Mengingati Mati
Seorang pekerja diberikan sebuah rumah besar oleh majikannya. Syaratnya, rumah itu hanya akan didiami pekerja tersebut selama dia bekerja dengan majikan itu untuk beberapa tahun yang tidak pasti. Setelah itu, dia perlu berhenti dan keluar daripada rumah tersebut dan tidak boleh membawa pergi apa-apa yang ada dalam rumah itu, walaupun barang-barang itu dibeli dengan gaji pekerja itu sendiri.
Pekerja itu sukakan rumah yang diberikan. Beberapa minggu setelah mendiami rumah itu, pekerja tersebut mula membayangkan bagaimana dia boleh mencantikkan lagi rumah itu. Mulalah dia belanjakan gajinya sedikit demi sedikit untuk mengubahsuai rumah itu dan menambahkan perabot di dalamnya bagi mencantikkan lagi tempat tinggalnya itu. Semakin lama, semakin dia lupa akan syarat majikannya. Semakin lama, dia semakin lalai dalam keasyikannya untuk mencantikkan ‘rumahnya’. Semakin lama, semakin dia sayangkan ‘rumahnya’.
Sehinggalah satu hari, majikannya memberitahunya bahawa minggu itu adalah minggu terakhir dia bekerja dengannya dan dia harus pindah dari rumah itu. Barulah pekerja tersebut teringat akan syarat majikannya. Rumah yang dia cantikkan selama ini bukan miliknya yang mutlak tetapi dia lupa akan hal itu. Sepatutnya dia menyimpan gajinya sebagai persediaan untuk membeli rumah lain setelah tamat bekerja dengan majikan itu. 1
Begitulah juga rumah dan harta benda yang kita kumpulkan di dunia ini. Kita hanya boleh menikmatinya sementara. Setelah kita tiada, orang lain yang akan menikmati itu semua. Rugilah kita sekiranya kita tidak gunakan wang, tenaga dan masa yang kita ada untuk bersiap-siap bagi berpindah ke ‘rumah’ yang kekal abadi di akhirat.
Tetapi, kalau asyik fikirkan tentang kematian, tentunya kita tidak dapat bergembira dan menikmati apa yang ada di dunia. Salahkah kita bergembira di dunia? Adakah Islam begitu keras?
Memang tidak salah untuk menikmati apa yang Allah anugerahkan kepada kita di dunia ini. Namun, janganlah kita terlalu asyik dengan perhiasan dunia sehingga kita lalai tentang tujuan sebenar hidup kita dan tertipu dengan perasaan bahawa kita akan hidup selama-lamanya.

Mati itu pasti. Semua orang akan mati – yang kaya, yang miskin, yang sendirian, yang masih ada keluarga, yang hina, yang terkenal – semuanya pasti akan menemui ajal mereka. Hanya tempat dan waktunya sahaja yang tidak diketahui. Bukankah sudah tiba masanya untuk kita buat persiapan untuk sesuatu yang sudah pasti, daripada terkejar-kejar untuk sesuatu yang mungkin akan lenyap satu hari nanti?
“Dan Dialah Penguasa mutlak atas semua hamba-Nya, dan diutus-Nya kepadamu malaikat-malaikat penjaga, sehingga apabila kematian datang kepada salah seorang di antara kamu, malaikat-malaikat Kami mematikannya, dan mereka tidak melalaikan tugasnya.”
(Q.S. Al An’am [6]: 61)
Ada banyak cara untuk siapkan diri untuk mati, seperti yang akan kami bentangkan dalam isu kali ini. Semoga kita sama-sama saling ingat-mengingatkan dan tidak lalai tentang mati agar kita dapat buat persiapan yang wajar untuk menghadapinya.
~Editor~
1Cerita ini diambil dan diubahsuai, dari buku Mencari Husnul Khatimah oleh Syed Alwi Alatas, terbitan Galeri Ilmu Sdn. Bhd., m.s. 35-38, cetakan pertama 2013.