arrow_upward

Ramadhan/Syawal
Isu 02-3

Kegagalan Kita Sebagai Khalifah

“Dan Dialah yang menjadikan kamu khalifah-khalifah di bumi dan Dia meninggikan sebahagian kamu atas sebahagian (yang lain) beberapa darjat, untuk mengujimu tentang apa yang diberikan-Nya kepadamu. Sesungguhnya Tuhanmu amat cepat siksaan-Nya, dan sesungguhnya Dia Maha Pengampun dan Maha Penyayang.”

(Al-An’aam [6]: 165)

Sebagai seorang Muslim, sememangnya kita sudah maklum bahawa kita ditugaskan oleh Allah s.w.t. sebagai khalifah di bumi. Lalu, adalah tanggungjawab kita untuk menjaganya. Sayangnya, kerap kita mendengar tentang bencana alam dan perubahan cuaca yang sangat mendadak akhir-akhir ini. Perubahan iklim (cliamte change) disebabkan sikap manusia yang tidak prihatin tentang pemuliharaan alam adalah bukti bahawa kita telah gagal sebagai khalifah.

Mungkin anda berfikir, “Dunia memang sudah menuju kehancuran tanpa boleh dihentikan. Bukankah kiamat sudah dekat?”

Ingat! Kehancuran bumi pada hari kiamat suatu hari nanti tidak melepaskan kita daripada kehidupan dan tanggungjawab kita hari ini. Sanggupkah kita menghadap Allah s.w.t. di akhirat nanti dengan dosa-dosa terhadap alam yang kita telah berjanji dengan Allah untuk menjaga?

Sekiranya kita selalu membaca Al-Quran dan menghayati maknanya, kita akan sedar bahawa terdapat banyak peringatan tentang betapa indahnya alam yang Allah telah amanahkan pada kita.

“Siapakah yang telah menciptakan langit dan bumi dan menurunkan untuk kamu air dari langit, lalu Kami tumbuhkan dengannya kebun-kebun berpemandangan indah? Kamu tidak mampu menumbuhkan pohon-pohonnya. Adakah di samping Allah tuhan (yang lain)? Bahkan mereka adalah kaum yang menyimpang (dari kebenaran dengan mempersekutukan Allah).”

(Q.S. An-Naml [27] : 60)

Kesedaran ini sepatutnya mendorong umat Islam untuk memacu kegiatan memulihara alam. Seharusnya umat Islam tunjukkan contoh yang baik dalam hal ini, seperti berjimat dalam penggunaan tenaga, mengurangkan pembelian yang tidak perlu atau menjaga khazanah hutan yang sedia ada.

Isu kali ini berkisar tentang pemuliharaan alam sekitar. Kita mulakan dengan menelusuri sejarah untuk mendalami bagaimana nenek moyang kita dahulu lebih peka dan lebih bijak dalam menjaga hubungan mereka dengan alam. Artikel seterusnya memberikan kita beberapa saranan bagaimana kita boleh elakkan pembaziran semasa hari raya. Kemudian kita mengajak para pembaca sama-sama menginsafi diri dengan mengamati kesan perubahan iklim.

Masih belum terlambat untuk kita menebus dosa-dosa kita. Janganlah biarkan kegagalan hari lepas terus menerus menyebabkan kegagalan kita hari ini. Takut kita akan mendapat kemurkaan Allah kerana sikap tidak peduli kita.

Ayuh! Sama-samalah kita lebih proaktif dalam memelihara alam semulajadi.

~Editor~

Teg:

Anda mungkin juga berminat...