Pilihan anak atau ayah?
“Ayah kalau boleh nak tengok kamu jadi cikgu. Jadi cikgu tu kan pekerjaan yang mulia. Kongsi ilmu dengan anak-anak muda, dapat pahala dunia dan akhirat.”
Apabila anaknya menjadi seorang penulis yang tidak punyai gaji yang tetap, ayahnya kecewa.
“Tengok kakak saudara kamu tu. Bagus kan jadi doktor? Dapat tolong orang yang sakit, banyak pahala.”
Apabila anaknya memilih menjadi seorang jururawat, ibunya hampa.
“Tujuan Atuk bina syarikat ini ialah supaya Atuk dapat menolong orang-orang yang miskin untuk mampu memiliki rumah. Atuk harap kamu dapat ikut jejak Atuk.”
Apabila cucunya menjadi seorang pekerja sosial, datuknya putus asa.
Kadang-kala aku kasihan melihat anak muridku yang tersepit antara cita-cita sendiri dan kehendak ibu bapa. Memang aspirasi ibu bapa untuk anak-anak mereka mulia. Tetapi kenapa perlu kecewa apabila anak-anak mengecapi aspirasi yang mereka mahukan namun dengan cara mereka tersendiri? Mengikut minat dan apa yang mereka rasa bakat yang Allah telah anugerahkan kepada mereka?
Ada lebih daripada satu jalan untuk mengecapi kejayaan dalam hidup. Ayah yang pertama mahu anaknya mengongsi ilmu. Ikhlaskah ayahnya bercita-citakan sedemikian untuk anaknya? Bukankah seorang penulis juga mengongsi ilmu? Atau si ayah hanya mahu berbangga-bangga kerana mempunyai seorang anak yang memegang jawatan mulia? Atau mungkin si ayah hanya mahu anaknya menjejaki cita-cita yang dia sendiri tidak mampu mengecapi?
Samalah seperti ibu yang mahu anaknya menjadi doktor. Adakah dia benar-benar mahu anaknya tolong orang atau mahu anaknya punyai pangkat dan gaji seorang doktor? Si datuk pula, mahu cucu meneruskan legasinya atau memang mahu cucunya membantu orang miskin?
Adakah kita anggap anak kita amanah dari Tuhan yang perlu kita bentuk dan bimbing? Atau kita anggap yang anak-anak kita adalah penyambung hayat kita yang akan teruskan legasi kita apabila kita mati? Adakah anak kita cara untuk kita secara tidak langsung ‘hidup’ selama-lamanya?
Astaghfirullahala’zhim. Ingatlah wahai ibu bapa sekalian. Setiap jiwa akan merasai kematian. Tiada sesiapa yang boleh kekal hidup menerusi anak-anaknya. Walaupun benar amalan dan ilmu yang kita turunkan kepada anak kita akan memberikan pahala yang tidak putus selagi mana anak kita beramal dengannya, itu tidak bererti mereka tidak punya hak untuk menentukan jalan hidup mereka sendiri.
Daripada kita menyibukkan diri terhadap pilihan kerjaya anak kita, adalah lebih baik kita curahkan ilmu, masa dan tenaga kita untuk melengkapkan mereka dengan kecekalan, sifat amanah, keazaman kuat dan nilai-nilai murni yang lain. Perhatikan betul minat dan bakat yang Allah telah anugerahkan kepada mereka dan pupuklah minat dan bakat itu. Supaya apa juga kerjaya mereka akhirnya, mereka menjadi manusia yang ada harga.
~Cikgu Espresso~