibadat aku.

Aku sedar, ini ujian Allah untuk aku. Lalu aku perlu bersabar dan reda.

Setiap kali aku memaksa diriku untuk memakan lebih banyak sayur-sayuran dan buah-buahan, aku mengingatkan diriku tentang janji Allah untuk orang yang bersabar.

“Dan Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa, dan buah-buahan. Dan sampaikanlah kabar gembira kepada orang-orang yang sabar.”

(Q.S. Al-Baqarah [2]: 155)

Setiap kali aku rasa putus asa memikirkan pilihan makananku yang semakin terhad, aku cuba mengubah perasaan itu kepada rasa syukur. Masih ada banyak lagi makanan yang jauh lebih berkhasiat yang boleh aku makan. 

“Dan jika Kami rasakan kepada manusia suatu rahmat dari Kami, kemudian Kami cabutnys (rahmat itu) daripadanya, pasti dia menjadi putus asa lagi amat tidak bersyukur.”

(Q.S. Hud [11]: 9)

“Tidak ada suatu musibah yang menimpa (seseorang), kecuali dengan izin Allah. Dan barangsiapa beriman kepada Allah, nescaya Dia akan memberi petunjuk kepada hatinya. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.”

(Q.S. At-Taghabun [64]: 11)

Setiap kali aku rasa terkilan melihat makanan yang aku tidak boleh makan, aku memujuk hatiku. Apabila di syurga nanti, aku dapat makan apa sahaja dengan puas. Makanan syurga jauh lebih hebat dan lazat daripada apa yang boleh aku bayangkan di dunia ini.

“Mereka beroleh dalam syurga itu pelbagai jenis buah-buahan dan mereka beroleh apa sahaja yang mereka kehendaki;”

(Q.S. Yaasin [36]: 57)

“Maka tinggalah dia dalam kehidupan yang senang lenang lagi memuaskan,

dalam syurga yang tinggi,

buah-buahannya dekat untuk dipetik,

(kepada mereka dikatakan), ‘Makan dan minumlah kamu dengan senang dan penuh kepuasan, disebabkan (amal-amal soleh) yang telah kamu kerjakan pada masa yang lalu (di dunia)!’”

(Q.S. Al-Haqqah [69]: 21-24)

Aku juga sedar, ada banyak hikmah di sebalik ujian ini.

Badan aku terasa lebih sihat, kuat dan ringan untuk lebih banyak beribadah seperti solat sunat, mengaji dan menghafal Al-Quran. Kerana apabila otak terasa lebih cergas dan badan tidak lagi lesu, semangat menjadi lebih kuat.

Aku rasa lebih seronok melakukan ibadah puasa sunat. Apabila aku berpuasa, tidaklah aku asyik fikir tentang apa hidangan aku seterusnya. Tidak juga sibuk buka peti ais dan gerobok mencari snek untuk dikunyah.

Aku juga kini sudah kurang makan ikut nafsu. Sebaliknya, aku makan dengan niat supaya aku ada kekuatan untuk melaksanakan tanggungjawabku.

Aku lebih simpati dan lebih kerap ingat akan saudara-saudaraku yang tidak seuntung aku. Aku sudah kurang membazirkan wang membeli makanan yang bukan-bukan. Oleh itu, aku punya wang tambahan untuk salurkan kepada mereka yang lebih memerlukan.

Ini semua peringatan daripada Allah. Bahawa hidup ini hanya sementara. Apa yang aku ada hanya pinjaman, termasuk nikmat makan. Dan tidak lama lagi aku akan kembali kepada-Nya. Aku cuma perlu bertahan dan bersabar untuk masa yang singkat, demi mendapatkan ganjaran yang lebih hebat dan berkekalan di masa hadapan, insya-Allah.

~Q~

Teg:

Hati-hati dengan makanan ini

Pernah aku keluar dengan seorang kawan dari sekolah lamaku. Dia mengajak aku masuk ke sebuah kafe tempat dia suka lepak tetapi aku menolak kerana ia tidak ada sijil halal.

“Alah, setakat minum kopi dan makan roti sahaja, bukan ada babi pun!” dia tidak puas hati dengan penolakanku. Mungkin dia tidak mahu rasa bersalah melanggani kafe tersebut dengan kerap.

Tahukah kawan-kawan, sebenarnya ada banyak makanan dalam sebuah kafe yang mungkin mengandungi bahan-bahan haram?

