Permainan Membina Tumpuan
Sudah menjadi kebiasaan apabila kita sedang menunggu atau ada waktu senggang, kita akan mencapai telefon bijak kita. Sambil beratur menunggu giliran, ketika berada di dalam bas, sementara menanti makanan disajikan di restoran, pasti mata tertumpu pada skrin telefon.
Untuk mencapai matlamat mengurangkan penggunaan dan kebergantungan pada telefon bijak (serta kesan-kesan negatif yang bersangkutan), apa kata kawan-kawan cuba permainan-permainan di bawah ini yang boleh membina daya untuk memberi tumpuan dan menajamkan deria kita? Tidak perlu apa-apa peralatan pun! Hanya perlukan imaginasi kawan-kawan.
Apa bunyi itu?
Boleh dilakukan sendirian atau bersama beberapa orang.
Sambil berjalan cuba dengarkan bunyi-bunyi yang ada di sekeliling. Jika tidak bersendirian, katakan, “Saya boleh dengar_____” kemudian tunggu sehingga semua yang ada bersama awak mendengar bunyi itu juga. Bergilir-gilir menyatakan apa yang awak dengar. Permainan ini melatih kita untuk mendengar dengan teliti. Ia amat sesuai apabila sedang berjalan-jalan bersama kawan-kawan atau keluarga.
Laporan Jenayah
Boleh dilakukan sendirian atau bersama beberapa orang.
Kononnya sebuah jenayah telah berlaku di mana awak berada dan awak ditemuduga wartawan. Perhatikan keadaan sekeliling dan cuba ingat apa yang boleh. Siapa yang ada di situ? Apa yang mereka pakai? Apa yang mereka buat? Riak wajah dan sikap mereka? Apa yang mereka bualkan dan apakah intonasi mereka? Bagaimana suasana di situ?
Setelah awak keluar dari tempat tersebut, tukar pandangan tentang apa yang awak perhatikan dengan sesiapa yang berada bersama awak ketika itu.
Teka ayat ini
Perlukan sekurang-kurangnya dua orang.
Fikirkan satu ayat, kemudian tulis hurufnya satu persatu pada belakang badan kawan awak. Kawan awak harus teka apa ayat itu. Kalau hendak lebih mencabar, campur-adukkan huruf besar dan huruf kecil. Bagus untuk menajamkan deria sentuhan dan daya tumpuan.
Saya dan abang saya juga suka mencipta permainan-permainan kami sendiri. Kami sering bermain dalam perjalanan ke kampung atuk yang memakan masa yang lama.
Siapa mereka?
Boleh dilakukan sendirian atau bersama beberapa orang.
Pilih sebuah kereta dan reka cerita mengenai pemandu dan penumpangnya. Perhatikan perkara-perkara yang boleh memberi idea, seperti cara mereka berpakaian, barang-barang yang ada dalam kereta, jenis kereta dan sebagainya. Umpamanya, apabila melihat seorang lelaki yang berseorangan dalam sebuah kereta mewah, ceritanya begini, “Dia seorang ahli korporat yang baru sahaja habis bermain golf dengan orang-orang ternama. Kini dalam perjalanan ke satu lagi mesyuarat penting. Sebab itu dia asyik melihat jam tangannya. Dia menggantung jaket yang dia pakai di belakang kerana tidak mahu ia ronyok….”
Permainan ini juga boleh diubah suai mengikut tempat. Umpamanya, jika sedang menunggu makanan di restoran, pilih satu meja dan buatlah cerita tentang mereka. (Tetapi hati-hati, jangan sampai mereka dengar, takut mereka salah anggap pula!)
Kira benda itu
Boleh dilakukan sendirian atau bersama beberapa orang.
Pilih sesuatu benda yang pasti awak akan lihat banyak kali dalam perjalanan. Umpamanya, sejenis model kereta. Atau pilih satu abjad. Saya dan abang saya sering bermain permainan ini dengan mengira lampu lap-lip semasa berjalan raya. Siapa yang kira paling banyak, dia yang menang.
Berpantun-pantun
Perlukan sekurang-kurangnya dua orang
Jual dan beli pantun antara satu sama lain. Tidak perlu ikut peraturan yang terlalu canggih, asalkan bunyinya sesuai, bolehkan sahaja. Kadang-kala ibu kami pun turut bermain!
Banyak sebenarnya yang boleh kita lakukan tanpa menggunakan telefon bimbit. Kawan-kawan hanya perlukan imaginasi kawan-kawan sahaja. Selamat bermain!
~Sang Harimau~
Rujukan
Sher, B. (2006). Attention games: 101 fun, easy games that help kids learn to focus. John Wiley & Sons.