Peringatan dari Tuhan
Mula-mula keju dan susu. Kemudian papaya, nenas, tembikai dan limau. Sekarang, apa-apa makanan yang punyai kadar gula yang tinggi, termasuk nasi putih.
Satu demi stau nimkat ditarik oleh Allah. Aku bukan sahaja harus menelan air liur melihat orang-orang di sekeliling aku melantak pelbagai kek, biskut dan manis-manisan. Aku juga perlu merancang pemakananku dengan teliti setiap hari untuk memastikan aku memperolehi protein dan nutrien yang aku makan mencukupi, serta karbohidrat yang masuk tubuhku tidak melebihi had.
Orang-orang kelilingku pula kadang-kala tidak bertimbang rasa / tidak mahu memahami.
“Makan ajelah, tak payah fikir-fikir.”
“Buat apa nak kawal sangat?”
Tetapi yang menanggungnya aku. Badan yang merana milik aku. Kehidupan yang terganggu kehidupan aku. Ibadat yang terjejas, ibadat aku.
Aku sedar, ini ujian Allah untuk aku. Lalu aku perlu bersabar dan reda.
Setiap kali aku memaksa diriku untuk memakan lebih banyak sayur-sayuran dan buah-buahan, aku mengingatkan diriku tentang janji Allah untuk orang yang bersabar.
“Dan Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa, dan buah-buahan. Dan sampaikanlah kabar gembira kepada orang-orang yang sabar.”
(Q.S. Al-Baqarah [2]: 155)
Setiap kali aku rasa putus asa memikirkan pilihan makananku yang semakin terhad, aku cuba mengubah perasaan itu kepada rasa syukur. Masih ada banyak lagi makanan yang jauh lebih berkhasiat yang boleh aku makan.

“Dan jika Kami rasakan kepada manusia suatu rahmat dari Kami, kemudian Kami cabutnys (rahmat itu) daripadanya, pasti dia menjadi putus asa lagi amat tidak bersyukur.”
(Q.S. Hud [11]: 9)
“Tidak ada suatu musibah yang menimpa (seseorang), kecuali dengan izin Allah. Dan barangsiapa beriman kepada Allah, nescaya Dia akan memberi petunjuk kepada hatinya. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.”
(Q.S. At-Taghabun [64]: 11)
Setiap kali aku rasa terkilan melihat makanan yang aku tidak boleh makan, aku memujuk hatiku. Apabila di syurga nanti, aku dapat makan apa sahaja dengan puas. Makanan syurga jauh lebih hebat dan lazat daripada apa yang boleh aku bayangkan di dunia ini.
“Mereka beroleh dalam syurga itu pelbagai jenis buah-buahan dan mereka beroleh apa sahaja yang mereka kehendaki;”
(Q.S. Yaasin [36]: 57)
“Maka tinggalah dia dalam kehidupan yang senang lenang lagi memuaskan,
dalam syurga yang tinggi,
buah-buahannya dekat untuk dipetik,
(kepada mereka dikatakan), ‘Makan dan minumlah kamu dengan senang dan penuh kepuasan, disebabkan (amal-amal soleh) yang telah kamu kerjakan pada masa yang lalu (di dunia)!’”
(Q.S. Al-Haqqah [69]: 21-24)
Aku juga sedar, ada banyak hikmah di sebalik ujian ini.
Badan aku terasa lebih sihat, kuat dan ringan untuk lebih banyak beribadah seperti solat sunat, mengaji dan menghafal Al-Quran. Kerana apabila otak terasa lebih cergas dan badan tidak lagi lesu, semangat menjadi lebih kuat.
Aku rasa lebih seronok melakukan ibadah puasa sunat. Apabila aku berpuasa, tidaklah aku asyik fikir tentang apa hidangan aku seterusnya. Tidak juga sibuk buka peti ais dan gerobok mencari snek untuk dikunyah.
Aku juga kini sudah kurang makan ikut nafsu. Sebaliknya, aku makan dengan niat supaya aku ada kekuatan untuk melaksanakan tanggungjawabku.
Aku lebih simpati dan lebih kerap ingat akan saudara-saudaraku yang tidak seuntung aku. Aku sudah kurang membazirkan wang membeli makanan yang bukan-bukan. Oleh itu, aku punya wang tambahan untuk salurkan kepada mereka yang lebih memerlukan.
Ini semua peringatan daripada Allah. Bahawa hidup ini hanya sementara. Apa yang aku ada hanya pinjaman, termasuk nikmat makan. Dan tidak lama lagi aku akan kembali kepada-Nya. Aku cuma perlu bertahan dan bersabar untuk masa yang singkat, demi mendapatkan ganjaran yang lebih hebat dan berkekalan di masa hadapan, insya-Allah.
~Q~