  1. Kopi

Secara dasarnya, kopi dibuat daripada biji kopi dan air. Namun, biji kopi kadang-kala dipanggang dengan minyak, termasuk minyak babi yang popular di Asia Tenggara.

Kalaupun kopi itu dipanggang tanpa menggunakan minyak, ramai kawan-kawan kita teruja untuk mencuba pelbagai kopi istimewa yang berperisa dan sedang trending. Hati-hati dengan kopi sedemikian kerana ia mungkin mengandungi bahan yang menggunanakan pelarut berasaskan alkohol atau pengemulsi yang diperoleh daripada haiwan yang tidak halal.

Minuman teh, minuman tenaga (energy drinks), jus atau minuman yang ditapai seperti Kombucha juga mempunyai risiko yang sama.

  1. Teh mutiara (bubble tea)

Bercakap fasal teh, satu minuman yang patut diberi perhatian ialah teh mutiara. Mutiara-mutiara kenyal yang terdapat dalam minuman ini kadang-kala mengandungi gelatin. Gelatin pula boleh dibuat daripada babi atau binatang-binatang yang tidak disembelih mengikut peraturan Islam.

Makanan kenyal seperti marshmallow, gula-gula dan agar-agar juga memerlukan gelatin untuk menghasilkan tesktur yang kenyal.

  1. Roti, kek, pastri dan biskut

Roti boleh mengandungi asid amino, pengemulasi, atau lemak. Bahan-bahan ini, ada yang diambil daripada sayur-sayuran, tetapi ada juga yang diambil daripada binatang yang tidak halal.

  1. Mesra vegan (Vegan-friendly)

Mesra vegan tidak semestinya halal walaupun ia tidak mengandungi bahan daripada binatang. Ini kerana ia masih boleh mengandungi alkohol atau ekstrak vanila yang menggunakan alkohol sebagai pelarut yang kekal dalam makanan tersebut.

  1. Yogurt

Gelain adalah agen yang digunakan sebagai pemekat dalam yogurt. Dan, seperti yang dibincangkan sebelum ini, gelatin boleh dibuat daripada sumber yang tidak halal. Yogurt kadang-kadang juga mengandungi enzim daripada binatang yang tidak halal.

Berbalik kepada kawan aku tadi, selepas aku terangkan dengan panjang lebar kenapa aku tidak mahu minum atau makan di kafe itu, dia merungut, “Islam ni susah betullah. Ini tak boleh makan, itu tak boleh makan!”

Tetapi yang sebenarnya, bukan Islam yang menyusahkan, tetapi kita sendiri yang menyebabkan diri kita jadi susah. Jika kita lihat pada dasarnya, makanan yang haram hanya segelintir sahaja.

“Sesungguhnya Dia hanya mengharamkan atasmu bangkai, darah, daging babi, dan apa-apa haiwan yang disembelih dengan (menyebut nama) selain Allah. Maka sesiapa yang terpaksa (memakannya), bukan karena menginginkannya dan tidak (pula) melampaui batas, maka tidak ada dosa baginya. Sungguh, Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang.”

(Q.S. Al-Baqarah [2]: 173)

Segala jenis sayur, buah-buahan dan biji-bijian halal untuk dimakan.

“Maka hendaklah manusia itu memperhatikan makanannya,

Sesungguhnya Kamilah yang telah mencurahkan air melimpah (dari langit),

kemudian Kami belah bumi dengan sebaik-baik belahan.

lalu Kami tumbuhkan dalamnya biji-bijian,

dan anggur dan sayur-sayuran,

dan zaitun dan pohon kurma,

dan kebun-kebun (yang) lebat.

dan buah-buahan serta rumput-rumputan.

(Semua itu) untuk kesenanganmu dan untuk haiwan-haiwan ternakmu.”

(Q.S. ‘Abasa [80]: 24-32)

Binatang yang halal dimakan adalah lebih banyak daripada yang haram, asalkan ia disembelih mengikut hukum Islam. Begitu juga susunya.

“Dan sesungguhnya pada haiwan-haiwan ternak terdapat pelajaran bagimu. Kami memberi minum kamu dari (air susu) yang ada dalam perutnya, dan padanya juga terdapat manfaat yang banyak untukmu, dan daripadanya juga kamu makan.”

(Q.S. Al-Mu’minuun [23]: 21)

Belum lagi mengira nikmat makanan laut yang pelbagai.

