Solat tetap solat
Berat. Ituah aku rasakan. Berat untuk bangun dari katil membersihkan diri setiap hari. Berat untuk keluar dari pembaringan untuk makan. Berat untuk keluar dari bilikku untuk berjalan di bawah sinar matahari. Berat untuk aku melakukan apapun. Termasuklah solat. Bisikan syaitan menghasutku untuk memikirkan, semuanya tidak bermakna. Apa gunanya? Bukankah aku manusia yang tentu-tentu akan masuk neraka? Buat apa lakukan amalan yang tidak diterima kerana dilakukan dengan hati yang tidak rela?
Itulah perasaanku semasa dalam kemurungan.
Syukur kepada Allah s.w.t., betapa berat pun hatiku waktu itu untuk mendirikan solat, berat lagi untuk aku meninggalkannya walau untuk satu waktu. Meskipun hati diselubungi kemurungan, aku gagahkan juga diri untuk tetap melaksanakan solat. Tabiat yang ditanamkan semenjak kecil ini membantuku.
Dan aku amat bersyukur kerana berbuat demikian. Kerana solatlah, aku sentiasa sedar akan kewujudan Allah meskipun aku berada dalam kegelapan. Kerana solatlah aku dihalang daripada mencederakan atau membinasakan diriku sama sekali. Kerana solatlah, aku dapat keluar dari kemurungan yang panjang akhirnya. Bukankah Al-Quran telah menyatakan,
“Sesungguhnya manusia diciptakan bersifat keluh kesah. Apabila dia ditimpa kesusahan dia gelisah. Dan apabila dia mendapat kebaikan dia amat kikir. Kecuali orang-orang yang mengerjakan solat, yang mereka itu tetap mengerjakan solatnya.”
(Q.S. Al-Maa’rij [70]: 19-23)
Kini, aku amat menghargai masa-masa aku berhubung dengan Allah SWT. Aku berusaha untuk menggantikan perasaan malas dan beratku kepada perasaan yang boleh membantuku untuk mengkhusyukkan diri dalam solat. Al-Quran menjadi pendampingku. Aku yakin, khusyuk akan datang sekiranya aku membaca, memahami, menghafal dan menghayati ayat-ayat Al-Quran sehingga ia memberi kesan kepada hatiku, seperti yang disebut di dalam Al-Quran,
“Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyuk hati mereka mengingati Allah dan mematuhi kebenaran (Al-Quran) yang diturunkan (kepada mereka)? Dan janganlah pula mereka menjadi seperti orang-orang yang telah diberikan Kitab sebelum mereka, setelah orang-orang itu melalui masa yang panjang maka hati mereka menjadi keras dan banyak di antaranya orang-orang yang fasik.”
(Q.S. Al-Hadiid [57]: 16)
Khusyuk di hati terkait dengan perasaan. Antara perasaan yang boleh menimbulkan kekhusyukan ialah takut dan harap.
Takut dan harap
Keyakinan pada Hari Akhirat juga menimbulkan rasa takut dan harap kepada Allah s.w.t.. Takut akan azab pedih dalam neraka-Nya. Namun enggan berputus harap yang Allah akan mengasihaniku dan akan memasukkan juga aku ke dalam syurga meskipun amalanku tidak mencukupi. Allah Maha Pengasih (الرحمن) lagi Maha Penyayang (الرحيم). Maha Kuasa (العزيز) lagi Maha Pengampun (الغفًّار).
Perasaan takut dan penuh pengharapan jugalah yang diceritakan tentang Nabi Zakariya dan isterinya, yang disifatkan sebagai orang-orang yang khusyuk, ketika mereka berdoa kepada Allah s.w.t..
“Maka kami kabulkan (doa)nya, dan Kami anugerahkan kepadanya Yahya, dan Kami jadikan isterinya (dapat mengandung). Sungguh, mereka selalu bersegera dalam (mengerjakan) kebaikan, dan mereka berdoa kepada Kami dengan penuh harap dan takut. Dan mereka orang-orang yang khusyuk kepada Kami.”
(Q.S. Al-Anbiyaa’ [21]: 90)
Di dalam solat terdapat banyak doa-doa yang penting. Aku cuba hadirkan perasaan mengharap serta takut setiap kali aku membaca doa-doa tersebut dalam solatku.
Penuh kehambaan
Bertafakkur dan melihat langit biru yang tidak bertiang, bumi yang luas terbentang, gunung yang tinggi tiada tandingan mengingatkan aku tentang kehebatan Allah, Maha Pemilik Kebesaran dan Kemuliaan (ذوالجلال والإكرام). Inilah satu lagi cara yang dapat menambahkan lagi rasa kehambaanku pada Yang Maha Agung (العظيم). Di dalam Al-Quran sendiri banyak ayat yang menyuruh manusia merenungi alam.
“Maka tidakkah mereka perhatikan akan langit yang ada di atas mereka, bagaimana Kami membinanya dan menghiasinya dan tidak ada padanya keretakan sedikitpun? Dan Kami hamparkan bumi dan Kami letakkan/pacakkan padanya gunung-gunung yang kukuh dan Kami tumbuhkan padanya segala macam tanaman yang indah. Untuk menjadi perhatian dan peringatan bagi setiap hamba yang kembali (kepada Allah).”
(Q.S. Qaf [50]: 6-8)
Aku berusaha merendahkan diri di hadapan Allah s.w.t. kerana Dialah Yang Maha Besar (العزيز) lagi Maha Perkasa (الجبار). Apa yang aku ada – harta, keluarga, tenaga, hanya pinjam dari-Nya. Dialah Yang Maha Menentukan (المقتدر), menetapkan rezekiku, jodohku, perjalanan hidupku dan kesudahan hayatku. Aku hanya mampu berusaha, tetapi segala-galanya bergantung kepada-Nya. Betapa kerdil-Nya aku di hadapan Raja Yang Sebenar (الملك الحقّ) alam ini dan seluruh isinya, termasuklah aku.
Ghairah untuk berhubung dengan Allah
Tiada yang lebih menghairahkan manusia untuk menemui seseorang melainkan rasa cinta. Maka cinta pada Allah-lah yang akan membuatkan seorang hamba ghairah untuk berhubung dengan-Nya. Cinta semakin mendalam mengingati luasnya rahmat-Nya, banyaknya nikmat-Nya dan besarnya pengampun-Nya. Kerana Allah Maha Pemberi (الوهاب), Maha Luas (pemberian-Nya) (الواسع). Tetapi kalau tak kenal, maka tak cinta. Sedikit demi sedikit, aku belajar mengenali Allah, bermula dengan asmaul husna.
Hadirkan hati
Pun begitu, aku sedar, kewajipan solat tidak bergantung kepada perasaanku sewaktu hendak mendirikan solat. Sebaliknya, walau apapun perasaanku, solat tetap solat.
Aku akui, bukan mudah untuk mengkhusyukkan hatiku sepanjang masa dalam solatku. Imanku masih lemah. Untuk memperbaiki kekhusyukan dalam solatku, aku perlu terus berlatih untuk menambahkan keyakinan terhadap Hari Akhirat dan menghadirkan rasa cinta, rendah diri, takut dan harap di dalam hatiku. Perjalanan solatku masih jauh.
~Q~