arrow_upward

Zulkaedah/Zulhijjah
Isu 03-6

Cikgu Hojicha: Penenun Cinta oleh Ibnu Ahmad al-Kurauwi

Bayangkan keadaan yang gelap gelita. Tiada cahaya menembusi mata, tiada bunyi memasuki telinga, tiada rasa menyentuh kulit kita. Menakutkan bukan?

Tetapi ini bukan cerita seram. Bukan juga cerita cinta antara teruna dan dara (walaupun tajuknya menggambarkan kisah cinta).

Ini cerita tentang seorang imam tua. Kemalangankah dia sehingga hilang semua deria? Atau mungkin dia dalam koma? Barangkali dia sudah berada di dalam alam barzakh? Untuk tahu jawapannya, bacalah buku ini. 

Membaca buku ini membuat aku menginsafi diri. Dalam kegelapan yang terus-menerus, sang imam hanya mampu melayan fikirannya. Peristiwa-peristiwa dalam hidupnya ditayang satu persatu di mindanya. Gelisah dengan keadaan itu, sang imam merayu dan berdoa pada Tuhan agar diberikan sedikit cahaya. Amalan-amalan yang baik diharap dapat menjadi penebus bagi permintaannya. Dosa dan kekurangan diri diakui dan dimohon pengampunan dari Yang Maha Esa. Istighfar, zikir dan ayat-ayat Al-Quran membasahi lidahnya.

Membaca tentang imam tua ini, aku banyak bermuhasabah diri. Aku bukan seorang imam. Hanya seorang manusia biasa. Sekiranya aku berada di tempatnya, cukupkah imanku untuk menghadapi ujian sedemikian? Berapa banyakkah amalan-amalan solehku yang akan terbayang dalam kegelapan itu? Atau adakah aku akan digelisahkan dengan dosa-dosaku yang tentunya lebih berat daripada sang imam? Kuatkah benteng yang ada dalam diriku untuk melawan bisikan syaitan? Mampukah aku mengungkap kalimah-kalimah yang baik sahaja sedang aku terbaring kaku diselubungi hitam pekat sahaja?

Dalam menyampaikan cerita, banyak teguran terhadap masyarakat diselitkan. Penulis juga pandai menggunakan kata-kata. Apa yang ditulis cukup puitis sehingga mengetuk minda dan hatiku. Lihat sahaja ayat-ayat ini:

“Kaget, hiba dan hampa bercampur-campur. Lemah dan keseorangan mendorong saya meminta tolong. Memanggil-manggil nama orang yang pernah terakam dan terlintas di kepala agar segera membantu.

Akhirnya, sesal tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Mengapa mengadu kepada makhluk sedang Tuhan sedang memandang?

Aneh, saya sebenarnya hanya tertawan pada cahaya, terburu-buru mencari sinar, sedang kegelapan juga adalah makhluk Tuhan yang punya segala kebaikan.”

(m.s. 14, 15)

Sebuah novel yang berkualiti yang patut dibaca, tidak kira oleh siapa.

Teg:

Anda mungkin juga berminat...