Utamakan yang utama
Allah bertanya: “Berapa tahun lamanya kamu tinggal di bumi?”
Mereka menjawab: “Kami tinggal di bumi sehari atau setengah hari, maka tanyakanlah kepada golongan yang menghitung (malaikat penghitung).”
Allah berfirman: “Kamu tidak tinggal (di bumi) melainkan sebentar sahaja, kalau kamu sesungguhnya mengetahui.”
Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami menciptakan kamu secara main-main (sahaja), dan sesungguhnya kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?
(Q.S. Al-Mu’minin [23]: 112-115)
Membaca makna ayat-ayat Al-Quran ini, aku terkedu. Rasa seperti diri ditegur. Jelas di akhirat nanti, kita akan rasa bahawa hidup kita di dunia sangat singkat. Sebagai seorang Muslim, aku seharusnya sedar bahawa aku diciptakan dengan tujuan. Aku sepatutnya rasa bahawa aku sudah tidak cukup masa untuk membuat seberapa banyak amalan yang aku boleh agar hidup aku yang singkat ini tidak sia-sia.
Semasa aku masih belajar di menara gading, aku berangan, “Kalau aku ada masa, aku hendak belajar tafsir Al-Quran.”
Kemudian waktu aku baru mula bekerja pula, aku pernah berjanji pada diriku, “Kalau aku dapat bonus, aku hendak sedekahkan.”
Pernah aku diserang penyakit radang paru-paru, lalu aku menanamkan azam, “Kalau aku sembuh, aku akan buat ibadah haji.”
Apabila aku mula berjinak-jinak membeli saham, aku berkata, “Kalau dapat untung, aku akan wakafkan untuk madrasah.”
Kalau ada masa… Kalau ada bonus… Kalau aku sihat…Kalau dapat untung… Berapa banyakkah janji yang telah aku buat pada diri sendiri tetapi tidak aku kotakan? Apabila tiba masanya, pelbagai alasan diberikan. Aku perlu masa untuk rehat. Aku perlukan duit itu untuk beli kereta supaya mudah ulang-alik ke kampung. Nantilah, bila dah bersara, aku akan buat ibadah haji.
Jika difikirkan balik, kenapa hendak tunggu? Sempatkah? Kalau mati dulu macam mana? Betulkah belum ada peluang? Ataukah aku sendiri tidak betul-betul berazam dan membuat perancangan secara terperinci?
Bagaimana pula jika kemungkinan-kemungkinan yang aku tunggukan itu semua tidak berlaku? Adakah aku selama-lamanya tidak akan membuat amal kebaikan atau melaksanakan kewajipanku, seperti membuat ibadah haji? Kenapa perlu letakkan bermacam-macam syarat untuk melakukan amalan? Tidakkah rugi nanti? Tidak takutkah Allah akan tanya, apakah yang telah aku lakukan dengan nikmat yang diberikan?
Sudah tiba masanya untuk aku mengubah caraku berfikir tentang aturan kehidupanku. Dan mendidik anak didikan untuk buat yang sama. Buat perancangan dari masa muda lagi.
- Tanamkan sasaran yang terperinci, daripada sasaran yang samar-samar dan tidak menentu seperti ,“Kalau aku ada duit dan masa lebih aku akan laksanakan ibadah haji,” kepada, “Aku akan laksanakan ibadah haji dalam dua tahun.”
- Tetapkan langkah yang konkrit untuk mencapai sasaran tersebut. Umpamanya, “Gaji aku 2000. Pakej haji 12 000. Kalau aku simpan lima ratus setiap bulan, insya Allah aku dapat kumpulkan 12 000 dalam dua tahun.”
- Nilai dengan sejujurnya, manakah yang wajib dan manakah yang bukan keperluan? Ibadah hajikah yang wajib atau membeli kereta? Atur sasaran mengikut keutamaan, bukan mengikut kehendak. Tapis semua godaan lain yang akan membuat kita lupa akan matlamat yang lebih penting.
Sematkan keyakinan yang lebih kuat pada diri sendiri bahawa kehidupan di dunia hanya SEMENTARA dan kehidupan akhirat KEKAL ABADI. Jika kita bandingkan masa di dunia dan di akhirat dengan pandangan sedemikian, kita akan sedar bahawa masa di dunia amatlah pendek. Inilah masanya untuk bekerja keras menanam saham akhirat.
Jika kita benar-benar yakin akan itu, kita tidak akan rasa keperluan untuk membeli kereta sementara masih muda dan sihat untuk menggunakan pengangkutan awam. Kita tidak akan rasa perlu mengadakan majlis kahwin yang gah apabila yang kecil-kecilan sudah memadai. Kita akan rasa rugi jika kita tidak luangkan sedikit masa setiap hari atau sekurang-kurangnya setiap minggu MULAI HARI INI untuk belajar Al-Quran. Kita tinggal di zaman berteknologi. Klik sahaja, pelbagai rancangan agama boleh kita ikuti serta-merta. Tiada alasan untuk tidak menggunakannya.
Utamakan yang utama. Jika ada niat untuk melakukan sesuatu amalan kebaikan, buat perancangan yang teliti dan usaha dengan bersungguh-sungguh untuk sampai ke tahap kita mampu melakukannya. Bukan tunggu durian runtuh baru terfikir hendak buat amalan. Takut tidak sempat.
~Cikgu Hojicha~