Sekiranya kau mati esok…
Kita selalu terkejar-kejar untuk mengimbangi masa. Terlalu banyak perkara yang menuntut kita meluangkan masa untuknya. Bagaimana hendak kita memilih apa yang patut dilakukan dahulu?
Senang sahaja, kata Cikgu Dodol. Setiap kali kamu dalam dilema, tanyalah pada diri. Sekiranya kamu mati esok, apakah yang kamu akan sesalkan kerana tidak sempat lakukan?
Teringat aku akan satu surah dari Al-Quran:
“Dan setiap yang bernyawa tidak akan mati kecuali dengan izin Allah, sebagai ketetapan yang telah ditentukan waktunya. Barangsiapa menghendaki pahala dunia, nescaya Kami berikan kepadanya pahala (dunia) itu, dan barangsiapa menghendaki pahala akhirat, Kami berikan (pula) kepadanya pahala (akhirat) itu, dan Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur.”
(Q.S. Ali Imran [3]: 145)
Ayat ini mengingatkanku, dalam memilih apa yang hendak aku lakukan saat ini, biarlah ia sesuatu yang boleh memberikan aku hasil bukan sahaja di dunia tetapi juga ganjaran di akhirat.
Kita selalu disuruh untuk mengingati mati. Namun, mengingati mati bukan setakat fikir fasal jenazah, kafan dan kubur. Mengingati mati bererti peka terhadap setiap apa yang kita lakukan, dengan kerisauan setiap masa, adakah apa yang kita buat akan dikira sebagai amalan baik atau sebaliknya. Mengingati mati bererti kita rasa kita sudah kesuntukan masa untuk mengumpul seberapa banyak pahala yang kita boleh, lalu kita berusaha untuk membuat lebih banyak lagi kebaikan dalam masa yang pendek itu. Mengingati mati bererti setiap apa yang kita lakukan, kita lakukan dengan harapan untuk mendapat keredaan Allah serta syurga di akhirat sana.
Soalan yang Cikgu Dodol ajukan terngiang-ngiang di telingaku. Sekiranya kamu mati esok, apakah yang kamu akan sesalkan kerana tidak sempat lakukannya?
Teruja juga aku untuk mengajukan soalan ini kepada kawan-kawanku yang lain.
“Hisy! Soalan jenis apa ni? Aku belum nak matilah!” Kalau ajal sudah sampai, adakah malaikat maut kisah kita sudah bersedia atau belum?

“Tak beri makan pada pakcik sebelah kedai mainan tu,” jawab Vermillion. Aku terkejut apabila tiba-tiba airmata mula berlinangan. Hmm… adalah amalan yang dia rasa rugi tidak lakukan tu…
“Tak ada apa-apa yang nak dikesalkan. Tak sabar sebenarnya nak jumpa semula ibu dan ayah.” Memanglah kita semua tidak sabar untuk bertemu orang tersayang di syurga, tetapi, sudah cukupkah amalan kita?
Ini lagi satu reaksi pelik. Cikgu Asam Pedas merenungku dengan renungan tajamnya yang cukup aku kenal. Kemudian dia membuang pandangan ke luar tingkap, tanpa mengucap satu patah perkataan pun. Aku akhirnya tinggalkan dia bersendirian dengan fikirannya.
Hmm… Daripada aku sibuk tentang hal orang lain, lebih baik aku risaukan tentang diri sendiri. Kalau aku mati esok, apakah yang aku kesalkan kerana tidak sempat lakukan? Hafal tiga puluh juzuk Al-Quran. Kecapi kekhusyukan dalam solat. Tinggalkan satu warisan yang boleh menghasilkan pahala berterusan walaupun setelah aku mati. Dan seterusnya dan seterusnya. Alamak! Banyaknya!
~Sang Harimau~