arrow_upward

Ramadhan/Syawal
Isu 03-5

Quranic: Quran dan Bahasa Arab oleh BusyPeople

Sudah jadi kebiasaan generasi sekarang untuk mencari aplikasi bagi memudahkan setiap aspek dalam kehidupan, termasuklah dalam pembelajaran. Justeru, tidak hairanlah jika ada pelajar yang bertanyakan tentang aplikasi yang boleh membantu mereka menghafal makna kalimah-kalimah dalam Al-Quran.

Memang benar, mempelbagaikan cara mengingati atau mempelajari sesuatu meningkatkan kemungkinan pelajaran itu tersimpan dalam ingatan jangka panjang (long term memory). Satu aplikasi telefon bijak Android yang boleh menambahkan lagi keseronokan para pelajar mempelajari makna kalimah-kalimah dalam Al-Quran ialah Quranic oleh BusyPeople. Aplikasi ini menawarkan makna kalimah-kalimah Al-Quran dalam lapan bahasa termasuk Bahasa Melayu, Inggeris, Indonesia dan Urdu.

Sebaik sahaja seorang pelajar memuat-turun dan membuka aplikasi ini, dia akan diminta mendaftar dan log masuk serta memberikan beberapa butiran peribadi. Pelajar juga akan diberi pilihan untuk mengaktifkan notifikasi untuk belajar setiap hari.

Terdapat beberapa bahagian dalam aplikasi ini. Laman utama menunjukkan kisah-kisah atau surah-surah yang akan dipelajari. Hanya perlu klik surah tersebut untuk mulakan pembelajaran. Terdapat juga bahagian ‘Amalan’ untuk mengulangkaji. Mereka yang perlu dorongan boleh berlumba-lumba dan membandingkan kedudukan pembelajaran mereka dengan rakan-rakan lain.

Jangan terkejut jika mendapati pembelajaran tidak mengikut susunan surah atau juzuk yang sudah kita maklum dalam Al-Quran. Ini sebenarnya membuat pembelajaran lebih menarik dan Cikgu yakin ia juga mengukuhkan lagi apa yang dipelajari dalam minda para pelajar.

Format pelajaran mudah sahaja. Umpamanya, apabila diklik surah Maryam, satu ayat dari surah tersebut akan dipaparkan. Klik perkataan yang bergaris putus-putus dan pelajar akan lihat maknanya serta mendengar perkataan itu dibaca. Setelah itu, pelajar perlu padankan setiap perkataan yang berwarna biru dengan makna perkataan tersebut.

Jika berjaya, beberapa kuiz susulan tentang perkataan-perkataan yang dipelajari akan diberikan. Perkataan-perkataan di peringkat ini amat mudah. Cikgu puji pembuat aplikasi ini, kerana bentuk kuiznya yang pelbagai, dan perletakkan kalimah yang sama dalam konteks ayat yang berbeza. Cikgu percaya ini akan mengukuhkan lagi hafalan seseorang itu.

Selain pelajaran dan kuiz kosa kata dari Al-Quran, pelajar juga akan dihidangkan dengan kisah yang berkaitan dengan tema yang sedang dipelajari.

Setelah mempelajari sesuatu perkataan, pelajar boleh mengulangkajinya pada bila-bila masa dalam bentuk kad imbasan (flashcards). Klik sahaja ikon kepingan suai gambar (jigsaw) dan pergi ke ‘Perkataan Saya’.

Aplikasi ini boleh dimain tanpa pembayaran tetapi ada hadnya. Satu pelajaran (antara 5 hingga 10 perkataan) mengambil kira-kira lima minit. Selepas itu pelajar perlu menunggu 12 jam lagi sebelum boleh ke pelajaran seterusnya. Jika tidak mahu menunggu, pelajar perlu kongsi aplikasi ini atau membeli versi Pro. Yang bagusnya, aplikasi ini tiada iklan pada masa artikel ini ditulis.

Aplikasi ini mudah digunakan, dengan rekabentuk yang cantik dan berwarna-warni. Bagi pelajar yang ingin mengukuhkan lagi ingatan kosa kata dari Al-Quran, aplikasi ini boleh mempelbagaikan dan memudahkan lagi perjalanan hafalan. Pun begitu, ada beberapa kesalahan yang mungkin pembuat aplikasi ini terlepas pandang. Beberapa kalimah Arab yang mempunyai pelbagai makna juga boleh mengelirukan mereka yang masih belum mahir dalam bahasa Arab. Justeru, mempunyai seorang guru bahasa Arab untuk dirujuk tetap diperlukan di samping penggunaan aplikasi ini.

~Cikgu Dodol~

Teg:

Anda mungkin juga berminat...