Satu Klik Dikira Amalan Juga
Hmm…video ini nampak menarik… Klik! Cantiknya kuda ni… Klik! Betul ke ni? Klik!
Melalui teknologi hari ini, mudah untuk kita mencari informasi untuk kerja sekolah mahupun untuk meningkatkan ilmu pengetahuan diri sendiri. Namun, berapa banyak kalikah kita ‘tersasar’ dari tujuan sebenar kerana ‘tergoda’ untuk menklik video atau pautan lain yang lebih menarik?
Inilah cabaran kita hari ini. Bukan kawan-kawan sahaja mengalami keadaan sedemikian. Saya juga. Malah, apabila sudah menonton satu video, acap kali ‘tergoda’ untuk pergi ke video seterusnya.
Mungkin kawan-kawan akan berkata, ‘Alah, sekali-sekala nak hiburkan hati sahaja, takkan tak boleh?’
Nanti dulu. Sekali-sekala kawan-kawan kata?
Sekali-sekala Senang Menjadi Berkali-kali
Tahukah kawan-kawan, setiap kali kawan-kawan klik satu pautan video, apa yang kawan-kawan klik akan diambil perhatian oleh peranti kawan-kawan? Lebih-lebih lagi jika kawan-kawan menggunakan aplikasi Google seperti YouTube atau Google Chrome dalam peranti Android. Di belakang tabir, peranti akan mencari video atau laman web yang mempunyai kesamaan dengan pautan yang kawan-kawan klik pada mulanya. Ini bermakna kalau kawan-kawan ‘sekali-sekala’ klik media yang merepek, sia-sia, atau tidak baik, lebih banyak media sedemikian akan dipaparkan sebagai saranan atau ‘recommendations’ untuk kawan-kawan tonton atau baca di masa hadapan. Dengan mudahnya, kawan-kawan akan ‘tergoda’ daripada sekali-sekala kepada berkali-kali.
Menyuburkan Yang Baik, Mengurangkan Yang Buruk
Jangan anggap satu klik tidak memberi kesan yang besar. Walaupun dengan satu klik, kawan-kawan telah menyumbang kepada angka tontonan video tersebut, dan secara tidak langsung meningkatkan tahap popularnya. Kalau ramai lagi kawan-kawan kita telah membuat video yang tidak baik menjadi popular dan tular, kita menggalakkan lebih ramai orang membuat video-video sedemikian demi mendapatkan wang dnegan mudah kerana video yang popular akan mendapat saluran wang dari iklan-iklan yang diselitkan dengannya. Ia juga seolah-olah memberi sokongan kepada perkara yang tidak baik. Perasankah tidak kawan-kawan, video-video yang buruk dan tidak bermanfaat kini lebih banyak dan mudah diakses daripada video-video yang baik? Ini sedikit sebanyak disebabkan pengguna yang membuatnya popular.

Satu Klik Pun Dikira Amalan Juga
Satu klik pun dikira amalan juga. Itu baru satu klik. Kalau sudah beribu-ribu klik, berapa berat neraca amalan buruk kita? Tidak takutkah kawan-kawan?
Tidak dinafikan, bukan mudah untuk melawan godaan. Cikgu Aiskrim memberikan beberapa saranan untuk mengurangkan peluang ‘digoda’ apabila melayari YouTube:
- Langgani (subscribe) atau ikuti (follow) saluran media yang bermanfaat dan tidak mempunyai unsur-unsur tidak baik. Setiap kali membuka laman YouTube, terus tuju ke bahagian langganan itu. Ini akan membolehkan kawan-kawan mengelak daripada melihat saranan video yang sedang popular atau trending di laman utama yang berkemungkinan besar tidak bermanfaat.
Di masa yang sama, ini akan memberi sokongan kepada mereka yang membuat video-video yang baik dan bermanfaat, malah mungkin menggalakkan lebih ramai kawan-kawan lain untuk melanggan saluran tersebut.
- Cari aktiviti atau hobi lain yang lebih menarik supaya kita tidak cepat mencapai peranti kita apabila sedang bosan atau ada masa senggang yang hendak diisi sementara menunggu kelas bermula atau waktu solat masuk. Bahagian ‘Santai’ kami ada saranan yang kawan-kawan boleh cuba.
- Tajamkan kebolehan untuk menilai mana yang baik dan boleh dipercayai dan mana yang hanya disensasikan untuk mendapat lebih banyak pengunjung dan tontonan (views). Lihat siapa pembikinnya, cari pelbagai sumber lain untuk cerita yang sama untuk menentukan kesahihan maklumat atau berita tersebut dan minta pendapat kawan-kawan atau orang dewasa yang boleh dipercayai.
Marilah sama-sama kita mengurangkan sokongan terhadap perkara yang tidak baik atau sia-sia, sekaligus menambahkan amalan baik kita.
~Aurora~