Jadilah pencipta
Pernahkah anda terfikir untuk menjadi seorang pencipta?
Dengan akses yang mudah kepada internet, lebih mudah untuk anak muda sekarang mencipta sesuatu. Selain dapat menyumbang kepada masyarakat, mencipta sesuatu sedikit sebanyak akan memupuk kreativiti dan keyakinan diri seseorang.
Kita sebagai remaja seharusnya memikirkan cara-cara untuk menjadi pencipta dan bukan sahaja pengguna. Ramai remaja di luar sana sudah mencipta sesuatu yang baru untuk membantu atau mengisi sesuatu keperluan masyarakat. Di bawah ini kami senaraikan beberapa idea untuk kawan-kawan cuba berserta alat untuk membantu kawan-kawan memulakan langkah pertama menjadi seorang pencipta.
Jika anda berminat untuk mencipta aplikasi
Ada idea untuk mereka sebuah aplikasi? App Inventor ialah sebuah platform dalam talian (online) oleh Massachusetts Institute of Technology (MIT), sebuah insitute pengajian tinggi yang terkenal. Menerusi App Inventor, anda boleh membuat aplikasi untuk telefon atau peranti bijak tanpa sebarang asas dalam menulis kod. Anda boleh menggunakan akaun Google anda untuk memulakan di sini atau klik pautan ini jika anda tidak mahu menggunakan akaun Google.
Jika anda berminat untuk membuat laman web
Edublog adalah sebuah platform blog yang dijana platform popular, WordPress. Edublog khusus untuk para guru dan pelajar membuat laman web mereka sendiri dan mengongsi karya mereka dalam persekitaran yang terkawal dan selamat.
Jika anda berminat untuk membuat animasi
Mungkin anda seorang yang suka bercerita melalui lukisan dan ingin melihat lukisan itu dihidupkan di atas skrin. Anda boleh pertimbangkan Pencil2D, sebuah program untuk melukis dan membuat animasi bagi mereka yang baru sahaja belajar tentang animasi. Satu perkara yang anda juga perlu pertimbangkan ialah, melukis di atas peranti lebih mudah jika boleh menggunakan tablet atau komputer yang mempunyai pena digital.
Jika anda berminat untuk menulis
Ingin orang lain membaca karangan anda dan memberi ulasan dan kritikan yang membina? Write the World adalah sebuah komuniti dalam talian di mana remaja boleh mengongsi karya mereka untuk dikomen dalam persekitaran yang selamat. Laman web Write the World juga mempunyai panduan dan bengkel menulis serta peraduan yang anda boleh sertai.
Di zaman ini, terdapat banyak program dan sumber yang boleh mengajar kita mencipta sesuatu. Program-program yang disebut di atas hanya segelintir sahaja daripada alat-alat yang boleh membantu anda untuk memulakan perjalanan anda sebagai seorang pencipta. Dan, mungkin satu hari nanti, hobi ini akan menjadi batu loncatan untuk anda memulakan kerjaya anda dalam bidang yang diminati. Tunggu apa lagi?
~Mat Saleh~