arrow_upward

Jamadilawal/Jamadilakhir
Isu 02-2

Kenali jenis-jenis bunga

Hai kawan-kawan!

Kali ini Manjazilla dan Munchkin hendak mengongsi satu aplikasi yang sangat membantu kami untuk mengenali sesuatu hanya melalui gambar. Tidak kiralah, gambar bangunan, tanam-tanaman, permainan… apa-apa gambar pun boleh.  

Aplikasi Google Lens boleh dimuat turun ke peranti kawan-kawan secara percuma dan mudah sahaja untuk digunakan. Kawan-kawan boleh menggunakannya semasa kawan-kawan sedang berjalan, umpamanya apabila sedang melancong dan hendak mengenali sesuatu bangunan. Dari aplikasi ini, tujukan lensa kamera peranti kawan-kawan ke arah benda yang kawan-kawan mahukan maklumat tentangnya, kemudian klik butang bergambar kanta lensa di tengah-tengah Google Lens tersebut. Serta-merta kawan-kawan akan disajikan dengan maklumat yang bersangkut-paut dengan gambar yang dipetik.

Kawan-kawan juga boleh cari maklumat tentang gambar-gambar yang dipetik dan disimpan sebelumnya. Tekan sahaja butang di sebelah kiri aplikasi, beri kebenaran untuk aplikasi itu akses gambar dalam peranti, kemudian pilih gambar yang kawan-kawan perlukan maklumat tentangnya. Mudah sahaja!

Pun begitu, susah juga kadang-kala untuk pastikan maklumat mana lebih tepat. Munchkin teruja untuk mengetahui nama-nama bunga dari gambar-gambar yang kami telah kumpulkan. Di sini kami kongsi maklumat tersebut. Kalau silap, minta maaf ya! Apapun, nikmatilah keindahan bunga-bunga yang pelbagai dalam tayangan di bawah. Selamat menonton!

“Siapakah yang telah menciptakan langit dan bumi dan menurunkan untuk kamu air dari langit, lalu Kami tumbuhkan dengannya kebun-kebun yang mempunyai pemandangan indah, yang kamu tidak mampu menumbuhkan pohon-pohonnya? Apakah disamping Allah ada tuhan (yang lain)? Bahkan mereka adalah orang-orang yang menyimpang (dari kebenaran).”

(Q.S. An-Naml [27] : 60)

~Manjazilla & Munchkin~

Click icon ‘play’ untuk mulakan tayangan slaid

Sangat istimewa bunga ini… berbulu-bulu!

Nama: Bluemink / Ageratum houstonianum Lokasi asal: Kawasan subtropika Utara dan Selatan Amerika. Maklumat ringkas: Sering ditanam untuk menambahkan warna di taman.

Saya namakan ini bunga harimau.

Nama: Peruvian Lily / Alstroemeria Lokasi Asal: Amerika Selatan Maklumat ringkas: Boleh bertahan selama 2 minggu setelah dipetik dan sering dijadikan jambak bunga.

Lihat tangkainya (gambar bunga di belakang). Macam tiang lampu.

Nama: Bunch-flowered daffodil / Narcissus tazetta Lokasi Asal: Kawasan Mediterranean dari Portugal ke Turki Maklumat ringkas: Bunga yang membawa makna emas, perak dan kemewahan bagi kaum Cina. Ia bunga yang simbolik pada Tahun Baru Cina.

Cantiknya kelopak-kelopak bunga ni… macam gaun ballerina.

Nama: Fuchsia Hybrida Lokasi Asal: Dominican Republic Maklumat ringkas: Pokok bunga ini sensitif pada cuaca yang amat panas atau amat sejuk dan elok ditanam di tempat yang teduh. Angka kacukannya (hybrid) sangat banyak, tidak terkira.

Mula-mula ingat kupu-kupu, rupanya bunga!

Nama: Pelargonium Quercifolium Lokasi Asal: Afrika Selatan Maklumat ringkas: Selain ditanam sebagai hiasan, daun bunga ini berbau harum dan boleh digunakan sebagai bunga rampai untuk mewangikan rumah.

Bukan langit sahaja ada bintang, bumi pun ada bintang.

Nama: Springstar / Spring startflower Lokasi Asal: Argentina, Uruguay Maklumat ringkas: Tanaman ini berkaitan dengan pokok bawang. Oleh sebab itu daunnya ada bau-bau bawang.

Tidak sangka bunga ini dari pokok yang berbuah.

Nama: Pineapple guava / Feijoa Tree Lokasi Asal: Brazil, Argentina Maklumat ringkas: Bunganya boleh dimakan dan mempunyai rasa seperti gula-gula marshmallow. Buahnya mempunyai rasa seperti buah nenas dengan sedikit pudina.

Nampak macam bunga matahari tetapi ia ada namanya sendiri.

Nama: Orange coneflower / Rudbeckia fulgida Lokasi Asal: Amerika Utara Maklumat ringkas: Bunga ini sangat menarik pada lebah serta rama-rama dan sangat penting untuk pendebungaan.

Banyak betul bunga yang mempunyai lebih dari satu warna…

Nama: Horned pansy / Viola cornuta Lokasi Asal: Sepanyol Utara Maklumat ringkas: Pokoknya perlukan suhu yang rendah untuk tumbuh. Cantik untuk dijadikan hiasan pada kad.

Ini bunga, bukan buah ya!

Nama: Chinese Redbud / Cercis chinensis Lokasi Asal: China Maklumat ringkas: Menurut maklumat di internet, daunnya berbentuk hati. Tidak tahu kenapa ia tidak kelihatan dalam gambar ini.

Subhanallah! Indahnya alam ini dengan bermacam-macam bentuk dan warna bunga. Alhamdulillah, teknologi memudahkan kita untuk mengenal jenis bunga dan negara asalnya. Sekarang giliran kawan-kawan pula untuk mencuba Google Lens dengan gambar-gambar bunga ini. Cubalah!

Teg:

Anda mungkin juga berminat...