“Dan Dialah yang menundukkan lautan (untukmu), agar kamu dapat makan daripadanya daging yang segar (ikan), dan (dari lautan itu) kamu mengeluarkan perhiasan yang kamu pakai. Dan kamu (juga) melihat perahu berlayar padanya, dan agar kamu mencari daripada karunia-Nya, dan agar kamu bersyukur.”

(Q.S. An-Nahl [16]: 14)

Subhanallah! Begitu luasnya rahmat Allah! Bagaimana kita boleh katakan yang Islam itu memberatkan? Ia hanya menjadi berat apabila kita tidak tahu bersyukur dan terlalu ikutkan hawa nafsu kita.

Jika kita berasa sukar mendapatkan makanan halal, puncanya ialah kegagalan kita sendiri mengusahakan perniagaan tersebut. Selain itu, sikap kita yang memandang remeh usaha sesama Islam turut menjadi punca. Bagaimana sektor makanan halal hendak berkembang jika kita tidak memberikannya sokongan, malah memilih makanan yang tidak kita tidak yakin akan status halalnya?

Tambahan pula, banyak makanan yang dibincang di atas adalah makanan yang diproses, bukan makanan asas yang diperlukan tubuh kita. Walaupun Islam tidak melarang kita menikmati makanan ini selagi halal, kebanyakan masanya kita memakannya kerana nafsu, bukannya keperluan. Oleh itu, apa salahnya berusaha lebih sedikit untuk memastikan makanan ini diperoleh daripada sumber yang lebih jelas dan sahih kehalalannya?

Masih mahu makan di kafe itu? Tepuk dada, tanya selera.

Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari rezeki yang baik daripada apa yang Kami berikan kepada kamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika kamu hanya menyembah kepada-Nya.

(Q.S. Al-Baqarah [2]: 172)

~Mat Saleh~

Majlis Ugama Islam Singapura (2025, 21 February). Basic Halal principles, religious reference on food & drinks and Halal-certified establishments. https://www.muis.gov.sg/halal/for-consumers/

HalalCodeCheck. (n.d.). 10 foods you thought were halal (but usually are not).
 
https://halalcodecheck.com/blog/10-foods-you-thought-were-halal-but-definitely-arent/ 

Teg:

Bukan salah aku!

Aku menguap sekali lagi. Argh! Ngantuknya! Aku mahu sambung menulis tetapi otakku rasa lesu, seperti ada kabus di dalamnya. Mataku rasa kuyu dan badanku rasa lesu. Sudah lama aku tidak rasa seperti ini. Aku pasti, ini semua gara-gara donut yang aku lahap tadi.

Bukan aku tak tahu yang roti mempunyai kadar gula dan karbohidrat yang tinggi. Apabila ditambah dengan gula yang disira seperti dalam donut, sudah tentu kadar gula dalam tubuh akan naik secara mendadak apabila memakannya. Tubuh terpaksa mengeluarkan lebih banyak insulin lebih daripada biasa, untuk memproses gula itu menjadi glukos dengan cepat. Glukos yang berlebihan dalam darah diserap ke dalam otot dan lemak untuk disimpan sebagai rizab tenaga. Kerana proses ini berlaku dengan cepat, kadar glukos dalam darah pula menurun secara mendadak. Sel otak yang tidak boleh simpan glukos bergantung kepada glukos dalam darah. Apabila tidak cukup glukos dalam darah, sel otak tidak boleh berfungi secara optimum.

Semenjak aku membaca tentang kesan gula terhadap tubuh, aku mula mengurangkan pengambilan roti dan makanan manis. Tetapi ia bukan sesuatu yang mudah!

Seperti yang dikatakan Bee Wilson, penulis buku The Way We Eat Now, pilihan makanan kita sebahagian besarnya dipengaruhi oleh apa yang sedia ada dan gaya hidup yang sibuk. Pengeluaran gandum, jagung dan bijiran yang berlebihan selepas perang dunia kedua di negara Barat menyebabkan bahan-bahan ini menjadi murah. Ini menggalakkan pembikinan makanan yang diproses secara besar-besaran.

Gandum jika dijual begitu sahaja tidak mendatangkan banyak keuntungan kepada syarikat makanan. Tetapi jika diolah, ia  menjanjikan keuntungan yang besar. Harga hasil makanan yang diproses boleh diletakkan pada harga dua, tiga kali lebih tinggi daripada harga asal bahan-bahannya.

