arrow_upward

Zulkaedah/Zulhijjah
Isu 01-3

Bolehkah Orang Islam Menjadi Kaya?

Menurut Kamus Dewan, ‘kaya’ bererti ‘banyak harta (wang dan sebagainya)’.  Jika kita sebut ‘orang kaya’ pula, pasti sudah terbayang di minda kita seorang yang banyak duit, berpakaian cantik dan mahal, tinggal di rumah mewah dan mempunyai beberapa buah kereta.  Persoalannya, bolehkah orang Islam menjadi kaya?

Gambar: Sam Pearce-Warrilow

Di dalam Islam, mereka yang dianugerahkan kelebihan perlu memberinya kepada yang kekurangan. Yang wajib adalah zakat. Yang sunat adalah sedekah. Jika semua orang Islam yang kaya selalu menginfakkan harta mereka, secara logiknya, susah untuk orang Islam menjadi kaya kerana sudah tentu hartanya susut.

Tambahan lagi, orang Islam tidak boleh melibatkan diri dalam banyak cara untuk menjadi kaya. Umpamanya, orang Islam tidak boleh berjudi atau beli loteri. Orang Islam tidak boleh ambil bunga jika meminjamkan wang pada orang lain. Orang Islam juga tidak boleh ambil pinjaman dari mereka yang mengamalkan riba meskipun niat mereka baik, umpamanya untuk dijadikan modal bagi perniagaan yang halal. Orang Islam tidak boleh jual arak. Semua perkara ini dan banyak lagi perkara lain yang menjanjikan hasil yang menguntungkan tidak boleh dibuat oleh orang Islam.

Itu tidak boleh, ini tidak boleh. Macam mana orang Islam hendak kaya?

Memang benar, di dalam Al-Quran kita dianjurkan supaya tidak cemburu dengan kekayaan seperti firman Allah dalam Al-Quran yang bermaksud:

“Janganlah kamu tujukan kedua matamu kepada nikmat kesenangan yang Kami berikan kepada beberapa golongan antara mereka, dan janganlah kamu berdukacita terhadap mereka dan berendah dirilah kamu terhadap orang-orang yang beriman.”

(Q.S. Al-Hijr [15]: 88)

Malah, kita digalakkan untuk melihat kekayaan kita secara keseluruhannya di dunia dan akhirat, bukan hanya kekayaan di dunia sahaja:

“Barangsiapa yang menghendaki keuntungan di akhirat akan Kami tambah baginya keuntungan itu dan barangsiapa yang menghendaki keuntungan di dunia (semata-mata) Kami berikan kepadanya sebahagian daripada keuntungan dunia dan tidak ada baginya satu bahagian pun di akhirat.”

(Q.S. Asy-Syuura [42]: 20)

Tetapi ini tidak bermakna orang Islam tidak boleh menjadi kaya di alam ini. Zakat yang wajib hanyalah sedikit jika dibandingkan dengan keseluruhan harta kita. Dua per puluhan lima peratus sahaja, bukan dua puluh lima peratus. Sedekah pula hanyalah sesuatu yang digalakkan tetapi tidak diwajibkan. Meskipun kita banyak bersedekah sekalipun, Allah berjanji akan menggantikan dengan yang lebih baik lagi atau yang lebih banyak lagi. Allah Maha Kuasa, Maha Kaya. Berapa banyak pun kita beri pada orang lain, kalau Allah hendak tambahkan lagi, tentu seseorang itu boleh terus-menerus kaya:

“Siapakah orang yang mahu memberi pinjaman kepada Allah, pinjaman yang baik (menafkahkan hartanya di jalan Allah), maka Allah akan melipat gandakan (balasan) kepadanya dengan lipat ganda yang banyak. Dan Allah menyempitkan dan melapangkan (rezeki) dan kepadaNya-lah kamu dikembalikan.”

(Q.S. Al-Baqarah[2]: 245)

Tentang hal perniagaan atau cara untuk meraih wang dan keuntungan yang banyak, haruslah diingati, dalam apa jua yang kita lakukan, untung atau ruginya ditentukan oleh Allah s.w.t.. Walaupun secara dasarnya jalan haram boleh membawa keuntungan yang banyak, ia tetap tidak akan berlaku tanpa izin Allah. Apa yang penting adalah keredaan Allah. Seperti yang diingatkan di dalam Al-Quran:

“Dan sesuatu riba (tambahan) yang kamu berikan agar ia bertambah pada harta manusia, maka ia sekali-kali tidak bertambah pada sisi Allah. Dan apa yang kamu berikan berupa zakat kerana kamu mahukan keredaan Allah, maka mereka itu orang-orang yang perolehi berlipat ganda (pahalanya).”

(Q.S. Ar-Rum [30]: 39)

Jika kita berkeras juga mahu mengamalkan perniagaan atau pekerjaan yang tidak diredai Allah, ia bermakna kita telah merelakan diri kita dianiaya. Seperti mengamalkan riba:

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah saki-baki riba jika kamu benar orang yang beriman. Maka jika kamu tidak melakukannya (meninggalkan sisa riba), maka ketahuilah, bahawa Allah dan Rasul-Nya akan memerangimu. Dan jika kamu bertaubat, maka bagimu pokok hartamu; kamu tidak menganiaya dan tidak (pula) dianiaya.”

(Q.S. Al-Baqarah [2]: 278-279)

Adakah kita ingin menjadi orang yang menganiaya atau dianiaya?

Dari sudut lain pula, sekiranya rezeki kita memang murah walaupun sudah banyak kita infakkan harta kita, bolehkah kita amalkan gaya hidup orang kaya seperti yang dibayangkan di atas?  Tidak salah untuk kita menikmati rezeki yang Allah berikan. Di dalam Al-Quran ada menyebut:

“Wahai anak Adam, pakailah pakaianmu yang indah di setiap masjid, dan makanlah serta minumlah, dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan. Katakanlah: ‘Siapakah yang mengharamkan perhiasan daripada Allah yang telah dikeluarkan-Nya untuk hamba-hamba-Nya dan juga rezeki yang baik?’ Katakanlah: ‘Semuanya itu bagi orang-orang yang beriman dalam kehidupan dunia, khusus (untuk mereka sahaja) di hari kiamat.’ Demikianlah Kami menjelaskan ayat-ayat itu bagi kaum yang mengetahui.”

(Q.S. Al-A’raaf [7]: 31-32)
Gambar: Danilo Capece

Ayat-ayat ini menjelaskan, bahagian orang Islam di dunia pun ada. Namun, dalam kita menikmati kelebihan yang dikurniakan Allah kepada kita, haruslah berhati-hati agar tidak terlalu boros:

“Dan berikanlah kepada kaum kerabatmu akan haknya, dan juga orang miskin dan musafir; dan janganlah kamu membazirkan (hartamu) secara boros. Sesungguhnya pemboros-pemboros itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada Tuhannya.

(Q.S. Al-Israa’ [17]: 26-27)

Kesimpulannya, orang Islam boleh menjadi kaya, dengan izin Allah. Persoalannya bukan ‘Bolehkah Orang Islam Menjadi Kaya?’ tetapi ‘Bolehkah Orang Islam Yang Kaya Rasa Aman?’ Sedangkan kita tahu masih terlalu ramai saudara seIslam kita yang dalam kesusahan. Tepuk dada, tanyalah iman.

~Kuih Pau & Sang Harimau~

Rencana ini telah diubah-suai dari tugasan sekolah kami untuk majalah ini.

Teg:

Anda mungkin juga berminat...