arrow_upward

Ramadhan/Syawal
Isu 02-3

Budaya Berharga Yang Menghargai

Syawal kian mampir. Setiap kali Syawal menjelang, setiap kali itu jugalah aku diingatkan betapa orang-orang Melayu dahulu mempunyai hubungan yang amat rapat dengan alam sekitar dan amat menitik-beratkan penjagaannya. Rumah Melayu dahulu dibina dengan pertimbangan terhadap alam sekitar, menggunakan bahan yang sedia ada di persekitaran. Pemilihan yang teliti menjamin mutu dan kualitinya agar ia dapat bertahan lama. Kuih tat nenas, kuih makmur, kuih bahulu, kuih bangkit – semuanya dalam bentuk bunga atau daun, sama seperti ukiran-ukiran di tiang rumah dan kerusi meja orang dahulu. Ketupat, lontong, lemang, lepat, makanan berbungkus daun, sebuah bahan yang mudah diperolehi, dan mudah juga dibuang kerana sifatnya yang terbiodegradasikan (biodegradable). Lontong goreng, gado-gado, nasi goreng, rojak petis, menggambarkan bagaimana kaum Melayu tidak pernah membazir dengan menggunakan semula makanan yang tidak habis untuk membuat hidangan baru. Makanan Melayu juga banyak yang boleh tahan berminggu jika dimasak dengan cara yang betul, seperti rendang dan sambal goreng pengantin.

Sayangnya, generasi muda Melayu hari ini tidak lagi menghargai budaya yang hebat ini. Kuih tradisional Melayu digantikan dengan kuih yang tiada rupa seperti biskut cip coklat yang bulat atau biskut lidah belang yang hanya menarik perhatian kerana menggunakan pewarna tidak asli tanpa punya rasa istimewa. Orang sekarang gemar memakan makanan Barat seperti pasta, pizza dan pastri yang memuakkan jika makan terlalu banyak dan oleh itu akan dibuang apabila tidak habis. Tambahan pula banyak makanan yang dihidangkan sekarang digoreng dan tiada sayur-mayur, menjadikan Syawal masa untuk menyumbatkan saluran darah dan menghenyakkan jantung dengan makanan yang tidak sihat.

Lihat pula rekabnetuk rumah kampung Melayu dahulu. Rumah kampung biasanya bertangga dan lebih tinggi dari tanah untuk menghindari air banjir atau binatang liar memasuki rumah. Berbeza dengan rumah ‘moden’ sekarang yang berlantaikan konkrit, tidak sesuai dengan iklim di Nusantara lebih-lebih lagi kerana ia menghalang air hujan memasuki tanah, lantas menyebabkan banjir. Pintu utama rumah dahulu juga biasanya menghadap arah matahari terbit, agar rumah tidak terlalu panas. Ini menunjukkan kepekaan masyarakat Melayu dalam memanfaatkan keadaan alam untuk keselesaan dan keselamatan penghuni rumah, di samping memelihara alam. Tidak perlu alat penghawa dingin yang memakan banyak tenaga! Semua ini menunjukkan hubungan yang rapat antara seni bina orang Melayu dengan alam.

Satu lagi aspek yang patut dikagumi tentang masyarakat Melayu dahulu ialah sikap mereka yang tidak suka membazir. Apabila menggunakan sesuatu pokok misalnya, mereka akan menggunakan setiap bahagian pokok itu. Bukan sahaja buah atau bunga yang dipetik digunakan tetapi orang Melayu akan mencari kegunaan untuk daun, batang malah akarnya jika boleh. Malah ada satu pokok yang tumbuh di merata kawasan di Asia Tenggara yang  dikenali sebagai pokok seribu guna. Hendak tahu pokok apa? Tontonlah ‘Upin dan Ipin’ episod 40 hingga ke 42 musim ke 8.

Orang Melayu zaman sekarang patut mengembalikan semula aspek keindahan, kemampanan dan kesihatan dalam budaya kita. Daripada membeli ketupat dan lontong plastik, ketupat yang dianyam dari daun kelapa dan lontong yang dibalut dengan daun pisang bukan sahaja lebih harum, lebih enak dan lebih berkhasiat, tetapi juga mengurangkan penggunaan bahan (iaitu plastik) yang menjadi penyebab utama kerosakan alam sekitar kerana tidak terbiodegradasikan.  Daripada menyediakan hidangan yang tidak boleh ‘dikitar semula’ jika berlebihan, kembalikan kenikmatan memakan makanan Melayu yang boleh diolah menjadi hidangan lain untuk esok dan lusa. Daripada asyik membeli barang yang baru apabila ia rosak (mahupun apabila tiada yang rosak), belajarlah untuk memperbaiki barang-barang yang masih boleh digunakan semula. Orang Melayu dahulu amat peka dan berhati-hati dalam menggunakan dan menjaga nikmat alam kerana mereka benar-benar faham bahawa ia adalah amanah yang akan dipertanggungjawabkan, sebagaimana disebut di dalam Al-Quran,

“Orang-orang yang merosak janji Allah setelah diikrarkan dengan teguh, dan memutuskan apa-apa yang Allah perintahkan supaya dihubungkan, dan mengadakan kerosakan di muka bumi, orang-orang itulah yang memperoleh kutukan dan bagi mereka tempat kediaman yang buruk (Jahannam).”

