Hati-hati dengan makanan ini
Pernah aku keluar dengan seorang kawan dari sekolah lamaku. Dia mengajak aku masuk ke sebuah kafe tempat dia suka lepak tetapi aku menolak kerana ia tidak ada sijil halal.
“Alah, setakat minum kopi dan makan roti sahaja, bukan ada babi pun!” dia tidak puas hati dengan penolakanku. Mungkin dia tidak mahu rasa bersalah melanggani kafe tersebut dengan kerap.
Tahukah kawan-kawan, sebenarnya ada banyak makanan dalam sebuah kafe yang mungkin mengandungi bahan-bahan haram?
- Kopi
Secara dasarnya, kopi dibuat daripada biji kopi dan air. Namun, biji kopi kadang-kala dipanggang dengan minyak, termasuk minyak babi yang popular di Asia Tenggara.

Kalaupun kopi itu dipanggang tanpa menggunakan minyak, ramai kawan-kawan kita teruja untuk mencuba pelbagai kopi istimewa yang berperisa dan sedang trending. Hati-hati dengan kopi sedemikian kerana ia mungkin mengandungi bahan yang menggunanakan pelarut berasaskan alkohol atau pengemulsi yang diperoleh daripada haiwan yang tidak halal.
Minuman teh, minuman tenaga (energy drinks), jus atau minuman yang ditapai seperti Kombucha juga mempunyai risiko yang sama.
- Teh mutiara (bubble tea)
Bercakap fasal teh, satu minuman yang patut diberi perhatian ialah teh mutiara. Mutiara-mutiara kenyal yang terdapat dalam minuman ini kadang-kala mengandungi gelatin. Gelatin pula boleh dibuat daripada babi atau binatang-binatang yang tidak disembelih mengikut peraturan Islam.
Makanan kenyal seperti marshmallow, gula-gula dan agar-agar juga memerlukan gelatin untuk menghasilkan tesktur yang kenyal.
- Roti, kek, pastri dan biskut
Roti boleh mengandungi asid amino, pengemulasi, atau lemak. Bahan-bahan ini, ada yang diambil daripada sayur-sayuran, tetapi ada juga yang diambil daripada binatang yang tidak halal.
- Mesra vegan (Vegan-friendly)
Mesra vegan tidak semestinya halal walaupun ia tidak mengandungi bahan daripada binatang. Ini kerana ia masih boleh mengandungi alkohol atau ekstrak vanila yang menggunakan alkohol sebagai pelarut yang kekal dalam makanan tersebut.
- Yogurt
Gelain adalah agen yang digunakan sebagai pemekat dalam yogurt. Dan, seperti yang dibincangkan sebelum ini, gelatin boleh dibuat daripada sumber yang tidak halal. Yogurt kadang-kadang juga mengandungi enzim daripada binatang yang tidak halal.
Berbalik kepada kawan aku tadi, selepas aku terangkan dengan panjang lebar kenapa aku tidak mahu minum atau makan di kafe itu, dia merungut, “Islam ni susah betullah. Ini tak boleh makan, itu tak boleh makan!”
Tetapi yang sebenarnya, bukan Islam yang menyusahkan, tetapi kita sendiri yang menyebabkan diri kita jadi susah. Jika kita lihat pada dasarnya, makanan yang haram hanya segelintir sahaja.
“Sesungguhnya Dia hanya mengharamkan atasmu bangkai, darah, daging babi, dan apa-apa haiwan yang disembelih dengan (menyebut nama) selain Allah. Maka sesiapa yang terpaksa (memakannya), bukan karena menginginkannya dan tidak (pula) melampaui batas, maka tidak ada dosa baginya. Sungguh, Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang.”
(Q.S. Al-Baqarah [2]: 173)
Segala jenis sayur, buah-buahan dan biji-bijian halal untuk dimakan.
“Maka hendaklah manusia itu memperhatikan makanannya,
Sesungguhnya Kamilah yang telah mencurahkan air melimpah (dari langit),
kemudian Kami belah bumi dengan sebaik-baik belahan.
lalu Kami tumbuhkan dalamnya biji-bijian,
dan anggur dan sayur-sayuran,
dan zaitun dan pohon kurma,
dan kebun-kebun (yang) lebat.
dan buah-buahan serta rumput-rumputan.
(Semua itu) untuk kesenanganmu dan untuk haiwan-haiwan ternakmu.”
(Q.S. ‘Abasa [80]: 24-32)
Binatang yang halal dimakan adalah lebih banyak daripada yang haram, asalkan ia disembelih mengikut hukum Islam. Begitu juga susunya.
“Dan sesungguhnya pada haiwan-haiwan ternak terdapat pelajaran bagimu. Kami memberi minum kamu dari (air susu) yang ada dalam perutnya, dan padanya juga terdapat manfaat yang banyak untukmu, dan daripadanya juga kamu makan.”
(Q.S. Al-Mu’minuun [23]: 21)
Belum lagi mengira nikmat makanan laut yang pelbagai.
“Dan Dialah yang menundukkan lautan (untukmu), agar kamu dapat makan daripadanya daging yang segar (ikan), dan (dari lautan itu) kamu mengeluarkan perhiasan yang kamu pakai. Dan kamu (juga) melihat perahu berlayar padanya, dan agar kamu mencari daripada karunia-Nya, dan agar kamu bersyukur.”
(Q.S. An-Nahl [16]: 14)
Subhanallah! Begitu luasnya rahmat Allah! Bagaimana kita boleh katakan yang Islam itu memberatkan? Ia hanya menjadi berat apabila kita tidak tahu bersyukur dan terlalu ikutkan hawa nafsu kita.
Jika kita berasa sukar mendapatkan makanan halal, puncanya ialah kegagalan kita sendiri mengusahakan perniagaan tersebut. Selain itu, sikap kita yang memandang remeh usaha sesama Islam turut menjadi punca. Bagaimana sektor makanan halal hendak berkembang jika kita tidak memberikannya sokongan, malah memilih makanan yang tidak kita tidak yakin akan status halalnya?
Tambahan pula, banyak makanan yang dibincang di atas adalah makanan yang diproses, bukan makanan asas yang diperlukan tubuh kita. Walaupun Islam tidak melarang kita menikmati makanan ini selagi halal, kebanyakan masanya kita memakannya kerana nafsu, bukannya keperluan. Oleh itu, apa salahnya berusaha lebih sedikit untuk memastikan makanan ini diperoleh daripada sumber yang lebih jelas dan sahih kehalalannya?
Masih mahu makan di kafe itu? Tepuk dada, tanya selera.
Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari rezeki yang baik daripada apa yang Kami berikan kepada kamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika kamu hanya menyembah kepada-Nya.
(Q.S. Al-Baqarah [2]: 172)
~Mat Saleh~
Majlis Ugama Islam Singapura (2025, 21 February). Basic Halal principles, religious reference on food & drinks and Halal-certified establishments. https://www.muis.gov.sg/halal/for-consumers/
HalalCodeCheck. (n.d.). 10 foods you thought were halal (but usually are not).
https://halalcodecheck.com/blog/10-foods-you-thought-were-halal-but-definitely-arent/