arrow_upward

Jamadilawal/Jamadilakhir
Isu 02-2

Ciptaan Tuhan tiada tandingan

Munchkin suka mengambil gambar. Dia juga suka mengumpulkan gambar dan sangat gembira apabila teman-teman yang lain memberikannya gambar-gambar yang dipetik ketika melancong ke luar negara. Tidak mampu untuk pergi melancong, tengok gambar pun jadilah.

Baru-baru ini kami mendapat peluang mengelilingi kota bersama keluarga rakan kami. Teruja juga kami, melihat pelbagai bangunan tinggi-tinggi dan cantik-cantik. Munchkin tidak lepaskan peluang untuk memetik gambar seberapa banyak yang dia dapat. Namun, setelah pulang dan melihat kembali semua gambar-gambar yang telah diambil dan yang terkumpul, Munchkin memberitahuku, “Secantik mana pun bangunan yang kita tengok, takkan secantik alam semulajadi.”

Memang betul kata-katanya. Ciptaan manusia tidak akan sehebat ciptaan Tuhan. Umpamanya…

Click icon ‘play’ untuk mulakan tayangan slaid

Tokyo Skytree di Jepun yang mempunyai ketinggian 634m…
pun tidak setara Gunung Fuji yang setinggi 3776m.

“Dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan sombong. Sesungguhnya kamu tidak akan dapat menembusi bumi dan kamu tidak akan sampai setinggi gunung.” (Q.S. Al-Israa’ [17]: 37)

Jika hanya melihat bangunan konkrit di sana-sini, terasa sesak…
tanpa pokok-pokok yang indah dan mendamaikan bagai di syurga.

“Sungguh, orang yang bertakwa berada dalam naungan (pepohonan syurga yang teduh) dan (di sekitar) mata air.” (Q.S. Al-Mursalat [77] : 41)

Manusia mungkin berjaya membina pesawat supaya dia boleh terbang…
tetapi ‘teknologi’ yang menerbangkan burung lebih hebat.

“Apakah mereka tidak memerhatikan burung-burung yang di atas mereka mengembangkan dan mengatupkan sayapnya? Tidak ada yang menahannya (di udara) selain Yang Maha Pemurah. Sesungguhnya Dia Maha Melihat segala sesuatu.” (Q.S. Al-Mulk [67]: 19)

Jam, kalendar, dan alat-alat lain yang digunakan untuk menghitung masa…
bermula dari perkiraan malam dan siang.

“Dan Kami jadikan malam dan siang dua tanda, lalu Kami hapuskan tanda malam dan Kami jadikan tanda siang itu terang, agar kamu mencari kurnia dari Tuhanmu, dan supaya kamu mengetahui bilangan tahun-tahun dan perhitungan. Dan segala sesuatu telah Kami terangkan dengan jelas.” (Q.S. Al-Israa’ [17]: 12)

Atap buatan manusia perlu dibaiki sekali-sekala kerana ada batasnya…
berbanding langit tidak bertiang yang melindungi bumi luas untuk berbilion tahun.

“Dan Kami menjadikan langit itu sebagai atap yang terpelihara, sedang mereka berpaling dari segala tanda-tanda (kekuasaan Allah) yang terdapat padanya.” (Q.S. Al-Anbiya [21]: 32)

Berbanding air terjun buatan manusia…
air terjun semulajadi lebih menakjubkan.

“Apakah tidak kamu melihat, bahawasanya Allah telah menurunkan air hujan dari langit, lalu jadilah bumi itu hijau? Sesungguhnya Allah Maha Halus lagi Maha Mendalam pengetahuan-Nya.” (Q.S. Al-Hajj [22]: 63)

Bangunan gah seperti Muzium Seni dan Sains Singapura…
pun diilhamkan dari sekuntum bunga teratai.

“Dan Dia menundukkan untukmu apa yang di langit dan apa yang di bumi semuanya, (sebagai rahmat) daripada-Nya. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi kaum yang berfikir.” (Q.S. Al-Jatsiyah[45]: 13)

Bagaimanapun manusia cuba meniru ciptaan Tuhan…
tidak seindah, sehalus, setanding yang semulajadi.

“Dan juga (keadaan) bumi ini, (bagaimana) Kami bentangkan dia sebagai hamparan, dan Kami letakkan padanya gunung-ganang yang terdiri kukuh, serta Kami tumbuhkan padanya pelbagai jenis tanaman yang indah subur?” (Q.S. Qaf[50]: 7)

Terdapat banyak lagi tanda-tanda kebesaran Allah di langit dan bumi yang disebut dalam Al-Quran. Subhanallah!

~Vermilion~

Gambar:

Eagle flying. Photo by Richard Lee on Unsplash

Lotus. Photo by AARN GIRI on Unsplash

Teg:

Anda mungkin juga berminat...