Kemurungan satu rahmat
Mati. Kalau ramai yang takut akan kematian, aku pula mendambakannya. Di saat-saat hidup rasa tidak bermakna, setiap apa yang dikunyah, dipakai, ditonton tiada lagi nikmatnya dan hari-hari yang mendatang menjanjikan benak yang menyesakkan dan hati yang menghimpitkan, hanya kematian yang aku harapkan untuk mengakhiri segala-galanya.
Namun, atas kasih sayang-Nya, aku masih dapat menahan diri daripada mengambil nyawaku sendiri. Doa yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. seperti yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik, aku jadikan sandaran.
Sabda Rasulullah s.a.w.,
“Janganlah salah seorang di antara kalian mengharapkan untuk mati karena musibah yang menimpanya. Jikalau benar-benar mengharapkan kematiannya, hendaknya dia mengatakan, ‘Ya Allah, hidupkanlah aku jika kehidupan itu baik untukku. Dan matikanlah aku jika kematian itu baik bagiku.’ “
(Sahih Bukhari No. 6351)
Dengan petunjuk-Nya juga, aku sedar, hidup ini hanya sementara. Dunia ini hanya medan ujian dan perjuangan. Jika aku bersabar, aku akan mendapat ganjaran yang besar di akhirat sana. Aku sekali-kali tidak boleh menyerah kalah dan putus asa daripada rahmat-Nya. Selagi nyawa di kandung badan, selagi itulah aku perlu bekerja melawan perasaan dan hawa nafsuku. Barulah aku dapat rehat dengan tenang, untuk selama-lamanya. Berapa sangatlah 30, 40 atau 50 tahun lagi, jika dibandingkan selama-lamanya?
Penyakit kemurungan ini hanyalah dugaan untuk diriku, seperti dugaan yang diberikan kepada mereka yang berpenyakit kanser, sopak, angin ahmar dan penyakit-penyakit yang lain. Aku juga sedar penyakit kemurungan ini juga adalah rahmat bagiku. Rahmat kerana ia sentiasa mengingatkan aku tentang kematian. Dan ia sentiasa menghalang aku daripada terus leka dengan godaan dunia.
Setiap kali cemburu melihat orang lain begitu berselera menikmati hidangan itu dan ini sedangkan makanan yang sama yang aku makan terasa hambar, aku mengingatkan diriku bahawa kelazatan makanan di syurga tiada tandingannya. Dan aku tidak boleh terlalu ikutkan perasaanku, takut-takut aku menjadi ahli neraka.
“Perumpamaan syurga yang dijanjikan kepada orang-orang yang bertaqwa (ialah) di dalamnya sungai-sungai dari air yang tidak berubah (rasa dan baunya), sungai-sungai dari susu yang tidak berubah rasanya, sungai- sungai dari arak yang lazat bagi orang-orang yang meminumnya dan sungai- sungai dari madu suci. Di dalamnya (juga) segala macam buah-buahan, dan ampunan dari Tuhan mereka. Samakah mereka dengan orang yang kekal dalam neraka, dan diberi minuman dengan air yang mendidih, sehingga terpotong-potong ususnya?”
(Q.S. Muhammad [47]: 15)
Setiap kali aku terasa kerdil kerana tidak punya matlamat hidup seperti orang lain untuk membina kerjaya, membeli rumah, atau melancong ke negara jauh, aku mengingatkan diriku bahawa masa dan wang lebih yang aku infakkan lebih bermakna di sisi Tuhan.
“Berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya dan infakkanlah sebahagian dari harta yang Dia telah menjadikan kamu sebagai penguasanya (amanah). Maka orang-orang yang beriman di antara kamu dan menginfakkan (hartanya), bagi mereka pahala yang besar.”
(Q.S. Al-Hadiid [57]: 7)
Setiap kali aku rasa terasing kerana tidak turut merasai keseronokan berhibur seperti orang-orang di sekelilingku, aku mengingatkan diriku bahawa keseronokan yang mereka nikmati hanya sementara hatta di dunia sekalipun. Selesai mendengar lagu, menonton drama atau membeli-belah, keseronokan itu akan hilang dan manusia akan mengejar perkara lain untuk mendapatkan rasa keseronokan itu semula. Sedangkan kebahagiaan di syurga adalah kebahagiaan yang kekal buat selama-lamanya.
“Ketahuilah, sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan, senda gurauan, perhiasan dan bermegah-megahan serta berbangga-banggaan tentang banyaknya harta dan anak, seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan para petani; kemudian (tanaman) itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. Dan di akhirat (nanti) ada azab yang keras dan ampunan dari Allah serta keredaan-Nya. Dan kehidupan dunia tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu.”
(Q.S. Al-Hadiid [57]: 20)
Setiap kali aku tidak punya semangat untuk melakukan apa-apa dan hanya terbaring di atas katil, aku mengingatkan diriku, sekurang-kurangnya masaku tidak dihabiskan dengan hiburan yang sia-sia atau perkara yang mendatangkan dosa. Dan jika aku kuatkan hati, aku boleh gunakan peluang yang ada untuk bertafakkur dan memohon keampunan Tuhan.
“(yaitu) orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri, duduk atau dalam keadaan berbaring, dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata), ‘Ya Tuhan kami, tidaklah Engkau menciptakan semua ini dengan sia-sia; Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.’ “
(Q.S. Ali-Imran [3]: 191)
Ya, pada dasarnya kemurungan boleh jadi satu penyeksaan. Tetapi jika aku ubah cara aku berfikir tentangnya, banyak hikmah yang aku dapati. Dengan bersabar dan sentiasa meminta pertolongan Allah s.w.t., kemurungan merupakan satu rahmat dari-Nya, untuk aku mendapatkan ganjaran yang tidak terhitung di akhirat nanti, insya Allah. Mudah-mudahan, aku akan sampai ke tahap keyakinan yang tinggi terhadap kematian dan hari akhirat, seperti para sahabat di zaman dahulu yang sentiasa merindui syurga sehingga nikmat di dunia tidak lagi memikat mereka.
“Mereka itu akan diberi balasan dengan tempat yang tinggi (dalam syurga) atas kesabaran mereka, dan mereka akan disambut dengan penghormatan dan salam. Mereka kekal di dalamnya. Syurga itu sebaik-baik tempat menetap dan tempat kediaman.”
(Q.S. Al-Furqan [25]: 75-76)
~Q~
Rujukan
Dawud Al-Hawariy. (2019, Jun 28). Irsyad al-fatwa siri ke-310: adakah lebih baik meninggal dunia sebelum kiamat? https://muftiwp.gov.my/index.php?option=com_content&view=article&id=3531:irsyad-al-fatwa-siri-ke-310-adakah-lebih-baik-meninggal-dunia-sebelum-kiamat&catid=85&lang=ms&Itemid=422
Abdul Rahman. (2018, Oct 3). Al-Kafi #825: berdoa agar dimatikan kerana sakit. https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/2631-al-kafi-825-berdoa-agar-dimatikan-kerana-sakit