Yang lebih hebat dari kamu
Dengan teknologi yang semakin canggih, manusia berlumba-lumba untuk membina bangunan yang gah dan tersergam indah. Dari mercu tanda Taj Mahal di India, Sydney Opera House di Australia dan Golden Gate Bridge di San Francisco, kepada menara mencakar langit Burj Khalifa di Dubai, Shanghai Tower di China dan One World Trade Center di New York, terdapat banyak monumen yang menjadi daya tarikan untuk para pengunjung dari pelbagai pelosok dunia kagumi.

Kita mungkin merasa megah dengan apa yang mampu manusia bangunkan sekarang tetapi sebenarnya kaum dahulu lebih hebat dari kita. Pelbagai bangunan dan struktur yang mengagumkan telah dibina beratus-ratus tahun dahulu. Ada yang masih wujud bekas-bekasnya dan ada yang sudah hilang tertimbus di bumi atau terbenam di lautan. Bangunan-bangunan purba ini tidak kurang hebatnya, dengan tiang dan pintu yang tinggi-tinggi serta lukisan dan ukiran yang cantik pada dinding-dindingnya.
Apa perasaan kita ketika melihat binaan-binaan ini? Kagum? Megah? Seronok? Adakah secebis perasaan waspada? Insaf? Gerun?
Rasulullah s.a.w. sendiri menasihati kita untuk berasa insaf jika melawati tempat-tempat sedemikian. Dalam sebuah riwayat dari Bukhari, “Telah bercerita kepadaku Muhammad, telah mengkhabarkan kepada kami ‘Abdullah dari Ma’mar dari Az Zuhriy berkata telah mengkhabarkan kepadaku Salim bin ‘Abdullah dari bapaknya radliallahu ‘anhum bahwa Nabi ﷺ ketika berjalan melewati al-Hijr, Beliau berkata: ‘Janganlah kalian memasuki tempat tinggal orang-orang yang telah menzalimi diri mereka sendiri kecuali jika kalian menangis, kerana dikhuatiri kalian terkena musibah sebagaimana mereka mendapatkannya.’
Kemudian Beliau menutup kepala dan wajah Beliau sedangkan Beliau berada di atas tunggangan.”
(Shahih Bukhari hadis nombor 3129)1
Kawasan Al-Hijr adalah kawasan di mana dahulunya didiami kaum Tsamud. Di dalam Al-Quran dikisahkan tentang Nabi Saleh a.s. yang memberi nasihat kepada kaumnya.
“Dan ingatlah olehmu di waktu Tuhan menjadikan kamu pengganti-pengganti (yang berkuasa) sesudah kaum ‘Aad dan memberikan tempat bagimu di bumi. Kamu dirikan istana-istana di tanah-tanahnya yang datar dan kamu pahat gunung-gunungnya untuk dijadikan rumah; maka ingatlah nikmat-nikmat Allah dan janganlah kamu bermaharajalela di muka bumi membuat kerosakan.”
(Q.S. Al-A’raaf[7] : 74)
Tetapi mereka bersikap sombong, lalu membunuh unta yang dilarang mereka membunuhnya. Lalu azab menimpa mereka, seperti yang dikisahkan dalam Al-Quran.
“Kerana itu mereka ditimpa gempa, maka jadilah mereka mayat-mayat yang bergelimpangan di tempat tinggal mereka.”
(Q.S. Al-A’raaf[7] : 77)
Satu lagi contoh kota purba yang sangat terkenal adalah peninggalan kota Pompeii yang tertimbus oleh abu dari letupan Gunung Vesuvius. Mereka yang terselamat menulis bahawa gegaran bumi sudah terasa dan asap tebal telah mula keluar sehari sebelum gunung berapi itu meletup. Namun, begitu lalai dan taksubnya penduduk Pompeii kepada harta benda dan rumah mereka sehingga tanda-tanda awal bahawa bencana akan berlaku tidak mereka hiraukan. Ramai yang tidak sempat melarikan diri dari hujan batu dan abu serta lahar yang mengalir dengan deras dari Gunung Vesuvius apabila gunung berapi itu akhirnya meletup. Para pengkaji menemui timbunan rangka manusia sedang memeluk barang-barang berharga mereka di belakang gudang-gudang dan jalanraya. Mereka yang mati di situ ditimbus oleh abu yang tebal, meninggalkan lekuk-lekuk berbentuk tubuh yang dijumpai para arkeologi. Seorang ahli arkeologi telah mengisi lekuk-lekuk tersebut dengan plaster sehingga menjadi patung-patung. Patung-patung itu dapat menggambarkan saat-saat akhir yang mengerikan sebelum penduduk Pompeii mati. Ada yang merangkak, cuba melarikan diri, ada yang mempunyai tangan menyilang di atas kepala, seolah-olah cuba melindungi tubuhnya.
