Aurora: Bumi Lestari oleh Rebecca Ilham
Geram. Kasihan. Terharu. Insaf.
Itulah yang aku rasa semasa membaca buku ini. Jalan cerita utama tentang isu hak orang-orang asli yang dirampas tempat tinggal mereka semata-mata untuk memberi laluan kepada projek empangan hidroelektrik. Daripada hidup bebas dalam hutan, mereka hilang keupayaan untuk berdikari dan terpaksa bergantung kepada keihsanan (yang sebenarnya tiada belas kasihan pun) syarikat pembina empangan tersebut. Terasa geram pula dengan sikap pemerintah, juga syarikat itu, yang bukan sahaja tidak mengotakan janji mereka untuk memperbaiki kehidupan orang-orang asli yang telah mereka halau, malah memaksa orang-orang asli itu membayar mereka untuk elektrik, air dan rumah yang mereka diami! Sedangkan selama ini mereka hidup percuma atas tanah di mana nenek moyang mereka telah bertahun-tahun lamanya tinggal. Semuanya atas nama kemajuan. Namun, kemajuan apa namanya jika keperluan asas tidak dipenuhi? Seperti kata seorang watak dalam cerita ini:
“Kemajuan itu pelbagai, Ed. Tetapi malanglah kalau kita mendefinisikan kemajuan itu dengan materi semata-mata, sedangkan pemikiran kita, peradaban kita, kemanusiaan kita, mundur bertapak-tapak ke belakang dengan setiap langkah ke depan mengejar kemajuan duniawi sahaja.”
Mungkin ini sebuah fiksyen. Tetapi aku yakin, perkara ini benar-benar berlaku. Teringat pula aku tentang sejarah kekejaman orang putih yang menjajah tanah orang asli Amerika. Begitu banyak persamaan. Buku ini menginsafkan dan mengingatkanku untuk menyoal erti kemajuan dan apa yang kita boleh lakukan untuk membela nasib khazanah hutan belantara kita dan seluruh isinya.
Walapun buku ini tidaklah terlalu tebal, ada beberapa plot sampingan lain di samping isu yang disebut di atas yang membuat novel ini menarik dibaca. Rahsia kisah silam watak utama dirungkai sedikit demi sedikit, untuk memancingku untuk terus membaca. Bahasa yang digunakan juga amat baik dan mudah difahami. Memang patut pun novel ini memenangi hadiah sastera utusan 2010.