Bingkai gambar buatan sendiri
Mengambil gambar sudah menjadi satu hobi bagi ramai orang, terutamanya dengan telefon pintar yang semakin canggih di masa kini. Usai mengambil gambar, sudah tentu mahu meletakkannya di tempat yang boleh dinikmati. Tetapi tunggu dulu! Daripada membeli bingkai gambar, bukankah lebih seronok untuk membuatnya sendiri menggunakan bahan kitar semula? Dapat menjimatkan kos dan menyumbang kepada pemeliharaan alam.
Anda memerlukan

- Majalah lama (jangan pula gunakan majalah yang kakak anda masih mahu baca!)
- Gunting
- Pelekat
- Kertas keras sedikit seperti kadbod (boleh juga gunting dari kotak)
- Pensel
- Pembaris
- Tali (kalau mahu gantung)
Pilih beberapa (sekurang-kurangnya 4) helai majalah yang mempunyai warna yang menarik. Gulungkannya seberapa kecil yang boleh, satu persatu. Kawan-kawan juga boleh gunakan pensel untuk mendapatkan gulungan yang sama tebal. Apabila menggulung, pastikan warna yang kawan-kawan inginkan berada di luar/bawah.


Ukur kertas keras mengikut ukuran gambar dengan jidar (margin) sekurang-kurangnya satu sentimeter. Kalau kawan-kawan hendak letak lebih dari satu gulungan di tepi, boleh besarkan jidar yang diukur. Potong mengikut ukuran.
Letakkan gulungan kertas di keliling kertas keras yang sudah dipotong. Tampalkan pada kertas keras atau pada gulungan yang sudah ditampal. Pastikan ada celah di tepi untuk memasukkan gambar nanti. Potong gulungan yang terlebih.


Kawan-kawan boleh mengikat tali pada bingkai kalau mahu menggantungnya. Jika mahu letak di atas meja, boleh membuat penopang pada belakang bingkai dengan menggulungkan dua lagi kertas. Tampalkan kedua kertas itu kemudian bengkokkan sedikit sebelum menampalnya ke belakang bingkai.
Inilah hasilnya! Selamat membikin!


~Kampung Boy~