Dari bekas-bekas yang ditinggalkan, para arkeologi mengandaikan bahawa kegiatan-kegiatan maksiat / seks bebas adalah sesuatu kebiasaan yang terdapat di mana-mana di kota Pompeii. Terdapat juga tanda-tanda bahawa para penduduknya menyembah pelbagai jenis patung berhala. Besar kemungkinan kesombongan dan keingkaran mereka serta dosa-dosa yang mereka lakukan menyebabkan mereka ditimpa azab yang dahsyat.
“Maka apakah mereka tidak mengadakan perjalanan di muka bumi lalu memerhatikan bagaimana kesudahan orang-orang yang sebelum mereka? Adalah orang-orang yang sebelum mereka itu lebih hebat kekuatannya dan (lebih banyak) bekas-bekas mereka di muka bumi. Maka apa yang mereka usahakan itu tidak dapat menolong mereka.”
(Q.S. Al-Mu’min [40] : 82)
Banyak lagi ayat-ayat dalam Al-Quran mengisahkan tentang kaum-kaum dahulu yang hebat suatu ketika dahulu tetapi lenyap setelah azab menimpa mereka. Meskipun para sejarawan tidak sepakat tentang kota purba mana yang didiami oleh kaum-kaum yang disebut di dalam Al-Quran seperti kaum ‘Ad, Ras, Aikah dan sebagainya, bekas-bekas kota purba yang ahli arkeologi jumpai cukup untuk mengingatkan kita bahawa suatu ketika dahulu sebuah kaum yang serba canggih tinggal di sesuatu tempat sebelum azab besar menimpa dan menghapuskan mereka.
Ingatlah! Manusia mungkin mencipta bangunan-bangunan ini tetapi siapa yang mencipta manusia? Siapa yang mencipta bahan-bahan yang manusia gunakan untuk membina semuanya? Siapa yang menciptakan bumi dan langit dan menundukkannya untuk manusia?
“Tidakkah kamu perhatikan bahwa Allah telah menundukkan apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi untuk (kepentingan)mu dan menyempurnakan nikmat-Nya untukmu lahir dan batin. Tetapi di antara manusia ada yang membantah tentang (keesaan) Allah tanpa ilmu atau petunjuk dan tanpa Kitab yang memberi penerangan.”
(Q.S. Luqman[31] : 20)
Tetapi jika kita tidak boleh bermegah-megahan dengan bangunan-bangunan gah yang kita cipta ini, bagaimana seharusnya sikap kita? Allah telah mengajar kita tentang hal ini dengan firman-Nya kepada Nabi Dawud.
“(Allah berfirman), “Wahai Dawud! Sesungguhnya engkau Kami jadikan khalifah (penguasa) di bumi, maka berilah keputusan (perkara) di antara manusia dengan adil dan janganlah engkau mengikuti hawa nafsu, kerana ia akan menyesatkan engkau dari jalan Allah. Sungguh, orang-orang yang sesat dari jalan Allah akan mendapat azab yang berat, kerana mereka melupakan hari perhitungan.”
(Q.S. Shaad[38] : 26)
Ambillah iktibar dari Nabi Dawud a.s. serta anaknya Nabi Sulaiman a.s. yang telah dianugerahi hikmah, ilmu, kekuatan dan kerajaan. Mereka bersyukur kepada Allah atas nikmat yang diberikan dengan banyak memuji Allah, taat kepada-Nya serta menguruskan kerajaan mereka dengan adil.
“Dan sungguh, Kami telah memberikan ilmu kepada Dawud dan Sulaiman; dan keduanya berkata, “Segala puji bagi Allah yang melebihkan kami dari banyak hamba-hamba-Nya yang beriman.”
(Q.S. An-Naml[27] : 15)
“Mereka (para jin itu) bekerja untuk Sulaiman sesuai dengan apa yang dikehendakinya di antaranya (membuat) gedung-gedung yang tinggi, patung-patung, piring-piring yang (besarnya) seperti kolam dan periuk-periuk yang tetap (berada di atas tungku). Bekerjalah wahai keluarga Dawud untuk bersyukur (kepada Allah). Dan sedikit sekali hamba-hamba-Ku yang bersyukur.
(Q.S. Saba[34] : 13)
“Bersabarlah atas apa yang mereka katakan; dan ingatlah akan hamba kami Dawud yang mempunyai kekuatan; sungguh dia sangat taat (kepada Allah).
(Q.S. Shaad[38] : 17)
Semuanya yang kita bina di dunia yang fana ini akan binasa satu hari nanti. Oleh itu, janganlah bermegah-megahan dengan apa yang kita ada. Ambilllah pelajaran dari doa dalam surah Ali-Imran ayat 26 yang bermaksud:
“Katakanlah: Wahai Tuhan Yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kerajaan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan sesiapa yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa atas setiap sesuatu.”
(Q.S. Ali-Imran[3]: 26)
~Cikgu Dodol~
1 Risalah Muslim. (n.d.) HR. Bukhari: 3129. https://risalahmuslim.id/hadits/bukhari-3129/
Newitz, A. (2021). Four lost cities: a secret history of urban age. W.W. Norton & Company.