Tepung gandum boleh menjadi menarik jika dibentuk menjadi kek, roti, dan biskut, lebih-lebih lagi apabila digandingkan dengan gula dan perisa. Ia boleh disalut pada ayam menjadi ayam goreng atau nugget yang dibekukan supaya kelihatan lebih ‘sedap’ dan tahan lama. Ia ditambah ke dalam sos dan kicap untuk mengurangkan kos. 

Gaya hidup masa kini yang semakin sibuk juga menggalakkan lagi pengeluaran makanan diproses. Kerana ketiadaan masa untuk memasak bahan mentah segar, ramai dalam kalangan kita memilih makanan yang tahan lama dan cepat disediakan. Roti, biskut dan bijiran dimakan untuk sarapan. Mi segera, hidangan ketuhar gelombang mikro (microwavable food) dan makanan dalam tin dijadikan santapan tengahari dan malam. Buah-buahan dan sayur-sayuran ditinggalkan. Kita makan untuk memuaskan nafsu dan mengenyangkan perut, bukan untuk membekalkan nutrien serta tenaga. 

Tambah pula faktor harga di mana sebahagian makanan diproses lebih murah berbanding bahan mentah. Jika anda seorang ibu beranak enam yang punya tiga dolar lebih untuk belanja, adakah anda akan membeli seikat sayur untuk dimasak hari ini atau sebungkus biskut lebar yang boleh diberikan anak-anak untuk seminggu?

Syarikat pemakanan juga telah memperhalusi cara mereka menggoda kita untuk membeli makanan diproses, meskipun ia tidak diperlukan atau mendatangkan manfaat kepada tubuh. Iklan-iklan makanan yang menggiurkan berada di mana-mana. Snek-snek diletakkan di rak-rak yang mudah dilihat dan diakses di pasar raya. Makanan ringan dibungkus dengan pembungkusan yang cantik dan menarik. Gula dan perisa ditambah supaya membuat kita ketagih untuk membeli dan membeli dan membelinya lagi.

Jadi, bukan salah aku kan, kalau gagal menahan nafsu daripada memakan donut itu? Lebih-lebih lagi apabila ada promosi beli lima dapat satu percuma! 

Nanti dulu. Aku tidak sepatutnya menyerah begitu sahaja kepada syarikat yang hanya mementingkan keuntungan, sedangkan kesihatanku semakin hari semakin terjejas. Selagi aku mampu, aku perlu melawan.

Tiada sesiapa yang sunyi daripada godaan. Oleh itu, aku mesti mempunyai rancangan yang jelas untuk mengurangkan godaan-godaan ini.

Pertama, aku harus makan dengan secukupnya tiga kali sehari supaya tidak asyik mencari kudapan di antara waktu makan.

Kedua, hindari minuman manis. Adikku, Munchkin, kadang-kala menambah sedikit perahan limau kepada air kosong untuk minuman yang menyegarkan. Kadang-kadang, dia akan merendam bunga telang untuk warna menarik. Daun pandan atau halia boleh ditambah pada teh kosong tanpa gula untuk sedikit kelainan.

Ketiga, apabila aku keluar berbelanja di pasar raya, aku harus pastikan yang aku sudah ada senarai barang-barang yang perlu sahaja. Biasanya aku akan keluar berbelanja dengan adikku yang lagi satu, Kuih Pao yang memang hemat dalam berbelanja. Dia akan mengehadkan masa di kedai dan wang yang dibawa untuk mengelak daripada membeli makanan yang tidak perlu. 

Cikgu Espresso kata, dia sendiri lebih suka belanja menggunakan wang tunai daripada menggunakan kad kredit kerana apabila menggunakan kad, terasa seperti tiada had untuk berbelanja.

Membeli secara dalam talian (online)? Baik jangan. Lebih susah hendak kawal nafsu.

Pengaruh syarikat makanan terhadap tabiat pemakanan kita sangat besar. Namun aku yakin, dengan kesedaran serta keazaman yang kuat, aku boleh lepas dari cengkaman mereka.

~Aurora~

Wilson, B. (2019). The way we eat now: How the food revolution has transformed our lives, our bodies, and our world. Fourth Estate.

Vasey, C. (2020). Good sugar, bad sugar: how to power your body and brain with healthy energy. Healing Arts Press.

Teg:

Cikgu Espresso: Isabella Adriani oleh Azidah Abdul Kadir

Kulit bukunya menggambarkan yang novel ini seperti banyak cerita dan drama Melayu yang boleh dijangka kesudahannya. Tiada apa-apa yang istimewa, mahupun kejutan. Ataupun mungkin saya yang sudah jemu dengan plot-plot sedemikian. 

