Wasiat untuk anakanda
Anakanda, setiap jiwa pasti akan merasai kematian. Itu fakta yang tidak boleh disangkal, seperti yang dinyatakan di dalam Al-Quran.
“Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kemudian hanyalah kepada Kami kamu dikembalikan.”
(Q.S. Al Ankabut [29]: 57)
Cuma kita tidak tahu bila ajal kita. Mungkin esok lusa papa akan tinggalkan dunia ini buat selama-lamanya. Atau mungkin hayat papa masih panjang lagi. Walau apapun, papa sedar, papa perlu siapkan bukan sahaja diri papa tetapi juga mempersiapkan orang-orang yang papa sayang.
Anakanda,
Janganlah rasa pelik atau anggap papa sudah buang tabiat semata-mata kerana papa menyebut tentang persiapan untuk mati. Al-Quran sendiri selalu mengingatkan kita tentang kematian. Setiap kali kita membaca Al-Quran, pasti ada sahaja hal-hal berkaitan mati yang akan timbul. Peringatan bahawa setiap nikmat akan disoal. Penekanan tentang kefanaan dunia ini berbanding kehidupan akhirat yang kekal. Gambaran syurga dan neraka. Sesiapa yang dekat dengan Al-Quran tidak akan dapat lari daripada kesedaran tentang kematian.
Anakanda,
Sebagai satu-satunya waris lelaki papa, ketahuilah bahawa tanggungjawab menjaga ibu dan kakakmu akan pindah kepada kamu setelah papa tiada. Bahagian lebih yang anakanda akan warisi dari harta papa mengikut hukum faraidh adalah untuk tujuan itu. Janganlah pula kamu berdua menagih wang simpanan yang papa sudah hadiahkan kepada ibumu semasa papa masih hidup. Papa harap didikan papa sudah cukup untuk anakanda dan kakakmu faham dan reda dengan ketentuan dan tanggungjawab masing-masing.
Anakanda,
Papa telah berusaha sedaya upaya untuk tidak menyusahkan sesiapa sekiranya papa sudah tiada. Hutang rumah dan kereta, papa sedang berusaha untuk langsaikan agar kamu semua tidak akan dibebani hutang-hutang itu. Barang-barang lama papa yang papa kumpul ketika muda dahulu sudah papa buang atau berikan kepada orang yang boleh memanfaatkannya. Papa tidak mahu kamu rasa terbeban untuk mengemas barang-barang yang papa sendiri tidak lagi gunakan sedang papa masih hidup ini. Bagi pakaian, alat pertukangan dan barang-barang papa yang lain yang kamu atau saudara-mara kita tidak mahu, anakanda sedekahkanlah.
Anakanda,
Papa harap papa sudah membuat persiapan yang cukup untuk diri papa dan keluarga papa untuk menghadapi kematian. Sama-samalah kita saling nasihat-menasihatkan agar berpegang teguh kepada Al-Quran dan Sunnah. Moga-moga kita menghadap Tuhan dengan catatan amal yang tidak perlu digelisahkan.
“Dan sungguh, Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya.
(Ingatlah) ketika dua malaikat mencatat (perbuatannya), satu duduk di sebelah kanan dan yang lain di sebelah kiri.
Tiada suatu ucapan pun yang diucapkannya melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang selalu bersedia.
Dan datanglah sakaratulmaut dengan sebenar-benarnya. Itulah yang kamu lari daripadanya.
Dan ditiuplah sangkakala. Itulah hari yang diancamkan.
Dan datang setiap diri bersama (malaikat) penggiring dan (malaikat) penyaksi.
Sungguh, kamu dalam kelalaian tentang (peristiwa) ini, maka Kami singkapkan tabir (yang menutupi) matamu, maka penglihatanmu pada hari ini sangat tajam.
Dan (malaikat) yang menyertainya berkata, “Inilah (catatan perbuatan) yang tersedia ada di sisiku.”
(Q.S. Qaf [50]: 16-23)
Anakanda,
Setiap kali papa fikirkan tentang sakaratul maut, papa rasa gerun. Lebih-lebih lagi apabila membaca ayat ini:
“Siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang mengada-adakan dusta terhadap Allah atau yang berkata, ‘Telah diwahyukan kepadaku,’ padahal tidak diwahyukan sesuatu pun kepadanya, dan orang yang berkata, ‘Aku akan menurunkan seperti apa yang diturunkan Allah.’ (Alangkah ngerinya) sekiranya engkau melihat pada waktu orang-orang zalim (berada) dalam kesakitan sakaratul maut, sedang para malaikat memukul dengan tangannya, (sambil berkata), ‘Keluarkanlah nyawamu.’ Pada hari ini kamu akan dibalas dengan azab yang sangat menghinakan, kerana kamu mengatakan terhadap Allah (perkataan) yang tidak benar dan (kerana) kamu menyombongkan diri terhadap ayat-ayat-Nya.”
(Q.S. Al-An’am [6]: 93)
Anakanda,
Papa akan terus berusaha untuk kita sama-sama melakukan banyak lagi amalan soleh dengan nikmat yang Tuhan berikan. Kerana kebahagiaan yang sebenar ialah kebahagiaan kita sekeluarga memasuki syurga bersama-sama di akhirat nanti.

“Dan orang-orang yang sabar kerana mengharap keredaan Tuhannya, mendirikan solat, dan menginfakkan sebahagian rezeki yang Kami berikan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan serta menolak kejahatan dengan kebaikan; orang-orang itulah yang mendapat tempat kesudahan (yang baik),
(yaitu) syurga ‘Adn, mereka masuk ke dalamnya bersama dengan orang-orang yang soleh dari nenek moyangnya, pasangan-pasangannya dan anak cucunya, sedang para malaikat masuk ke tempat-tempat mereka dari semua pintu;
(sambil mengucapkan), ‘Selamat sejahtera atasmu karena kesabaranmu.’ Maka alangkah nikmatnya tempat kesudahan itu.”
(Q.S. Ar-Ra’d [13]:22-24)
~Penulis Jemputan~