Ujian yang tidak disedari
Kita sudah biasa mendengar amaran untuk tidak terpedaya dengan hiasan dunia. Selalunya kita kaitkan cobaan dunia dengan harta dan anak-anak berdasarkan firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul dan janganlah kamu mengkhianati amanah yang dipercayakan kepadamu, sedang kamu mengetahui.
Dan ketahuilah bahwa hartamu dan anak-anakmu itu hanyalah sebagai cobaan dan sesungguhnya di sisi Allah ada pahala yang besar.”
(Q.S. Al-Anfal [8]: 27-28)
Namun, pernahkah kita kaitkan cobaan dunia dengan makanan?
Makanan adalah nikmat yang Allah s.w.t. berikan kepada kita. Akan tetapi, kita juga boleh diuji melalui makanan.
Allah s.w.t. menyuruh kita untuk memilih makanan yang halal dan baik.
“Maka makanlah yang halal lagi baik dari rezeki yang telah diberikan Allah kepadamu; dan syukurilah nikmat Allah, jika kamu hanya menyembah kepada-Nya.”
(An-Nahl [16]: 114)
Pun begitu, berapa ramai antara kita yang prihatin dalam memilih makanan yang benar-benar halal? Dan di antara kita yang lebih teliti soal halal, berapa kerat yang memastikan makanan itu baik, umpamanya dari sudut kesihatan?
Dari segi pemakanan juga kita dapati banyak pembaziran. Sama ada di restoran, majlis kenduri kahwin atau gerai jalanan, banyak makanan terbuang kerana dibeli bukan mengikut keperluan tetapi mengikut nafsu.
Belum lagi mengambil kira pembelian makanan mengikut trend yang mungkin mahal tetapi kadang-kala tidak sesuai untuk tubuh kita.
Di masa yang sama, harus diakui, ini bukan setakat masalah kekuatan dalaman seorang individu untuk melawan godaan. Kita sering percaya yang kita punya kuasa sepenuhnya atas setiap pilihan makanan kita. Tetapi tahukah anda, syarikat-syarikat makanan telah memperhalusi cara mereka memancing kita untuk ketagih kepada makanan yang kita sebenarnya tidak perlukan? Malah, mereka menjadikan kanak-kanak yang belum mampu mengawal emosi dan keinginan sebagai sasaran utama.
Wahai sahabat sekalian, ambillah peduli tentang apa yang kamu makan.
~Editor~