arrow_upward

Rejab/Syaaban
Isu 03-4

Mat Saleh: Impian Jalanan oleh Teme Abdullah

Novel pembakar semangat untuk kejar cita-cita. Itulah rumusanku tentang buku ini secara keseluruhannya.

Kisah bermula ketika watak utama, Ikiy, masih di sekolah rendah. Dia mempunyai kekurangan yang menyukarkannya untuk membaca dan menulis, sehingga sering mendapat tempat paling corot dalam kelas. Lebih menyedihkan, dia sering dibuli. Tetapi, dia mempunyai bakat dalam melukis dan dia mula belajar untuk menghargai, menajamkan dan menggunakan bakatnya itu. Pembaca kemudian dibawa kepada kehidupannya di alam dewasa sebagai seorang yang berjaya berkat usahanya yang gigih.

Plotnya bunyi seperti biasa-biasa sahaja. Tetapi sungguh, ini bukan buku biasa-biasa. Gaya penulisannya, walaupun tidaklah begitu puitis, begitu senang menembusi minda dan mengusik hati. Detik-detik yang dilalui Ikiy dirungkai satu persatu dengan cermat dan telus, membuatkan aku sebagai pembaca dapat menyelami perasaan dan fikirannya. Mesej yang disampaikan memberikan inspirasi dan suntikan semangat untukku. Senda-gurau dengan sahabat karibnya ketika ‘dewasa’ juga amat menghiburkan. Kenapalah begitu lama aku menunggu untuk membaca buku ini? Sudah semestinya aku mencari buku lain dari siri ini. (Untuk makluman, Impian Jalanan adalah buku ketiga yang diterbitkan dalam siri ini. Tetapi sebenarnya buku yang ketiga ini bermula dari kisah hidup watak utama dari mula, iaitu ketika dia di sekolah rendah.)

Walau apapun, bagi aku, kualiti penulisan dan mesej yang disampaikan membuatkan buku ini patut dibaca. Rugi kalau anda tidak membacanya.

Teg:

Anda mungkin juga berminat...