‘Bos’ kita yang sebenar
Sebahagian besar daripada kehidupan kita dihabiskan dengan bekerja. Dari usia 20 hingga 60 tahun, hampir separuh dari usia kita. Dari Isnin hingga Jumaat, lebih 70% dari mingguan kita. Pukul sembilan pagi hingga enam petang, sepertiga dari seharian kita. Justeru, sayang sekali jika banyak masa kita dihabiskan untuk tujuan yang tidak jelas atau tidak bermakna.
Lalu, apakah tujuan kita bekerja? Mencari nafkah untuk menyara hidup keluarga? Untuk mendapatkan kuasa dan kedudukan dalam masyarakat? Agar mampu memiliki rumah dan kereta? Tujuan-tujuan sedemikian tidak salah tetapi kurang menyeluruh untuk seorang Muslim. Seharusnya kita mempunyai cita-cita untuk memenuhi tujuan yang lebih besar dan lebih murni. Tujuan yang ditetapkan oleh Pencipta kita, Allah SWT.
“Dan tidak Aku menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah-Ku.”
(Q.S. Adz-Dzariyat [51]: 56)
Jelas sekali, misi hidup kita ialah untuk menjadi hamba Allah SWT. Oleh itu, tujuan kita bekerja juga adalah salah satu cara kita beribadat kepada Allah SWT. Dan seperti kata Ustaz Pahrol Mohamad Juoi, “Misi menjadi hamba Allah ialah kerja full-time bukan part-time…. Kita boleh bertukar majikan tetapi bolehkah kita bertukar Tuhan?”
Dalam memenuhi misi itulah kita menuju ke arah visi hidup, iaitu mengecapi kejayaan di dunia dan akhirat.
Dengan tujuan bekerja yang jelas, kita hendaklah merancang dengan teliti untuk mencapai tujuan itu. Bermula dari memilih pekerjaan yang sesuai dengan bakat dan kemampuan kita, mengasah diri untuk mahir dalam pekerjaan itu sehinggalah menjalankan kerja kita dengan amanah dan profesional.
Bagaimana hendak menjadikan pekerjaan kita sebagai satu ibadah? Menurut Ustaz Pahrol lagi, antara syarat-syarat yang perlu ditepati ialah:
-Niat melakukannya adalah baik.
-Subjek atau aktiviti yang dilakukan itu sah di sisi syariat.
-Pelaksanaannya betul (tidak terlibat dengan perkara yang haram, mungkar atau berdosa).
-Dilakukan secara optimum (itqan).
-Tidak meninggalkan ibadah yang asas.
-Natijah yang baik (bersyukur apabila berjaya, bersabar apabila gagal).
Dalam isu kali ini, kami kongsi pandangan kami tentang pekerjaan. Antaranya tentang persiapan untuk alam pekerjaan, kerjaya pilihan dan etika dalam bekerja. Semoga ia dapat membantu pembaca dalam menjadi seorang Mukmin profesional, iaitu yang amanah (punya integriti) dan pakar dalam bidangnya (punya kompetensi).
“Kemudian apabila telah selesai solat, maka bertebaranlah kamu di (muka) bumi, dan carilah daripada limpah kurniaan Allah, serta ingatlah kepada Allah sebanyak-banyaknya, supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat).”
(Q.S. Jumaah [62]: 10)
Rujukan
Pahrol Mohamad Juoi (2010). Mukmin profesional: celik mata hati. Fitrah Perkasa & Telaga Biru Sdn. Bhd.