arrow_upward

Ramadhan/Syawal
Isu 01-2

Jom Hafal Al-Quran!

Assalamua’laikum kawan-kawan!

Macam mana amalan di bulan Ramadhan ini? Semoga kita semua bersemangat untuk melakukan seberapa banyak ibadah dalam bulan mulia ini.

Untuk isu kali ini, saya diminta mengongsi cara saya menghafal Al-Quran. Saya gabungkan apa yang Cikgu Espresso pernah ajar kami dulu tentang neurosains dan teknik pembelajaran. Walaupun dia mengajar petua untuk mengingati pelajaran secara umum, saya menerapkan apa yang diajarnya untuk penghafalan saya. Saya menghafal makna dan nombor ayat sekali supaya mudah saya rujuk kembali pada Al-Quran jika perlu.

1) Pertama, saya amati makna setiap perkataan, satu persatu. Jika ayat itu panjang, saya akan bahagikan kepada beberapa bahagian dan menghafal bahagian-bahagiannya.

2) Kemudian saya cuba bayangkan sesuatu yang jitu atau konkrit untuk dikaitkan dengan ayat tersebut, lebih-lebih lagi jika makna ayat Al-Quran itu sangat abstrak. Kadang-kala saya akan kaitkan dengan kehidupan sekeliling atau pengalaman hidup saya. Umpamanya dalam menghafal Surah Qaf ayat ke-2 yang bermaksud

“Bahkan mereka tercengang kerana telah datang kepada mereka seorang pemberi peringatan dari kalangan mereka sendiri, maka berkatalah orang-orang kafir, ‘Ini adalah sesuatu yang amat ajaib.’”

(Q.S. Qaf [50]: 2)

Saya membayangkan seorang yang berserban di tengah-tengah sebuah pasar di padang pasir menyeru kepada Islam, dikelilingi orang ramai yang muka mereka tercengang. (Lagi menarik gambarannya, lagi bagus).

3) Gunakan penglihatan, pendengaran dan hati. Di merata tempat dalam Al-Quran sendiri kita diingatkan untuk sentiasa gunakan penglihatan, pendengaran dan hati, umpamanya

“Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibumu dalam keadaan tidak mengetahui sesuatupun, dan Dia memberi kamu pendengaran, penglihatan dan hati, agar kamu bersyukur.”

(Q.S. An-Nahl [16]: 78)

Ini cara saya dalam mengupas maknanya:

a) Gunakan Penglihatan

Amati setiap perkataan yang hendak dihafal dengan betul-betul. Kemudian tulis dengan tangan (jangan taip! Kajian menunjukkan jika kita menulis, kita lebih mudah mengingati sesuatu kerana menulis memaksa otak kita untuk berfikir apa yang hendak di tulis. Ini akan menguatkan lagi hubungan antara sel-sel otak kita.)

b) Gunakan Pendengaran

Dengar ulang ayat yang hendak dihafal, kemudian cuba lafaz ulang. Jangan cuba ingat sahaja, tetapi sebut ayat itu untuk kita sendiri dengarnya. Saya gunakan aplikasi dalam peranti saya untuk mendengar bacaan oleh Sheikh Mishary Rashid Al-Afasy. (Dalam Teknologi – Aplikasi Al-Quran, Techie Qari ada mengulas beberapa aplikasi telefon bimbit yang boleh digunakan untuk membantu menghafal).

c) Gunakan Hati

Ikhlaskan hati menghafal Al-Quran. Buatlah kerana Allah, bukan kerana cikgu, ibu bapa, kawan-kawan, atau hendak menunjuk-nunjuk. Buatlah kerana kita ingin ingat firman Allah, mendekatkan diri kepada Allah, menyimpan ayat-ayat Al-Quran dalam hati kita agar ia menjadi pedoman dalam hidup kita. Kawan-kawan carilah sebabnya untuk diri sendiri, ya.

Berapa kali untuk melakukan langkah a) dan b) terpulanglah pada kawan-kawan. Secara purata, saya akan menulis dan mengulang ayat yang hendak dihafal sekurang-kurangnya lima kali setiap hari pada waktu pagi (selepas Subuh) dan petang (sebelum Maghrib). Jika saya belum yakin, saya akan mengulanginya lebih banyak kali.

4) Keesokan harinya, atau bila-bila kawan-kawan sudah puas hati dengan hafalan ayat tadi, ulangi apa yang telah dihafal dengan hafalan baru.

5) Saya juga akan mendengar bacaan ayat-ayat yang telah saya hafal sebelum saya tidur. (Ini juga kaedah yang kami belajar dari Cikgu Espresso. Waktu sebelum tidur adalah masa yang sangat baik untuk membaca atau mengulangkaji kerana otak kita akan memprosesnya semasa kita tidur.)

6) Jangan terlalu tegas mengikut jadual sasaran. Yang lebih penting ialah keyakinan yang kita telah hafal ayat itu dengan sebenar-benarnya sebelum melangkah ke ayat seterusnya.

Inilah cara saya. Tidak semestinya semua yang saya kongsi akan berkesan untuk kawan-kawan kerana setiap manusia berbeza. Pandai-pandailah eksperimen dan ubah-suai mana yang patut supaya petua ini lebih mujarab untuk kawan-kawan.

Selamat mencuba! Jangan putus asa tau!

~Penjaga Malam~

Gambar oleh Tumisu di Pixabay

Bahan Rujukan

Oakley, B., Sejnowski, T., & McConville, A. (2018). Learning how to learn: How to succeed in school without spending all your time studying; a guide for kids and teens. Penguin.

Teg:

Anda mungkin juga berminat...