arrow_upward

Ramadhan/Syawal
Isu 04-3

Kuih Pao: Putera Bijak Urus oleh Kaoru, Candy Factory

Saya sebenarnya amat prejudis terhadap manga, kerana pengalaman saya memberi saya gambaran ia mempunyai banyak unsur-unsur lucah. Tetapi komik ini telah mengubah persepsi saya. Lukisannya seperti manga tetapi kerana watak-watak utamanya semua putera dan tidak ada banyak watak gadis yang berpakaian tidak senonoh, saya tidak rasa berat untuk menyarankan komik ini. Yang paling membuat saya teruja ialah ia telah diterjemahkan dan diterbitkan dalam bahasa Melayu!

Siri Putera mengisahkan tentang putera-putera remaja lelaki dari pelbagai negara yang belajar di Akademi Lelaki Momos dengan tujuan untuk mendidik mereka mengenali antara satu sama lain dan bekerjasama demi mencapai keamanan dunia. Ini buku ke-9 dalam komik Siri Putera. Dalam siri kali ini, para pelajar Akademi Lelaki Momos terpaksa belajar berjimat cermat kerana duit poket mereka telah disekat. Pihak sekolah berbuat demikian dengan tujuan mendidik mereka tentang pengurusan wang. Kerenah putera-putera ini yang sudah biasa dimanjakan dengan kemewahan cukup melucukan. Kisah menarik mereka diselang-selikan dengan petua tentang bagaimana hendak menguruskan kewangan kita. Banyak petua yang diberikan sangat berguna.

Untuk makluman kawan-kawan, sebahagian daripada perkara yang ditulis dalam siri ini tidak begitu tepat dan agak stereotaip. Sekiranya kawan-kawan berminat untuk membaca buku lain dalam siri ini, janganlah terima bulat-bulat semua ‘fakta’ yang diketengahkan. Pun begitu, siri ini cukup menghiburkan dan banyak juga perkara yang boleh dipelajari sambil pembaca bersantai dengannya. Selamat membaca!

Teg:

Anda mungkin juga berminat...