Akan tetapi prejudis saya terhadap jalan cerita Melayu yang klise tidak seharusnya menghalang saya daripada mengesyorkan buku yang bermutu. Saya terpanggil untuk ketengahkan buku ini kerana bahasanya yang baik —walaupun terdapat sedikit kesalahan tatabahasa—serta banyaknya ilmu tentang penyakit diabetes jenis 1 yang saya peroleh.

Isabella seorang remaja yang menghidapi penyakit sedemikian. Ia penyakit yang tidak boleh dikawal dengan hanya memakan ubat atau menjaga makanan tetapi memerlukan suntikan insulin setiap kali sebelum makan mengikut prosedur yang sangat ketat. Jika gagal mengikut prosedur, ia boleh membawa maut.

Bukan mudah untuk hidup dengan penyakit ini, dan penulis berjaya memancing simpati pembaca. Segala dilema, dugaan, dan pergolakan jiwa watak utama digarap dengan baik. Pembaca dibawa menyelami hidup Isabella daripada zaman remaja sehinggalah bergelar seorang ibu, berserta cabaran dalam mengawal penyakitnya pada setiap fasa.

Bacalah novel ini untuk ketahui lebih mendalam tentang penyakit diabetes secara santai, tetapi bersedialah untuk menghadapi plot yang klise.

Teg:

Permainan ‘Pick Your Plate!’

Yok main sambil belajar! Dalam permainan ‘Pick Your Plate!’ ini, kawan-kawan harus pilih hidangan tiga kali sehari – pagi, tengahari dan malam – dengan duit yang sedikit. Di akhirnya, kawan-kawan harus pastikan nutrisi seharian dipenuhi. Bukan senang tahu! Yang paling menarik ialah kawan-kawan boleh memilih hidangan dari pelbagai negara.

Saya belajar tentang bahan-bahan utama dan nutrisi pemakanan bagi bermacam-macam hidangan. Saya tengok gambaran piramid makanan berkali-kali sampai ia betul-betul melekat dalam otak saya. Saya juga belajar beberapa fakta menarik tentang makanan di setiap negara dalam permainan ini.

Untuk bermain, klik pautan ini: https://ssec.si.edu/pick-your-plate 

Kalau kawan-kawan mahu, permainan ini juga boleh dimuat turun ke dalam telefon bimbit. Selamat bermain!

~Munchkin~

Teg:

Mencari Makanan Halal

Dengan kecanggihan teknologi masa kini, apa sahaja maklumat yang kita mahu boleh didapati di hujung jari. Lebih-lebih lagi dengan adanya kecerdasan buatan (AI) dalam enjin carian yang boleh merumuskan informasi daripada pelbagai sumber di internet.

Gambar oleh Markus Spiske

Tetapi hati-hati! Bukan semua maklumat yang disajikan boleh dipercayai! Sudah banyak kali kami tertipu oleh kecerdasan buatan (AI) dari enjin carian Google yang mengesyorkan tempat-tempat makan yang halal. Tetapi apabila diselidiki dengan lebih mendalam, tidak ada bukti langsung yang menunjukkan tempat-tempat makan itu mempunyai sijil halal yang sah ataupun restoran itu dimiliki seorang Muslim. Ada juga yang menjual makanan yang mencurigakan!

Sekarang, kami mengelak mencari tempat makan dengan mencari langsung di Google. Sebaliknya, kami kunjungi laman badan-badan Islam yang mengeluarkan sijil halal. Alhamdulillah, badan-badan Islam semakin canggih. Anda boleh sahaja ke laman mereka untuk memastikan sama ada sesuatu tempat makan atau produk mempunyai sijil halal. Di sini kami senaraikan laman-laman yang mengeluarkan sijil halal di rantau ini.

Halal Malaysia Portal

https://myehalal.halal.gov.my/portal-halal/v1

E-service Halal Establishments (Singapura)

https://halal.muis.gov.sg/halal/establishments

The Central Islamic Council of Thailand

https://www.halal.co.th/en

Lembaga Pengkajian Pangan, Obat-obatan, dan Kosmetika Majelis Ulama Indonesia (LPPOM MUI)

https://halalmui.org/

Official National Commission on Muslim Filipinos(NCMF) Directory app

https://barakah.directory

Atau untuk sahkan halalnya sesuatu produk, pergi laman Islamic Da’wah Council of the Philippines (ICCP)

https://www.idcphalal.org/clients/client-search

Teg: