Nikmat Yang Ditarik Balik
Semasa aku kecil, ibu bapa aku memasukkan aku ke dalam kelas agama sambilan pada waktu petang (sekolahku sekolah sekular dan tidak ada pendidikan agama). Mereka juga menghantarku ke kelas mengaji pada waktu malam. Alhamdulillah, berkat pendidikan agama ini, aku mampu mengaji dengan lancar pada usia muda lagi. Ibuku juga rajin membantu dan menyemak hafalanku dari ayat-ayat Al-Quran yang sekolah agama sambilanku telah tetapkan. Ayah pula selalu membaca surah-surah yang dihafalnya dengan kuat semasa dia mengerjakan solat. Ini semua membantuku untuk mudah menghafal ayat-ayat Al-Quran. Aku mampu menghafal satu surah pendek dalam beberapa hari sahaja.

Setelah memasuki menara gading, aku tidak lagi ke kelas agama. Aku juga tidak lagi ada guru mengaji kerana kami sudah berpindah. Tanpa perlu menghadiri kelas, aku tidak lagi perlu mengaji atau menghafal Al-Quran. Ibu bapaku juga tidak menitik-beratkan pendidikan agamaku lagi. Mereka menganggap bahawa apa yang aku pelajari di peringkat menengah sudah mencukupi. Mereka juga memahami bahawa aku terlalu sibuk dengan kelas, tugasan dan akitiviti luar darjah.
Untuk beberapa tahun, aku tidak menyentuh Al-Quran. Di dalam solat, aku hanya membaca surah tiga qul atau surah Al-Kauthar.
Sehinggalah aku mula bekerja. Dengan rahmat Allah, aku terpanggil untuk menyambung pendidikan agamaku. Aku menjumpai satu kursus kelas mingguan untuk orang dewasa lalu mendaftarkan diriku. Pada hari pertama kami mempunyai kelas tafsir, aku diminta membaca beberapa potong ayat dari Al-Quran.
Apabila aku mula membaca, aku terkejut. Aku membaca merangkak-rangkak! Terasa amat malunya aku! Aku rasa terseksa hendak menghabiskan ayat-ayat yang disuruh baca dengan bacaanku yang banyak silap dan amat perlahan seperti kura-kura. Bagaimana mungkin ini terjadi! Aku antara pelajar terbaik di kelas agamaku dulu!
Semenjak hari itu, aku mula membaca Al-Quran lebih kerap. Mula-mula, aku tanamkan azam untuk membaca satu mukasurat Al-Quran sekurang-kurangnya sekali seminggu. Kemudian beberapa kali seminggu. Lama-kelamaan, aku mewajibkan diriku untuk membaca Al-Quran setiap hari selepas solat Maghrib, seperti semasa aku kanak-kanak dahulu. Aku juga mula mengulangkaji ilmu tajwid di masjid. Alhamdulillah, pembacaan Al-Quranku kini lancar semula. Abah…, Ibu…, kebiasaan yang kau paksakan atasku dulu kini menjadi sesuatu yang tidak dapat aku tinggalkan.
Tetapi lain pula tentang hafalanku. Sehingga kini, aku masih terkial-kial untuk menghafal ayat-ayat Al-Quran. Aku boleh mengambil masa sehingga seminggu hanya untuk menghafal sepotong ayat baru yang pendek. Jika ayat itu panjang, aku akan ambil masa berminggu-minggu. Itupun aku perlu mengulangkaji selalu ayat-ayat yang telah aku hafal sebelumnya, jika tidak, aku tidak akan ingat, seolah-olah aku tidak pernah cuba menghafalnya langsung. Aku menyesal kerana tidak menghargai nikmat kecerdasan dan kemudahanku menghafal semasa aku masih muda. Kalaulah aku dahulu terus-menerus mengutamakan tabiat menghafal semenjak muda walaupun tidak ada guru yang menyuruhnya, mungkin Allah tidak akan tarik balik nikmat kecerdasan yang telah diberikan kepadaku.
Wahai anak-anakku! Janganlah sia-siakan nikmat kecerdasan yang telah Allah berikan kepadamu di waktu muda. Jika kamu sia-siakannya, takut nanti Allah akan tarik balik nikmat itu.
Dan sesungguhnya telah Kami berikan hikmah kepada Luqman, iaitu, ‘Bersyukurlah kepada Allah. Dan barangsiapa yang bersyukur, maka sesungguhnya ia bersyukur untuk dirinya sendiri. Dan barangsiapa tidak bersyukur (kufur nikmat), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya, Maha Terpuji’.
(Q.S. Luqman [31]: 12)
~Cikgu Kuih Ros~
Gambar oleh The Dancing Rain di Unsplash