arrow_upward

Ramadhan/Syawal
Isu 02-3

Hobi yang semakin pupus

Tahukah anda, industri fesyen membentuk 10 peratus daripada jejak karbon manusia, menggunakan banyak air dan menyumbang kepada pencemaran sungai?1 Dan… 92 ton tekstil dibuang setiap tahun. Ini bersamaan dengan satu lori baju dibuang di tapak pelupusan sampah setiap saat!2

Satu masalah yang sangat besar yang timbul semasa hari raya ialah bertimbunnya baju-baju yang dibuang untuk memberi laluan kepada baju-baju baru. Setiap tahun, sekolah kami terima timbunan baju-baju terpakai dari masyarakat. Ada yang masih elok, ada yang hanya boleh dibuat kain buruk. Banyaknya timbunan pakaian yang kami terima sampai tidak terpakai semuanya!

Tercetuslah ilham untuk membuat duit tambahan. Cikgu Espresso sangat gembira kerana hobi menjahit yang semakin pupus dihidupkan semula di sekolah kami. Selain dapat menjimatkan belanja, mengitar semula kain-kain dan mengurangkan jejak karbon, kami dapat hasilkan sesuatu yang berguna. Siapa sangka, hobi menjahit mencabar minda dan kreativiti serta mempertingkatkan kemahiran psikomotor (psychomotor skills).

Kalau kawan-kawan hendak berjinak-jinak dengan hobi menjahit, berikut saya cadangkan beberapa benda yang boleh kawan-kawan buat menggunakan kain perca atau baju yang sudah rosak.

Bunga kain

Kain perca boleh digunakan untuk membuat bunga pelbagai bentuk dan warna. Butang, labuci dan manik juga boleh ditanggalkan dari baju-baju rosak dan dikitar semula!

Bunga yang dihasilkan boleh dijadikan kerongsang untuk tudung, penghias beg dan macam-macam lagi.

Kantung putik telinga

Sudah menjadi trend dalam sekolah kami untuk memiliki kantung yang comel ini. Setiap pelajar dalam sekolah kami memilikinya, termasuk kaum Adam! Mudah untuk mencapai fon telinga apabila diperlukan. Tidaklah asyik tercari-cari sahaja.

Kantung ini boleh juga digunakan untuk menyimpan duit syiling atau penyepit rambut.

Selimut

Kata Cikgu Kuih Ros, menjahit selimut menggunakan kain perca memang sudah berzaman-zaman dibuat oleh nenek moyang kita. Sungguh pandai dan rajin orang dahulu mengitar semula barang yang dah rosak. Gunakan kreativiti kawan-kawan menyusun pelbagai bentuk dan warna untuk mendapatkan corak yang menarik. Selimut ini bukan sahaja dapat menghangatkan badan pada malam yang dingin tetapi mencantikkan lagi katil!

Siapa sangka, hobi menjahit sangat menyeronokkan. Lebih-lebih lagi jika dapat buat duit darinya! Kawan-kawan boleh cuba jual barang-barang yang kawan-kawan buat di Etsy!

~Kuih Pao~

Bahan Rujukan

1 Geneva Environment Network. (2022, December 16). Environmental sustainability in the fashion industry. https://www.genevaenvironmentnetwork.org/resources/updates/sustainable-fashion/

2 Earth.org (2022, August 2). 10 stunning fast fashion waste statistics. https://earth.org/statistics-about-fast-fashion-waste/#:~:text=92%20Million%20Tonnes%20of%20Textiles,on%20landfill%20sites%20every%20second

Teg:

Anda mungkin juga berminat...