Mengidam walaupun tidak mengandung
“Cikgu, ada mangga lagi tak?” aku menanya.
“Dah habis kot. Tu, papaya ada banyak. Papaya pun banyak vitamin C,” jawab cikgu perkebunanku.
“Hmm… tak naklah papaya. Teringin nak makan mangga.” Aku menutup peti ais dengan hampa.
Cikgu Asam Pedas menggeleng-gelengkan kepala. “Tak mengandung pun boleh mengidam. Inilah masalahnya apabila hidup terlalu senang. Terlalu ikutkan hawa nafsu. Makanan yang tidak ada, dicari-carinya. Malah sanggup bayar lebih mahal untuk ‘terbangkan’ makanan tertentu dari negara-negara lain. Padahal depan mata ada banyak lagi makanan yang sedap lagi berkhasiat. Jangan macam tu. Bersyukur dengan apa yang ada dan jauhkan dari pembaziran,” Cikgu menasihatkan, lalu menyambung, “Dalam surah An-Nahl ayat 114 ada menyebut, maksudnya:
Maka makanlah daripada apa yang dikurniakan kepadamu oleh Allah, yang halal lagi baik, dan bersyukurlah akan nikmat Allah, jika kamu hanya menyembah-Nya semata-mata.”
(Q.S. An-Nahl: 114)
Sudah lama Cikgu Asam Pedas tinggalkanku di dapur tetapi aku masih termenung di situ memikirkan kata-kata cikguku.
Pernah aku dan kawan-kawanku berjalan melalui sebuah restoran yang menghidangkan makanan buffet pada waktu tengahari. Melalui tingkap kaca restoran itu, kami dapat melihat pelbagai hidangan yang ditawarkan untuk pelanggan mereka. Ada bermacam-macam lauk-pauk, berjenis-berjenis mi, minuman pelbagai warna dan perisa, kek, puding, kuih-muih dan lain-lain lagi. Mata rakan sekelasku, Vermilion, terbeliak melihat hidangan makanan yang begitu banyak sekali.
“Banyaknya makanan,” gumamnya.
“Inilah namanya buffet,” aku yang terdengar kata-katanya menjawab. “Setiap pelanggan dikenakan bayaran tetap, umpamanya, tujuh puluh. Kemudian mereka boleh pilih apa sahaja yang mereka mahu makan, seberapa banyak yang mereka mahu makan, hinggalah waktu makan tengahari tamat.”
“Bolehkah mereka habis makan semua makanan tu?” soalnya.
“Memang tak.”
“Isy, membazir betul,” Vermilion mencebik. Mungkin teringat detik-detik dia perlu menahan rasa lapar satu masa dahulu. “Apa yang mereka buat dengan makanan yang tidak habis dimakan?”
Aku sendiri tidak tahu. Tidak pernah ambil tahu.
Aku teringat pula dokumentari yang aku tonton di mana seorang pekerja di sebuah pasar tempatan membuang banyak sayur-sayuran untuk memberi ruang pada stok yang baru di kedainya. Padahal yang lama masih elok lagi, cuma tiada pelanggan yang berkeinginan untuk membelinya pada waktu itu. Demi memancing minat pelanggan, penjual perlu menawarkan pelbagai jenis sayur-sayuran. Sama juga seperti pelbagai juadah buffet yang dihidangkan di dalam restoran. Tetapi kita tidak pernah terfikir, dalam memberi kita pilihan membeli yang luas, berapa banyak makanan yang tidak dibeli terpaksa dibuang, sedangkan ramai penduduk dunia kebuluran.
Rasa bersalah tiba-tiba menyelubungiku. Pernah beberapa kali ibuku sudah merancang untuk memasak sesuatu hidangan tetapi aku atau kakakku memintanya memasak hidangan lain yang bahannya tidak ada dalam peti ais, seperti ketam atau sotong. Padahal peti ais penuh dengan barang-barang dapur lain yang boleh dimasak seperti ikan atau udang. Tetapi demi mengikut kemahuanku atau kakakku, ibuku akan pergi ke pasar untuk membeli apa yang kami inginkan.
Berapa banyakkah orang miskin di luar sana yang tidak dapat makanan kerana mereka tidak mampu? Semata-mata kerana makanan yang ada dalam negeri mereka atau kampung mereka telah dibawa dan dijual pada pelanggan-pelanggan yang lebih berada, yang mampu membayar harga yang tinggi untuk pilihan luas bagi bahan makanan yang dibeli dan tidak dibeli sekaligus?
Berbeza sekali di sekolah kami. Kerana sekolah kami mempunyai kebun yang luas yang kami jaga sendiri, sayur-sayuran dan buah-buahan kami datang langsung dari kebun. Sebab itulah makanan yang dimasak bukan mengikut selera atau keinginan kami pada waktu itu, tetapi mengikut apa yang sudah boleh dipetik pada hari itu. Jika kami mahu makan sesuatu yang tidak ada, kami perlu gunakan wang jajan kami yang amat terhad untuk membelinya di pekan. Kalau tidak, kebulur sahajalah. Lama kelamaan, pelajar seperti aku sudah biasa dengan situasi ini. Tidak lagi selalu ‘mengidam’ macam orang mengandung.
Betul kata Cikgu Asam Pedas.
Aku bangkit dari tempat dudukku dan membuka peti ais semula. Papaya pun papayalah.
~Mat Saleh~