arrow_upward

Zulkaedah/Zulhijjah
Isu 01-3

ManjaZilla: Detektif Indigo oleh Faisal Tehrani

Hai kawan-kawan!

Saya diminta untuk mengesyorkan satu buku untuk kawan-kawan baca. Sebenarnya, saya malas hendak membaca. Saya lebih suka orang lain membacakan buku pada saya.

Gambar: Goodreads.com

Tetapi, Cikgu Wasabi selalu paksa kami baca sekurang-kurangnya satu buku setiap minggu. Selanjur saya perlu baca buku ini untuk matapelajaran Cikgu Wasabi, saya buatlah rumusan untuk majalah rihlah. Sambil menyelam, telan air.

(Penolong Editor: Sambil menyelam, minum air.)

Samalah tu.

Cikgu Espresso yang syorkan buku ini pada saya sebab dia tahu saya suka cerita-cerita detektif. Terkial-kial juga saya hendak habis membacanya (lebih daripada 150 mukasurat!) tetapi akhirnya selesai juga.

Boleh tahanlah. Menyeronokkan juga buku ini. Kisah tentang budak-budak remaja yang belajar di sebuah sekolah khas untuk mengasah kuasa istimewa yang mereka ada. Kemudian menggunakan keistimewaan yang mereka ada untuk kebaikan.

Macam kita jugalah.

(Penolong Editor: Apa kuasa istimewa yang awak ada?)

Hmm… Saya ada deria keenam. Apa sahaja yang berlaku, saya pasti tahu.

(Penolong Editor: Itu bukan kuasa istimewa, itu kepo namanya.)

Hmm… apa-apalah.

Watak-watak utama dalam cerita ini pelbagai ragam. Kadang-kala, mencuitkan hati. Mereka pintar dalam pelbagai aspek kerja-kerja penyiasatan. Banyak perkara yang baru tentang sains forensik yang saya dapat dari buku ini. Macam menonton cerita Crime Scene Investigation pula (drama penyiasatan yang saya curi-curi tengok apabila cikgu tak tahu).

Apabila guru kesayangan mereka dituduh melakukan jenayah, remaja-remaja detektif indigo bertungkus-lumus menggunakan kepintaran dan kuasa istimewa mereka untuk membersihkan nama baik guru mereka. Akhirnya, mereka berjaya dan menjadi wira!

Baca tau, jangan tak baca!

Teg:

Anda mungkin juga berminat...