arrow_upward

Ramadhan/Syawal
Isu 02-3

Bencana Alam Salah Kita

Gempa bumi yang dahsyat. Perubahan suhu secara mendadak kepada terlampau panas atau terlampau sejuk. Banjir yang menenggelamkan hampir sepertiga negara. Setiap hari ada sahaja berita tentang bencana alam yang berlaku di merata dunia tanpa mengira bangsa atau kedudukan. Setiap kali itu jugalah aku diingatkan tentang betapa besarnya kuasa Allah dan betapa kerdilnya manusia.

Gambar: Nareeta Martin

“Apakah kamu merasa aman bahawa Dia yang di langit akan menterbalikkan kamu bersama bumi, apabila tiba-tiba ia bergoncang? Atau apakah kamu merasa aman bahawa Dia yang di langit akan mengirimkan kepadamu badai yang berbatu? Maka kelak kamu akan mengetahui bagaimana (akibat mendustakan) peringatan-Ku?”

(Q.S. Al-Mulk [67] : 16-17)

Ngeri. Gerun. Tegak bulu roma memikirkan kemurkaan Allah yang bakal menimpaku sekiranya aku tidak menginsafi diri dan mengambil ikitibar dari peringatan-Nya. Allah sudah memberi amaran bahawa apa yang kita alami sekarang hanya sebahagian daripada akibat perbuatan manusia. Manusia bakal hadapi azab yang lebih berat lagi di akhirat jika mereka terus-menerus melakukan kerosakan.

“Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia; kerana Allah hendak merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar). Katakanlah: ‘Berpergianlah di muka bumi kemudian perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang dahulu. Kebanyakan mereka adalah orang-orang yang mempersekutukan (Allah).”

(Q.S. Ar-Ruum [30] : 41-42)

Menurut ahli tafsir juga, kerosakan dalam ayat yang disebutkan di atas tidak sahaja merujuk kepada apa yang manusia telah lakukan terhadap alam. Ia juga merangkumi segala kesyirikan, kemungkaran, kemaksiatan, serta pelanggaran hukum-hukum Allah.  

Perubahan iklim bukan sahaja isu kemampanan bumi sejagat tetapi juga menimbul isu-isu keadilan sosial. Kesan perubahan iklim lebih terasa oleh negara yang miskin seperti Afrika dan Asia sedangkan negara yang maju dan kaya seperti Amerika Syarikat dan Eropah tidak begitu terkesan, meskipun merekalah yang paling banyak mengeluarkan gas rumah hijau dan mempunyai jejak karbon yang paling tinggi. Ini adalah kerana mereka mampu menangani kesan perubahan iklim dengan lebih baik disebabkan kekayaan dan teknologi yang mereka miliki.

Gambar: Peter Burdon

Hidup dalam negara yang aman dan makmur telah melalaikanku. Jarang-jarang sekali aku memikirkan tentang nasib mereka yang dilanda bencana di Paksitan, Afrika atau Haiti. Adakah setiap kali aku membiarkan televisyen terpasang tanpa penonton atau menghidupkan alat penghawa dingin pada malam yang sejuk, aku telah membunuh seseorang di benua lain? Berapa kalikah aku ketepikan rasa bersalahku apabila melakukan sesuatu yang aku sudah tahu memberi kesan kepada perubahan iklim? Mungkin ada juga dosa-dosa lain yang aku lakukan tanpa aku sedari? Takut memikirkan aku akan disoal tentang semua itu di akhirat nanti.

Sekiranya aku berada di tempat mereka yang dilanda bencana, adakah aku sudah bersedia? Adakah imanku cukup kuat, sehingga aku akan tetap beriman meskipun dalam keperitan? Adakah aku akan mengingati Allah dan memohon pertolongan-Nya jika tempatku dilanda tusnami atau gempa bumi tanpa aku duga? Adakah amalanku sudah mencukupi sekiranya aku mati secara tiba-tiba? Aku perlu buat perubahan mulai sekarang! Aku tidak mahu jadi seperti golongan munafik yang diceritakan di dalam Al-Quran yang hanya mahu bertaubat saat semuanya sudah terlambat:

“Maka tidaklah mereka tunggu melainkan hari kiamat (iaitu) yang akan datang secara mengejut, kerana sesungguhnya telah datang tanda-tandanya. Maka apakah faedahnya bagi mereka kesedaran mereka itu apabila hari kiamat sudah datang?”

(Q.S. Muhammad [47] : 18)

Aku menanamkan azam untuk tidak mensia-siakan peluang mengecapi kesudahan yang lebih bahagia di akhirat nanti. Aku perlu lebih peka dalam memelihara hubunganku dengan alam, dengan manusia dan terutamanya dengan Allah. Mulai hari ini, aku tidak boleh mengaji Al-Quran dan membaca terjemahannya sekali lalu. Aku mesti cuba menghayati dan mengamalkan panduan yang telah Allah gariskan dalam Al-Quran.

“Maka hadapkanlah wajahmu kepada agama yang lurus (Islam) sebelum datang dari Allah suatu hari yang tidak dapat ditolak (kedatangannya), pada hari itu mereka terpisah-pisah.

Barangsiapa yang kafir maka dia sendiriah yang menanggung (akibat) kekafirannya itu; barangsiapa yang beramal soleh maka mereka membuat persiapan untuk diri mereka sendiri (tempat yang menyenangkan).

Kerana Allah membalas orang-orang yang beriman dan beramal soleh daripada karunia-Nya. Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang-orang yang ingkar.”

(Q.S. Ar-Ruum [30] : 43-45)

~Q~

Bahan Rujukan

Weizer, H. (2012). Climate wars: why people will be killed in the 21st century. Polity Press.

Teg:

Anda mungkin juga berminat...