arrow_upward

Ramadhan/Syawal
Isu 01-2

Amalan Paling Mudah

Bulan Ramadhan sudah tiba. Inilah masanya untuk kita memperbanyakkan amalan sunat di samping kita berpuasa. Ada yang memperbanyakkan sedekah, ada yang memperbanyakkan solat sunat, ada yang memperbanyakkan menolong saudara, jiran atau mereka yang tidak berupaya.

Mungkin ada yang berkata, “Aku terlalu sibuk dan penat untuk melakukan itu semua. Duit yang aku ada pula cukup makan sahaja. Bagaimana aku hendak memperbanyakkan amalan?”

Ada amalan yang sangat mudah yang kita boleh lakukan dalam bulan suci ini. Amalan yang tidak memerlukan wang lebih, waktu lapang memanjang, tenaga yang banyak atau kemahiran khusus sekalipun.

Amalan itu ialah mendekatkan diri kita kepada Al-Quran. Alhamdulillah, kita boleh mendapatkan Al-Quran dalam segala macam bentuk dengan mudah dan percuma. Sama ada ke masjid untuk membaca, meminjam senashkah dari saudara semuslim, mendapatkannya dalam talian dari laman web ataupun memuat-turn aplikasinya ke dalam telefon bimbit atau peranti kita.

Mendengar, membaca, menghafal Al-Quran adalah amalan yang mendatangkan pahala. Ia tidak banyak menggunakan tenaga kerana kita tidak perlu gerakkan otot, hanya perlu duduk (malah ada yang mungkin berbaring sambil melakukannya). Seperti yang termaktub di dalam Al-Quran sendiri, surah Ali-Imran ayat 190-191:

“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal. (Iaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): ‘Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka.'”

(Q.S. Ali-Imran [3]: 190-191)

Ia boleh dilakukan di mana-mana pada bila-bila masa, umpamanya dalam perjalanan ke tempat yang dituju, sementara menunggu mesyuarat bermula atau temujanji dengan seseorang, semasa waktu makan, mahupun sedang kita membersihkan rumah atau menganyam ketupat untuk persiapan hari raya. 

Ia sesuai untuk semua lapisan masyarakat, tidak kira di tahap mana pun kita dalam hubungan kita dengan Al-Quran. Jika kita baru hendak berjinak-jinak dengan Al-Quran, mulakan langkah pertama dengan mendengar bacaannya dan mengenal hurufnya. Jika kita sudah pandai membaca sedikit, pertingkatkan kemahiran kita dengan pembelajaran tajwid. Jika kita lebih memerlukan pengisian minda, cuba hadiri kelas tafsir Al-Quran atau dengar penerangan tafsir Al-Quran dalam talian. Jika kita sudah mahir membaca dan sudah yakin akan keistimewaan Al-Quran, cuba menghafalnya. Tidak ada jalan yang lebih baik untuk mendekatkan diri kita pada Allah selain daripada mendekatkan diri pada kalam-Nya.

Kerana itulah dalam isu Ramadhan/Syawal kali ini, kami membawakan rencana yang berkaitan dengan Al-Quran. Kami mengongsi pengalaman kami dengan Al-Quran dan kesannya pada kehidupan kami, petua menghafal Al-Quran dan beberapa aplikasi Al-Quran yang boleh para pembaca pertimbangkan serta sebuah novel fantasi yang menarik yang turut menyelitkan ayat-ayat Al-Quran di dalamnya. Selamat membaca.

~Editor~

Teg:

Anda mungkin juga berminat...