arrow_upward

Muharram/Safar
Isu 04-1

Orang Melayu Cape

Islam datang ke Cape Town menerusi hamba-hamba Muslim yang dibawa oleh penjajah Belanda dari Nusantara. Antara hamba yang dibawa adalah orang-orang bangsawan yang menentang penjajahan Belanda di Indonesia. Salah seorang daripada mereka ialah Syeikh Yusuf yang cukup berpengaruh dan mempunyai pengikut yang ramai. Meskipun diseksa dan disekat daripada mengamalkan budaya sendiri ataupun bertutur dalam bahasa sendiri, para hamba ini sedaya upaya cuba mempertahankan agama dan budaya asal mereka. Ramai hamba-hamba Muslim ini ditempatkan di kawasan yang kini dikenali sebagai Bo Kaap.   

Jika anda ingin mempelajari lebih lanjut tentang warisan Melayu Islam di Bo Kaap, kunjungilah Muzium Izikio yang terdapat di Bo Kaap. Penduduk Muslim kini kurang daripada lima peratus di Cape Town. Walaupun orang Melayu di Cape Town tidak lagi tahu bertutur dalam bahasa Melayu, beberapa perkataan Melayu masih digunakan, terutamanya perkataan yang berkenaan agama. Beberapa adat Melayu juga masih kekal di kalangan penduduk Melayu di sini, seperti bersalam-salaman, mengadakan kenduri kesyukuran, maulud atau majlis perkahwinan. Ada juga yang masih kekalkan masakan, perhiasan dan pakaian Melayu.

Masjid Al-Azhar
Masjid Al-Azhar

Satu ciri yang begitu menarik tentang kawasan Bo Kaap ini ialah rumah-rumah mereka yang begitu berwarna-warni. Baru-baru ini, Bo Kaap menjadi sebutan apabila banyak rumah-rumah di kawasan tersebut dicat dengan gambar dan kata-kata yang menunjukkan keprihatinan dan sokongan orang-orang Bo Kaap terhadap saudara se-Islam mereka yang tertindas di Palestin. Tidak terkecuali ialah Masjid Al-Azhar ini.

Di sinilah juga Masjid Auwal, masjid pertama di kawasan ini, masih ada. Sempat kami solat maghrib di masjid yang usang tetapi masih teguh berdiri ini. Kami sempat makan di Restoran Biesmiellah, sebuah restoran yang terkenal dengan hidangan makanan Melayu Cape (walaupun tidak kami kaitkan dengan makanan Melayu Nusantara). Bo Kaap adalah kawasan yang semestinya dikunjungi pelancong dari daerah Nusantara.

Masjid Auwal di waktu Maghrib
Masjid Auwal – masjid pertama di Cape Town

~Penulis Jemputan~

Rujukan

Fadhli Rusydi Fadzil. (2023, 24 June). Kembara Ilmu ke Cape Town selongkar identiti ‘Melayu’. Berita Mediacorp. https://berita.mediacorp.sg/nadi-kampus/kembara-ilmu-ke-cape-town-selongkar-identiti-melayu-765531

Norliza Abdullah. (2015, November 23). Budaya Melayu mekar di Cape Town. Berita Harian. https://www.bharian.com.my/bhplus-old/2015/11/99192/budaya-melayu-mekar-di-cape-town

Wan Hashim & Hanapi Dollah. (2010). Melayu Cape di Afrika Selatan. Dewan Bahasa Pustaka.

Teg:

Anda mungkin juga berminat...