Impian di syurga
Dalam Kelas Keperibadian, kami diajar satu teknik memotivasikan diri yang dinamai visualisation. Jika anda ingin mengecapi sesuatu, cuba bayangkan apa yang anda inginkan itu dengan terperinci, seolah-olah ia benar-benar dalam genggaman anda atau berada benar-benar di depan mata.
Cikgu Espresso menyuruh kami menggunakan teknik itu untuk matlamat utama kami: Syurga. “Kita semua mahukan syurga di penghujung kehidupan kita,” kata Cikgu Espresso. “Cuba bayangkan rupa syurga kita itu. Setiap orang pasti impikan perkara yang berbeza. Bagaimana rupa syurga kamu?” Kami diminta untuk melakarkan gambaran syurga kami dalam bentuk kata-kata ataupun lukisan.
“Simpanlah lakaran syurga kamu itu. Dari semasa ke semasa, buatlah penambahan atau perubahan kerana keinginan turut berubah sedang usia kita meningkat. Di masa kamu rasa putus asa, atau perlukan suntikkan semangat untuk terus berjuang dan melakukan amal kebaikan, lihatlah lakaran kamu. Semoga ia boleh menjadi pendorong kamu untuk terus berusaha mengejar syurga.”
Memang benar kata Cikgu Espresso. Setiap orang mempunyai gambaran syurga yang berbeza. Ada di antara kawan-kawan kami punya impian yang cukup ringkas. Dari yang sedang angau, “Syurga ialah di mana si dia berada,” kepada yang kuat makan, “Makanan yang mengandungi coklat dihidang sepanjang hari – piza coklat, ayam goreng coklat, nasi coklat.”
Ada yang punya gambaran berdasarkan buku yang dibaca atau animasi yang mereka pernah tonton. Seperti ingin memiliki kuda-kuda kayangan beraneka warna yang boleh terbang ke langit, melepasi bintang-bintang (mengingatkan saya pada cerita ‘My Little Pony’). Atau tinggal di istana berbuat dari kaca (membuat saya terbayang istana Elsa dalam ‘Frozen’). Atau istana yang sentiasa berubah-ubah supaya setiap hari menjanjikan bilik yang baru untuk diteroka (macam dalam cerita ‘Tuesdays at the Castle’).
Gambaran yang paling saya gemari ialah dari Munchkin. “Adik nak tinggal dalam rumah atas pokok. Untuk naik ke rumah adik tidak perlu panjat, ada daun besar yang akan angkat tetamu adik naik ke atas. Pokoknya istimewa. Setiap hari ia akan membuahkan buah yang berlainan, yang tidak pernah dilihat atau dirasai di sini. Buahnya tidak perlu kopek kulit, tidak ada biji. Boleh petik sahaja dari mana-mana tingkap rumah adik, terus makan. Keliling pokok ada taman dengan bermacam-macam bunga yang cantik dan air terjun. Setiap hari, susunan bunga dan air terjun akan berubah. Baunya yang harum juga akan berubah setiap hari.” Ternyata, kanak-kanak punya daya khayalan yang lebih hebat.
Bagaimana pula dengan kawan-kawan? Apa rupa syurga kawan-kawan?
~Vermillion~
Rujukan
BetterHelp Editorial Team. (2024, May 1). How to harness the power of visualization for self-improvement. https://www.betterhelp.com/advice/visualization/how-to-harness-the-power-of-visualization-for-self-improvement/
La Faber, R. (2024, Apr 22). Visualization for motivation: how to picture your success. [Linkedin page]. https://www.linkedin.com/pulse/visualization-motivation-how-picture-your-success-richard-la-faber-1ebyc