arrow_upward

Jamadilawal/Jamadilakhir
Isu 02-2

Penjaga Malam: Tuhan lebih saintifik oleh Dr Farhan Hadi

Novel ini berkisar tentang kehidupan pelajar dan pengajar perubatan dalam sebuah kolej. Di dalam kolej ini terdapat seorang pensyarah ateis yang bersungguh-sungguh ingin mempengaruhi seberapa ramai yang dia boleh untuk sama-sama menjadi ateis sepertinya. Pelajar-pelajarnya sering disoal dengan bermacam-macam pertanyaan yang bertujuan menggoyahkan kepercayaan mereka kepada Tuhan dan agama mereka. Pada mulanya, pelajar-pelajar di situ rasa putus asa untuk menyangkal hujah-hujah pensyarah tersebut. Mujurlah mereka mendapat pertolongan dari seorang ahli kolej yang baru.

Saya sudah dapat mengagak kesudahan cerita ini. Namun, ini tidak mengurangkan minat saya untuk terus membaca sehingga ke muka surat terakhir kerana itu tidak penting. Yang penting adalah jawapan-jawapan kepada soalan-soalan rumit yang sering dilontarkan oleh golongan ateis. Hujah-hujah untuk mematahkan soalan-soalan tersebut cukup ampuh dan jelas menunjukkan bahawa penulis telah membuat kajian yang cukup mendalam apabila menulis buku ini.

Walaupun buku ini dicetak pada tahun 2013, banyak isu yang diketengahkan masih sangat relevan pada masa ini, dari isu-isu tentang ‘ketidakadilan’ Islam terhadap kaum wanita, teori sains yang ‘bercanggah’ dengan Al-Quran, kepada isu fitnah-memfitnah di kalangan mereka yang bergelar ustaz. Semua persoalan-persoalan ini telah dikupas dengan baik oleh penulis dalam cara yang santai serta bagus tatabahasanya.  

Saya juga cukup teruja dengan watak utama yang bukan sahaja seorang pakar bedah, tetapi juga seorang pensyarah, pendakwah, pakar motivasi, bapa dan suami. Ia memberikan saya semangat untuk menjadi seorang doktor Muslim yang berjaya sepertinya satu hari nanti.

Saya mensyorkan buku ini dimiliki setiap keluarga Muslim. Walaupun ia sebuah novel, ia amat berguna sebagai bahan rujukan bagi merungkai persoalan-persoalan yang sering timbul untuk ‘menyerang’ Islam.

Teg:

Anda mungkin juga berminat...