Techie Qari: Souvenir dari Angkasa Lepas oleh Hassan Hasaa’ree Ali
Fiksyen sains yang ada unsur-unsur Islam. Itulah cerpen-cerpen yang terdapat pada bahagian terakhir antologi ini. Cerpen yang paling menarik minat saya ialah yang dipilih sebagai tajuk buku iaitu, ‘Souvenir dari angkasa lepas’. Ia tentang penemuan seorang saintis dan astronaut dengan makhluk asing. Makhluk asing itu memberi nasihat yang sangat penting untuk manusia. Sangat penting. Saya syorkan kawan-kawan mula bacaan dari situ.
Cerpen-cerpen lain dalam buku ini membincangkan isu-isu yang biasa dihadapi masyarakat Melayu seperti isu membuat majlis kahwin yang gah sehingga terpaksa bergadai dan ketaksuban menggunakan gajet.
Untuk pengetahuan kawan-kawan, penulis buku ini bekerja dalam bidang perubatan. Tidak hairanlah bahagian tengah buku ini mempunyai beberapa kisah menarik di sekitar hospital yang sangat menginsafkan. Saya pernah melihat ada yang menitis air mata membaca kisah-kisah tersebut.
Rata-rata semua cerpen dalam buku ini mempunyai nasihat. Bahasanya cukup ringkas dan mudah difahami, kecuali mungkin cerpen-cerpen sains fiksyennya yang ada menggunakan beberapa perkataan saintifik. Namun itu tidak menjejas pembaca untuk menikmati jalan ceritanya yang sangat unik dan menarik.
Pada mulanya, saya teragak-agak untuk menyarankan buku ini kerana terdapat beberapa kesilapan bahasa yang mungkin penulis dan penyunting terlepas pandang. Bukan kesalahan besar, lebih kepada kesalahan yang saya rasa tidak disengajakan. Namun, kerana cerpen sains fiksyennya begitu menarik, sayang pula jika buku ini tidak dikongsi sama. Apa pun, kawan-kawan pandai-pandailah sunting sendiri ya!