(Ar-Ra’d [13] : 25)

Akhir sekali, hayatilah puisi indah oleh Tenas Effendy (Effendi, 2004, ditukil dari Thamrin, 2013) ini:

tanda orang memegang adat
alam dijaga, petuah diingat

tanda orang memegang amanah
pantang merusak hutan dan tanah

tanda orang memegang amanat
terhadap alam berhemat cermat

tanda orang berpikir panjang
merusak alam ia berpantang

tanda orang berakal senonoh,
menjaga alam hatinya kokoh

tanda orang berbudi pekerti,
merusak alam ia jauhi

tanda orang berpikir luas,
memanfaatkan hutan ianya awas

tanda orang berakal budi,
merusak hutan ia tak sudi

tanda ingat keanak cucu,
merusak hutan hatinya malu

tanda ingat kehari tua,
laut dijaga, bumi dipelihara

tanda ingat kehari kemudian,
taat menjaga laut dan hutan

tanda ingat kepada Tuhan,
menjaga alam ia utamakan

tanda ingat hidup kan mati,
memanfaatkan alam berhati-hati

tanda ingat adat lembaga,
laut di kungkung hutan dijaga

tanda ingat ke masa datang,
merusak alam ia berpantang

siapa mengenang anak cucunya,
bumi yang kaya takkan dirusaknya

siapa sadar dirinya khlifah,
terhadap alam takkan menyalah

apa tanda hidup beriman,
tahu menjaga kampung halaman

apa tanda hidup berilmu,
memelihara alam ianya tahu

apa tanda hidup terpuji,
alam sekitar ia santuni

apa tanda hidup berakal,
memelihara alam menjadi bekal

apa tanda hidup bermanfaat,
mengunakan alam berhemat-hemat

apa tanda hidup menenggang,
menjaga alam mengikut undang

adat hidup orang beriman,
tahu menjaga laut dan hutan

tahu menjaga kayu dan kayan
tahu menjaga binatang hutan

tebasnya tidak menghabiskan
terbangnya tidak memusnahkan
bakarnya tidak membinasakan

adat hidup memegang adat,
tahu menjaga laut dan selat
tahu menjaga rimba yang lebat
tahu menjaga tanah wilayat
tahu menjaga semut dan ulat
tahu menjaga togok dan belat

tahu menebas memegang adat
tahu menebang memegang amanat
tahu berladang menurut undang
tahu berkebun menurut kanun

beramu tidak merusak kayu
berotan tidak merusak hutan
bergetah tidak merusak rimba
berumah tidak merusak tanah
berkebun tidak merusak dusun
berkampung tidak merusak gunung
berladang tidak merusak padang

adat hidup memegang amanah,
tahu menjaga hutan dan tanah
tahu menjaga bukit dan lembah

berladang tidak merusak tanah
berkebun tidak merusak rimba

~Cikgu Kuih Ros~

Bahan Rujukan

Ainon Ariff & Mohd Nizam Abdul Razak (Directors). (2016) Upin & Ipin Musim 8: Pokok Seribu Guna [DVD]. Les’ Copaque Productions.

Cairns, R. (2021, November 22). Bamboo has been used for thousands of years in Asia. Now, it could help solve construction’s sustainability problem. CNN Style. https://edition.cnn.com/style/article/bamboo-sustainable-building-philippines-bali-hnk-spc-intl/index.html

Hussain, M. A., Mohd Yunos, M. Y., Ismail, N. A., Ariffin, N. F. M., & Ismail, S. (2020). A review of the elements of nature and the Malay cultural landscape through Malay literature. Sustainability12(6), 2154.

Jaffar, S. R. A., Sujud, A., Noor Muhammad, S. J., & Kamarudin, K. (2017, October 10-12). Tradisi vernakular seni bina Melayu dalam teks historiografi Melayu. [Pembentangan Kertas]. Persidangan Antarabangsa Manuskrip Melayu, Kuala Lumpur, Malaysia. https://www.pnm.gov.my/pnm/resources/pdf%20file/PKMM/TRADISI%20VERNAKULAR%20SENI%20BINA%20MELAYU%20TRADISIONAL%20DALAM%20TEKS%20HISTOGRAFI%20MELAYU.pdf

Plester, J. (2016, July 25). Why concrete + rain = flash floods. The Guardian. https://www.theguardian.com/environment/2016/jul/25/why-concrete-rain-flash-floods-weatherwatch

Thamrin, H. (2013). Kearifan lokal dalam pelestarian lingkungan (the lokal wisdom in environmental sustainable). Kutubkhanah16(1), 46-59.
https://ejournal.uin-suska.ac.id/index.php/Kutubkhanah/article/viewFile/233/219

Teg:

Anda mungkin juga berminat...