arrow_upward

Ramadhan/Syawal
Isu 01-2

Bila Hati Rasa Berat

Apabila kita ingin mencari ketenangan, mengurangkan kedukaan atau menyembuhkan segala macam penyakit hati, kita disyorkan membaca Al-Quran. Di dalam Al-Quran Surah Yunus juga Allah berfirman yang bermaksud

“Wahai manusia! Sesungguhnya telah datang kepadamu pelajaran (Al-Qur’an) dari Tuhanmu dan penyembuh bagi penyakit (yang berada) dalam dada dan petunjuk serta rahmat bagi orang yang beriman.”

(Q.S. Yunus [10]: 57)

Aku cuba terapkan Al-Quran dalam kehidupan seharianku. Waktu aku sedih, aku cuba juga membaca Al-Quran. Tetapi kadang-kala, kesedihan itu terlalu berat sehingga bacaanku terganggu kerana asyik menangis. Sebaliknya, aku cuba membaca zikir-zikir yang lazim seperti beristighfar, bertasbih, bertahmid dan bertakbir. Kerana di dalam Surah Ar-Ra’d juga ada tertulis

“(yaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah hanya dengan mengingat Allahlah hati menjadi tenteram.”

(Q.S. Ar-Ra’d [13]: 28)

Bagaimana jika setelah itu, perasaan sedih dan berat itu tetap tidak pudar?

Aku belajar untuk tidak berputus asa. Aku teruskan dengan amalanku untuk membaca Al-Quran atau berzikir. Kalaupun aku tidak merasai mujarabnya saat itu juga, hatta merasai mujarabnya setelah seminggu, sebulan, setahun, aku akan teruskan sahaja bacaanku setiap kali kemurungan yang amat sangat itu melanda. Sekurang-kurangnya masaku tidak terbuang begitu sahaja, meskipun saat itu aku rasa tidak mampu untuk membuat apa jua kerja. Ku ingatkan diriku untuk bersabar. Ini ujianku. Dan aku yakin, mereka yang bersabar pasti mendapat ganjarannya.

“Dan orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal yang saleh, sesungguhnya Kami tempatkan mereka pada tempat-tempat yang tinggi di dalam syurga, yang mengalir sungai-sungai di bawahnya, mereka kekal di dalamnya. Itulah sebaik-baik pembalasan bagi orang-orang yang beramal, yang bersabar dan bertawakkal kepada Tuhannya.”

(Q.S. Al-Ankabut [29]: 58-59)

~Q~

Teg:

Anda mungkin juga berminat...