Cikgu Espresso: Isabella Adriani oleh Azidah Abdul Kadir
Kulit bukunya menggambarkan yang novel ini seperti banyak cerita dan drama Melayu yang boleh dijangka kesudahannya. Tiada apa-apa yang istimewa, mahupun kejutan. Ataupun mungkin saya yang sudah jemu dengan plot-plot sedemikian.

Akan tetapi prejudis saya terhadap jalan cerita Melayu yang klise tidak seharusnya menghalang saya daripada mengesyorkan buku yang bermutu. Saya terpanggil untuk ketengahkan buku ini kerana bahasanya yang baik —walaupun terdapat sedikit kesalahan tatabahasa—serta banyaknya ilmu tentang penyakit diabetes jenis 1 yang saya peroleh.
Isabella seorang remaja yang menghidapi penyakit sedemikian. Ia penyakit yang tidak boleh dikawal dengan hanya memakan ubat atau menjaga makanan tetapi memerlukan suntikan insulin setiap kali sebelum makan mengikut prosedur yang sangat ketat. Jika gagal mengikut prosedur, ia boleh membawa maut.
Bukan mudah untuk hidup dengan penyakit ini, dan penulis berjaya memancing simpati pembaca. Segala dilema, dugaan, dan pergolakan jiwa watak utama digarap dengan baik. Pembaca dibawa menyelami hidup Isabella daripada zaman remaja sehinggalah bergelar seorang ibu, berserta cabaran dalam mengawal penyakitnya pada setiap fasa.
Bacalah novel ini untuk ketahui lebih mendalam tentang penyakit diabetes secara santai, tetapi bersedialah untuk menghadapi plot yang klise.