arrow_upward

Rejab/Syaaban
Isu 03-4

Ikhlas teras pekerjaan

Tahun ini, sebagai pelajar senior, kami diwajibkan mengambil kerja sambilan sebagai sebahagian daripada kurikulum sekolah. Matlamatnya ialah untuk mempersiapkan kami bagi alam pekerjaan yang sebenar setelah kami tamat pengajian nanti. Sebagai persediaan, Cikgu Dodol memberi beberapa nasihat dan mengesyorkan beberapa buku untuk dijadikan panduan tentang bagaimana hendak menghadapi situasi di tempat kerja. Salah satu nasihat penting yang Cikgu Dodol perkatakan ialah tentang keikhlasan dalam bekerja.

Menurut Ustaz Pahrol Mohamad Juoi, ikhlas “…adalah kebersihan hati dalam melaksanakan sesuatu pekerjaan. Apa yang diharapkan hanya keredaan Allah.”

Bagaimana hendak ikhlas? Menurut Ustaz Pahrol lagi, Allah akan kurniakan keikhlasan, bukan harta, kepada hamba-hamba yang disayanginya. Dan salah satu cara untuk Allah menyayangi kita ialah dengan kita melaksanakan kerja kita dengan elok (itqan). Iaitu, “mempersembahkan hasil yang berkualiti, (dengan) banyak, serta beradab.” Insya Allah, natijahnya ialah keikhlasan serta ganjaran-ganjaran yang bersangkutan dengan keikhlasan.

Keikhlasan boleh membantu kita menghadapi beberapa situasi yang mencabar yang lazim dihadapi di tempat kerja. Sebagai contoh, mari kita renungkan dua ayat Al-Quran ini:

“Janganlah sekali-kali kamu menyangka bahawa orang-orang yang gembira dengan apa yang mereka kerjakan dan suka dipuji dengan apa yang belum mereka kerjakan – jangan sekali-kali kamu menyangka bahawa mereka terlepas dari siksa. Dan bagi mereka siksa yang pedih.

Kepunyaan Allah-lah kerajaan langit dan bumi. Dan Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.”

(Q.S. Ali-Imran [3]: 188-189)

Sakit hati dengan rakan sekerja? Tanamkan keyakinan yang mendalam bahawa Allah sebaik-baik Pemberi Pembalasan. Apabila kita melakukan sesuatu di tempat kerja, lakukanlah dengan rasa penuh tanggungjawab atas apa yang diamanahkan. Bantulah orang seberapa yang kita mampu. Dan lakukanlah semua itu dengan ikhlas, demi mendapat keredaan Allah dan bukan pujian atau balasan dari manusia.

Ayat 188 di atas mengingatkan, jangan rasa hampa atau marah jika sumbangan kita tidak diiktiraf oleh manusia. Allah Melihatnya dan akan membalasnya. Dan janganlah biarkan rasa dendam atau marah berlarutan sekiranya idea kita ‘dicuri’ orang lain atau usaha kita diakui orang lain. Tidakkah cukup jika sumbangan kita itu memberi kebaikan kepada semua orang atau memajukan organisasi kita? Dan jika kita masih dapati kesukaran untuk terima hakikat demikian, mohonlah pertolongan Allah untuk memberikan kita kesabaran dan kemurahan hati. Kerana Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu, termasuk hati kita.

Gambar: krakenimages

Takut dan tertekan dengan majikan kita? Ayat 189 di atas mengingatkan kita tentang siapa ‘bos’ kita yang sebenar. Bukan bos syarikat kita yang berkuasa atas kita tetapi Allah-lah yang benar-benar berkuasa atas bos kita dan diri kita. Dengan itu, kerjalah dengan ikhlas demi mendapat keredaan Allah dan jagalah segala perintah dan larangan-Nya.

Jangan tinggalkan yang fardhu seperti solat, zakat dan puasa di bulan Ramadhan, dengan alasan tidak ada masa, wang atau tenaga. Bersikap amanahlah di tempat kerja. Kalau termaktub dalam kontrak kita, waktu masuk kerja ialah pukul sembilan, jangan pula masuk kerja pukul sembilan lima minit. Sama juga dengan waktu rehat dan waktu pulang, jangan perpanjangkan atau percepatkan. Ini antara perkara yang penting tetapi selalu diremehkan. Kalau kita menjaga hak-hak Allah dan hak-hak orang lain terhadap kita, yakinlah bahawa Allah akan pastikan hak-hak kita juga terjaga.

Banyak lagi kelebihan yang dapat kita raih jika kita bekerja dengan ikhlas. Oleh itu, kerjalah dengan bersungguh-sungguh dalam mencapai keikhlasan. Insya Allah, kita akan mendapat ketenangan dan kebahagian.  

~Vermilion~

Rujukan

Grant, A. (2014). Give and take: Why helping others drives our success. Penguin.

Pahrol Mohamad Juoi (2010). Mukmin profesional: celik mata hati. Fitrah Perkasa & Telaga Biru Sdn. Bhd.

Teg:

Anda mungkin juga berminat...