arrow_upward

Rejab/Syaaban
Isu 03-4

Kenapa aku jadi pekebun – bhg 2

Bhg. 2

Untuk keselesaan… dalam pejabatku yang seluas ladang dan setinggi langit.

“Dia-lah yang menjadikan untuk kamu bumi sebagai hamparan, dan langit sebagai atap. Dan Dia menurunkan dari langit air, lalu Dia mengeluarkan dengannya (air itu) berjenis buah-buahan sebagai rezeki untukmu; maka janganlah kamu mengadakan bagi Allah, sebarang sekutu, padahal kamu mengetahui (bahawa Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa).”

(Q.S. Al-Baqarah [2]: 22)

Mungkin kau kasihani aku kerana berpanas di bawah terik matahari dan bersejuk dalam kedinginan hujan. Aku pula mengasihani kau kerana terkongkong dalam kotak kecil yang dinamakan pejabat, bercandukan alat penghawa dingin yang kau pasang hatta dalam musim dingin.

Untuk kepuasaan… dalam menyediakan makanan, asas kehidupan makhluk lain, dengan izin Allah.

“Dan tidak ada sesuatu pun dari binatang yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat penyimpanannya. Semuanya itu tertulis di dalam Kitab (Lauh Mahfuzh) yang nyata.”

(Q.S. Hud [11]: 6)

Tiada yang lebih bermakna daripada pengetahuan bahawa sumbanganku memberi manusia lain kekuatan untuk bekerja dan beribadah.

Untuk kedamaian… dalam menikmati keindahan pokok-pokok dan hamparan hijau yang luas terbentang.

“Atau siapakah yang telah menciptakan langit dan bumi, dan menurunkan bagimu air dari langit? Lalu Kami tumbuhkan dengannya (air hujan itu) kebun-kebun yang berpemandangan indah, yang kamu sekali-sekali tidak berkuasa menumbuhkan pohon-pohonnya. Apakah ada tuhan lain di samping Allah? (Tidak!) bahkan mereka adalah kaum yang menyimpang (dari kebenaran).”

(Q.S. An-Naml [27]: 60)

Bagiku, kebunku adalah syurga dunia.

“Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa dalam taman syurga, dengan mata air.

(Mereka dipersilakan oleh malaikat dengan berkata): ‘Masuklah kamu ke dalamnya dengan selamat sejahtera lagi aman’.”

(Q.S. Al-Hijr [15]: 45-46)

Untuk kelapangan… dalam melakukan solat lima waktu yang amat bersesuaian dengan rutin pekerjaanku.

“Maka bertasbihlah (solatlah) kepada Allah sewaktu kamu berada di petang hari dan sewaktu kamu di waktu Subuh. Dan baginya segala puji di langit dan di bumi. Dan juga (bertasbihlah/solatlah) di waktu Isyak dan sewaktu kamu berada di waktu Zuhur.”

(Q.S. Ar-Rum [30]: 17-18)

Rutin harianku sebagai seorang pekebun amat bersesuaian dengan rutin aku untuk beribadat. Selepas solat Subuh di awal hari adalah masa yang sesuai untuk menggali dan menggembur ketika tanah masih lembap. Tatkala matahari sudah meninggi adalah masa untuk berlindung dari teriknya, juga masa untuk berehat dan melakukan solat Zuhur. Selepas Asar waktu sesuai untuk aku sambung semula kerja-kerja di dalam kebun, apabila matahari sudah kurang teriknya.

Yang paling penting, hidupku sebagai seorang pekebun mengingatkanku tentang kalimah-kalimah Allah dan mendekatkan lagi aku kepada-Nya.

Dari menanam benih…

“Sesungguhnya Allah menumbuhkan butir tumbuh-tumbuhan dan biji buah-buahan. Dia mengeluarkan yang hidup dari yang mati dan mengeluarkan yang mati dari yang hidup. Itulah (kekuasaan) Allah, maka mengapa kamu masih berpaling?”

(Q.S. Al-An‘am [6]: 95)

Menyiram…

“Dan Kami turunkan air dari langit menurut suatu ukuran; lalu Kami jadikan air itu menetap di bumi, dan sesungguhnya Kami benar-benar berkuasa menghilangkannya.”

(Q.S. Al-Mu’minuun [23] : 18)

Kepada menuai…

“Dan suatu tanda (kebesaran Allah) bagi mereka adalah bumi yang mati. Kami hidupkan bumi itu dan Kami keluarkan darinya biji-bijian, maka darinya mereka makan. Dan kami jadikan padanya kebun-kebun kurma dan anggur dan Kami pancarkan padanya beberapa mata air. Supaya mereka dapat makan dari buahnya, dan dari hasil usaha tangan mereka. Maka mengapakah mereka tidak bersyukur?”

(Q.S. Yaasiin [23]: 33-35)

Terima kasih ya Allah. Kaulah sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik pemberi rezeki.

~Cikgu Asam Pedas~

Teg:

Anda mungkin juga berminat...