Nikmat Itu Ujian
“Adapun manusia apabila Tuhannya mengujinya lalu dimuliakan-Nya dan diberi-Nya kesenangan, maka dia berkata, ‘Tuhanku telah memuliakanku.’
Adapun apabila Tuhannya mengujinya lalu membatasi rezekinya maka dia berkata, ‘Tuhanku menghinakanku.’
Sekali-kali tidak (demikian), sebenarnya kamu tidak memuliakan anak yatim,
Dan kamu tidak saling mengajak memberi makan orang miskin,
Dan kamu memakan harta pusaka secara rakus.
Dan kamu mencintai harta benda dengan kecintaan yang berlebihan.”
(Q.S. Al-Fajar [89]: 15-20)
Sesekali apabila menyaksikan kehidupan orang lain yang lebih miskin atau lebih susah dari kita, kita rasa lega kerana tidak diuji dengan ujian seberat itu. Tetapi kita sering lupa, ujian dari Tuhan tidak datang hanya dalam bentuk kesusahan. Kesenangan juga satu ujian. Seperti yang diingatkan dalam Al-Quran yang bermaksud:
“Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan. Dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan.”
(Q.S. Al-Anbiya’[21]: 35)

Malah, kenikmatan mungkin ujian yang lebih berat kerana kebanyakan manusia tidak sedar bahawa mereka sedang diuji! Kita terus-menerus tenggalam dalam keasyikan dunia, semakin jauh dalam kelalaian dan kealpaan tentang tanggungjawab yang datang bersama nikmat yang Allah berikan. Lebih teruk lagi apabila kita sangka dengan angkuhnya bahawa nikmat yang kita perolehi hanyalah atas usaha kita sendiri. Kita lupa bahawa nikmat itu adalah pemberian dari Allah. Jika Allah tidak berikan kita peluang, kesihatan, ilham dan sebagainya, dan jika Allah tidak mengizinkan, mana mungkin kita akan perolehi nikmat yang kita ada sekarang ini, seperti sindiran ini:
“Maka apabila manusia ditimpa bahaya dia segera berdoa kepada Kami, kemudian apabila Kami berikannya nikmat dari Kami dia berkata: ‘Sesungguhnya aku diberi nikmat ini hanyalah kerana ilmu (kepintaranku).’ Sebenarnya itu adalah ujian, tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.”
(Q.S. Az-Zumar[39]: 49)
Sudah cukupkah kita mengongsi nikmat yang dianugerahkan bersama orang lain? Sudah cukupkah kita menggunakan kepintaran dan ilmu yang kita ada untuk mengajar orang lain? Bersedekah dengan kelebihan wang yang kita ada? Menggunakan kedudukan kita untuk membela dan memuliakan rakan-rakan kita, seperti yang miskin atau yang yatim piatu?
Sama-samalah kita bermuhasabah diri melalui rencana-rencana dalam edisi kali ini yang membicarakan tentang kenikmatan yang Allah s.w.t. telah berikan kepada kita.
Nikmat itu rahmat
Nikmat itu ujian
Nikmat itu tanggungjawab
~Editor~