arrow_upward

Muharram/Safar
Isu 05-1

Bukan salah aku!

Aku menguap sekali lagi. Argh! Ngantuknya! Aku mahu sambung menulis tetapi otakku rasa lesu, seperti ada kabus di dalamnya. Mataku rasa kuyu dan badanku rasa lesu. Sudah lama aku tidak rasa seperti ini. Aku pasti, ini semua gara-gara donut yang aku lahap tadi.

Bukan aku tak tahu yang roti mempunyai kadar gula dan karbohidrat yang tinggi. Apabila ditambah dengan gula yang disira seperti dalam donut, sudah tentu kadar gula dalam tubuh akan naik secara mendadak apabila memakannya. Tubuh terpaksa mengeluarkan lebih banyak insulin lebih daripada biasa, untuk memproses gula itu menjadi glukos dengan cepat. Glukos yang berlebihan dalam darah diserap ke dalam otot dan lemak untuk disimpan sebagai rizab tenaga. Kerana proses ini berlaku dengan cepat, kadar glukos dalam darah pula menurun secara mendadak. Sel otak yang tidak boleh simpan glukos bergantung kepada glukos dalam darah. Apabila tidak cukup glukos dalam darah, sel otak tidak boleh berfungi secara optimum.

Semenjak aku membaca tentang kesan gula terhadap tubuh, aku mula mengurangkan pengambilan roti dan makanan manis. Tetapi ia bukan sesuatu yang mudah!

Seperti yang dikatakan Bee Wilson, penulis buku The Way We Eat Now, pilihan makanan kita sebahagian besarnya dipengaruhi oleh apa yang sedia ada dan gaya hidup yang sibuk. Pengeluaran gandum, jagung dan bijiran yang berlebihan selepas perang dunia kedua di negara Barat menyebabkan bahan-bahan ini menjadi murah. Ini menggalakkan pembikinan makanan yang diproses secara besar-besaran.

Gandum jika dijual begitu sahaja tidak mendatangkan banyak keuntungan kepada syarikat makanan. Tetapi jika diolah, ia  menjanjikan keuntungan yang besar. Harga hasil makanan yang diproses boleh diletakkan pada harga dua, tiga kali lebih tinggi daripada harga asal bahan-bahannya.

Tepung gandum boleh menjadi menarik jika dibentuk menjadi kek, roti, dan biskut, lebih-lebih lagi apabila digandingkan dengan gula dan perisa. Ia boleh disalut pada ayam menjadi ayam goreng atau nugget yang dibekukan supaya kelihatan lebih ‘sedap’ dan tahan lama. Ia ditambah ke dalam sos dan kicap untuk mengurangkan kos. 

Gaya hidup masa kini yang semakin sibuk juga menggalakkan lagi pengeluaran makanan diproses. Kerana ketiadaan masa untuk memasak bahan mentah segar, ramai dalam kalangan kita memilih makanan yang tahan lama dan cepat disediakan. Roti, biskut dan bijiran dimakan untuk sarapan. Mi segera, hidangan ketuhar gelombang mikro (microwavable food) dan makanan dalam tin dijadikan santapan tengahari dan malam. Buah-buahan dan sayur-sayuran ditinggalkan. Kita makan untuk memuaskan nafsu dan mengenyangkan perut, bukan untuk membekalkan nutrien serta tenaga. 

Tambah pula faktor harga di mana sebahagian makanan diproses lebih murah berbanding bahan mentah. Jika anda seorang ibu beranak enam yang punya tiga dolar lebih untuk belanja, adakah anda akan membeli seikat sayur untuk dimasak hari ini atau sebungkus biskut lebar yang boleh diberikan anak-anak untuk seminggu?

Syarikat pemakanan juga telah memperhalusi cara mereka menggoda kita untuk membeli makanan diproses, meskipun ia tidak diperlukan atau mendatangkan manfaat kepada tubuh. Iklan-iklan makanan yang menggiurkan berada di mana-mana. Snek-snek diletakkan di rak-rak yang mudah dilihat dan diakses di pasar raya. Makanan ringan dibungkus dengan pembungkusan yang cantik dan menarik. Gula dan perisa ditambah supaya membuat kita ketagih untuk membeli dan membeli dan membelinya lagi.

Jadi, bukan salah aku kan, kalau gagal menahan nafsu daripada memakan donut itu? Lebih-lebih lagi apabila ada promosi beli lima dapat satu percuma! 

Nanti dulu. Aku tidak sepatutnya menyerah begitu sahaja kepada syarikat yang hanya mementingkan keuntungan, sedangkan kesihatanku semakin hari semakin terjejas. Selagi aku mampu, aku perlu melawan.

Tiada sesiapa yang sunyi daripada godaan. Oleh itu, aku mesti mempunyai rancangan yang jelas untuk mengurangkan godaan-godaan ini.

Pertama, aku harus makan dengan secukupnya tiga kali sehari supaya tidak asyik mencari kudapan di antara waktu makan.

Kedua, hindari minuman manis. Adikku, Munchkin, kadang-kala menambah sedikit perahan limau kepada air kosong untuk minuman yang menyegarkan. Kadang-kadang, dia akan merendam bunga telang untuk warna menarik. Daun pandan atau halia boleh ditambah pada teh kosong tanpa gula untuk sedikit kelainan.

Ketiga, apabila aku keluar berbelanja di pasar raya, aku harus pastikan yang aku sudah ada senarai barang-barang yang perlu sahaja. Biasanya aku akan keluar berbelanja dengan adikku yang lagi satu, Kuih Pao yang memang hemat dalam berbelanja. Dia akan mengehadkan masa di kedai dan wang yang dibawa untuk mengelak daripada membeli makanan yang tidak perlu. 

Cikgu Espresso kata, dia sendiri lebih suka belanja menggunakan wang tunai daripada menggunakan kad kredit kerana apabila menggunakan kad, terasa seperti tiada had untuk berbelanja.

Membeli secara dalam talian (online)? Baik jangan. Lebih susah hendak kawal nafsu.

Pengaruh syarikat makanan terhadap tabiat pemakanan kita sangat besar. Namun aku yakin, dengan kesedaran serta keazaman yang kuat, aku boleh lepas dari cengkaman mereka.

~Aurora~

Wilson, B. (2019). The way we eat now: How the food revolution has transformed our lives, our bodies, and our world. Fourth Estate.

Vasey, C. (2020). Good sugar, bad sugar: how to power your body and brain with healthy energy. Healing Arts Press.

Teg:

Anda mungkin juga berminat...