arrow_upward

Jamadilawal/Jamadilakhir
Isu 02-2

Betapa kerdilnya kita

Setiap kali merenung alam semulajadi, setiap kali juga akan terasa kagum. Tidak perlu ilmu sains yang tinggi atau pergi jauh-jauh untuk merasa takjub dengan kehebatan Allah. Walau di mana kita berada, dongak sahaja ke atas. Sangat mengagumkan, langit. Atap tidak bertiang yang terpelihara, tanpa keretakan. Subahanallah!

“Maka apakah mereka tidak melihat ke langit di atas mereka, bagaimana Kami membinanya dan menghiasinya dan tidak ada padanya keretakan?”

(Q.S. Qaf [50]: 6)

“Hai manusia, sembahlah Tuhanmu Yang telah menciptakanmu dan orang-orang yang sebelummu, agar kamu bertakwa. Dialah yang menjadikan bumi sebagai hamparan bagimu dan langit sebagai atap, dan Dia menurunkan air (hujan) dari langit, lalu Dia menghasilkan dengan hujan itu segala buah-buahan sebagai rezeki untukmu; kerana itu janganlah kamu mengadakan sekutu-sekutu bagi Allah padahal kamu mengetahui.”

(Q.S. Al-Baqarah [2]: 21-22) 

Banyak lagi ayat-ayat Al-Quran yang menceritakan tentang tanda-tanda kebesaran Allah. Tidak mampu pasukan rihlah untuk memetik semuanya. Namun, diharap apa yang kami ketengahkan dalam isu kali ini akan mendorong pembaca untuk mengamati keajaiban yang ada di sekeliling kita dan menanamkan rasa tawadhu’ atas kekerdilan diri kita.

Kami mengajak pembaca untuk merenung kehebatan Allah melalui alam semulajadi. Kami mulakan dengan penuh keinsafan tentang kaum-kaum yang terdahulu yang kehebatan mereka tidak dapat menghalang azab Allah dari menimpa mereka kerana keingkaran dan kesombongan mereka. Kemudian kami menunujukkan betapa ciptaan manusia tidak dapat menandingi ciptaan Allah. Setelah itu kami ketengahkan sebuah pekerjaan yang semakin lama semakin tidak diminati anak muda walhal ia adalah pekerjaan yang mendekatkan diri kita kepada Tuhan. Kami juga mengulas sebuah novel yang mengingatkan kita tentang kehebatan Tuhan.

Ayuh! Sama-sama kita renungkan dan selami keindahan, kehebatan, kesempurnaan ciptaan Tuhan melalui alam semulajadi.

“Sesungguhnya pada penciptaan langit dan bumi, dan pertukaran malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal. (iaitu) Orang-orang yang mengingati Allah dalam keadaan berdiri atau duduk atau atas pembaringan mereka dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata), ‘Ya Tuhan Kami! Tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka.’”

(Q.S. Ali-Imran [3]: 190-191)

~Editor~

Teg:

Anda mungkin juga berminat...