Morabaraba
Setiap bangsa pasti ada permainan tradisional tersendiri. Salah satu permainan tradisional Afrika Selatan ialah Morabaraba, sejenis permainan papan. Permainan ini dipercayai bermula beribu tahun dahulu menggunakan garisan di tanah dan batu pelbagai warna untuk mengajar anak muda strategi mengembala lembu. Permainan ini telah diambil oleh negara barat dan dinamakan semula sebagai ‘Eleven Men’s Morris.’ Papannya kelihatan seperti ini:
Permainan ini dimain dua orang. Setiap pemain mempunyai 12 biji.
Peringkat Pertama: Meletakkan Biji
Pemain akan meletakkan biji mereka secara bergilir-gilir di papan pada tempat kosong yang ditandakan. Sasarannya ialah untuk mendapatkan tiga biji dalam satu deretan. Satu deretan dinamakan ‘mill’.
Apabila seorang pemain berjaya mendapat satu dereten, dia boleh mengambil satu biji dari pihak lawannya, kecuali biji yang sudah berada dalam ‘mill’. Biji yang sudah diambil pihak lawan tidak boleh dimainkan lagi.
Jika dua deretan 3 terbentuk sekaligus, dia tetap hanya boleh mengambil satu biji dari pihak lawannya.


Peringkat Kedua: Menggerakkan Biji
Peringkat ini tercapai apabila kesemua dua puluh empat biji sudah dimainkan.

Setiap pemain perlu menggerakkan biji mereka ke mana-mana tempat kosong yang bersebelahan dengannya, mengikut garisan.
Sasarannya tetap sama: untuk membuat deretan 3, supaya boleh mengambil biji pihak lawan asalkan biji itu bukan dalam satu deretan ‘mill’.
Peringkat Ketiga: ‘Menerbangkan’ Biji
Apabila salah satu pemain hanya tinggal tiga biji di papan permainan, dia boleh ‘terbangkan’ bijinya ke mana-mana, tidak perlu lagi bergerak ke ruang bersebelahan.
Sesiapa yang hanya tinggal dua biji ataupun tidak lagi boleh bergerak, kalah.
Video ini memberikan penjelasan yang terperinci tentang permainan ini (maaf, tiada sarikata Melayu): https://www.youtube.com/watch?v=kjlFp13Lifc
Kalau kawan-kawan mahu cuba permainan ini, kawan-kawan boleh muat turun aplikasinya di sini:
https://play.google.com/store/apps/details?id=com.dzsoftware.morabaraba&hl=en_IE
Ataupun kawan-kawan boleh membuat permainan itu sendiri. Bukan susah hendak melukis rajah papannya dan cari biji-biji untuk memainkannya. Selamat bermain!
~Mat Saleh~