Perbaharui solat kita
Berapa ramaikah di antara kita yang solat tetapi tidak khusyuk? Apakah usaha kita untuk menangani masalah ini? Sudahkah kita mengkaji berpuluh-puluh buku tentangnya? Sudahkah kita latih diri kita sebagaimana seorang pemain tenis atau pelari pecut berlatih? Sudahkah kita membuat perancangan yang teliti, sebagaimana kita membuat perancangan teliti dalam aspek lain dalam kehidupan kita? Tidakkah kita mahu menjadi seperti orang-orang beruntung seperti yang diceritakan di dalam Al-Quran,
“Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman. (iaitu) orang-orang yang khusyuk dalam solatnya.”
(Q.S. Al-Mu’minuun[23] : 1-2)
Namun, sebelum kita fikirkan cara-cara untuk khusyuk dalam solat, perlulah kita fahami erti khusyuk itu sendiri.
Menurut Pahrol Mohamad Juoi,
khusyuk bermaksud akur, tunduk atau patuh. Solat yang khusyuk tercapai apabila hati, fikiran, perasaan dan seluruh pancaindera tunduk patuh kepada Allah SWT sepanjang waktu mengerjakan solat.
Solat bukan hanya pergerakan fizikal. Khusyuk dalam solat boleh dibahagikan kepada tiga aspek – khusyuk dengan pergerakan, khusyuk dengan minda dan khusyuk dengan hati.
Khusyuk dengan pergerakan
Khusyuk dengan pergerakan ialah dengan tidak membuat pergerakan yang bukan termasuk rukun atau sunat solat. Umpamanya, jangan gosok-gosok janggut atau garu-garu anggota badan.
Namun, khusyuk dari segi pergerakan bukan setakat mendisiplinkan diri untuk tidak bergerak selain yang sepatutnya. Ia juga memerlukan kita menghayati setiap pergerakan itu sendiri. Umpamanya, apabila kita sujud, kita mengucapkan, “Subahana rabbiyal ‘ala wabihamdih,” yang bermaksud, “Maha Suci Tuhanku Yang Maha Tinggi dan dengan sifat kepujian-Nya.” Kita merendahkan diri kita serendah-rendahnya dengan rasa pasrah dan penuh kehambaan di hadapan Allah SWT sambil bertasbih memuji ketinggian-Nya.
Begitulah juga apabila kita rukuk, kita duduk, kita berdiri. Setiap pergerakan ada maknanya yang tersendiri yang patut dihayati.
Khusyuk dengan minda
Khusyuk dengan minda pula adalah apabila seluruh perhatian kita ditumpukan hanya pada Allah SWT. Sebagaimana kita fokus pada guru semasa dalam kelas atau fokus pada ketua semasa dalam mesyuarat, kita juga perlu fokus kepada komunikasi kita dengan Tuhan ketika dalam solat. Jangan biarkan fikiran kita menerawang ke tempat lain. Fahami apa yang kita baca sambil menghargai dan memaklumi kebesaran dan keagungan Allah SWT.
Khuyuk dengan hati
Khusyuk dalam solat juga bermakna menghadirkan hati ketika solat. Apabila kita menghayati makna di sebalik kalimah-kalimah suci dan pergerakan solat, kita perlu rasa yang kita benar-benar hamba di hadapan Allah Yang Menciptakan kita. Perlu ada rasa cinta, rendah diri, takut dan penuh pengharapan. Tidak cukup setakat mengetahui dalam akal sahaja, hati pun patut rasa terkesan semasa kita mendirikan solat.
Rancang solat kita
Sudah tiba masanya kita mengambil langkah yang lebih tersusun dan terus bermujahadah untuk mengkhusyukkan solat kita tanpa putus asa. Ayuh, bersama-samalah dengan pasukan rihlah dalam perjalanan kami mencari jawapan bagaimana hendak mengkhusyukkan solat. Mudah-mudahan, Allah akan membalas usaha kita yang ikhlas.
Jom perbaharui solat kita!
Rujukan
Pahrol Mohamad Juoi (2021). Rehatkan hati dengan solat (Cetakan Kelima). Iman Publication.