Mencintai Rasulullah s.a.w.
Kalau hendak cakap pasal cinta, tiada cinta yang lebih hebat daripada cinta Allah kepada Rasul-Nya.
Apabila Rasulullah s.a.w. dihina, Allah memujinya.
“Nun. Demi pena dan apa yang mereka tuliskan. Berkat nikmat Tuhanmu, kamu (Muhammad) bukanlah orang gila. Dan sesungguhnya kamu pasti mendapat pahala yang besar yang tidak putus-putus. Dan sesungguhnya kamu benar-benar, berbudi pekerti agung.”
(Q.S. Al-Qalam [68]: 1-4)
Apabila Rasulullah s.a.w. berduka, Allah menggembirakannya.
“Tuhanmu tidak meninggalkanmu (Muhammad) dan tidak (pula) membencimu. Dan sesungguhnya yang kemudian itu lebih baik bagimu daripada yang permulaan. Dan sesungguhnya, kelak Tuhanmu pasti memberikan kurnia-Nya kepadamu, sehingga kamu menjadi puas.”
(Q.S. Ad-Dhuha [93]: 3-5)
Hatta apabila isteri tersayangnya difitnah, Allah membersihkan namanya.
“Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita bohong itu dari golongan kamu (juga). Janganlah kamu mengira berita bohong itu buruk bagi kamu bahkan ia baik bagi kamu. Setiap orang dari mereka mendapat balasan dari dosa yang dibuatnya. Dan siapa di antara mereka yang mengambil bahagian terbesar (dalam penyiaran berita bohong itu), baginya azab yang besar.”
(Q.S. An-Nur [24]: 11)1
Maka apabila kita cinta pada Rasulullah s.a.w. ertinya kita cinta pada Allah, kerana Rasulullah s.a.w. adalah kekasih-Nya.
“Katakanlah (Muhammad), ‘Jika kamu mencintai Allah, maka ikutilah aku, nescaya Allah mencintaimu dan mengampuni dosa-dosamu.’ Dan Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang.”
(Q.S. Ali-Imran [3]:31)
Rasulullah s.a.w. juga banyak mengajar kita tentang cinta. Cinta terhadap kaum keluarga, sahabat, jiran – semuanya boleh kita contohi dari hidup baginda s.a.w.. Rasulullah s.a.w. menjalankan kehidupannya dengan sangat baik sehingga boleh menjadi teladan kepada kita dalam semua aspek kehidupan di dunia ini. Jika perlukan panduan bagaimana hendak menjadi seorang pemimpin yang baik, lihatlah pada Rasulullah s.a.w.. Jika hendak menjadi guru yang baik, contohi Rasulullah s.a.w.. Jika hendak menjadi bapa, datuk atau suami yang baik, ambillah iktibar dari Rasulullah s.a.w.. Jika mahu menjadi seorang hamba Allah yang baik, rujuklah pada Rasulullah s.a.w..
Bagaimana mungkin kita tidak terkesan setiap kali mendengar kisah-kisah Rasulullah s.a.w.? Setiap kisah menggambarkan peribadinya yang luhur, kemesraan serta kasih sayangnya, ketabahan dan keteguhan hatinya, kesabarannya yang tinggi, dan bermacam-macam lagi pedoman dan pengajaran bagi kita, umatnya. Sungguh, Rasulullah s.a.w. adalah insan yang sangat luarbiasa.
Tetapi yang paling luarbiasanya ialah cinta baginda s.a.w. kepada umatnya.
“Sesungguhnya telah datang kepadamu seorang rasul dari golonganmu sendiri, berat terasa olehnya penderitaanmu, (dia) sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, penyantun dan penyayang terhadap orang-orang yang beriman.”
(Q.S. At-Taubah [9]: 128)
Maka barangkali kamu (Muhammad) akan binasakan dirimu kerana bersedih hati setelah mereka berpaling, sekiranya mereka tidak beriman kepada keterangan ini (Al-Quran).
(Q.S. Al-Kahfi [18]: 6)
Apabila mendengar Rasulullah s.a.w. menyebut, “Umati, umati (Umatku, umatku)” di saat-saat akhir hayatnya, pasti rasa cinta akan hadir dalam jiwa. Kerana itulah tidak ada manusia yang lebih dicintai berjuta-juta manusia seperti cinta umatnya kepada baginda s.a.w.. Cinta kepada Rasulullah s.a.w. melangkaui masa dan benua. Baginda s.a.w. dicintai meskipun oleh mereka yang tidak pernah bersua muka dengannya.

Wahai Rasulullah s.a.w.,
Setiap kali kami membaca ayat-ayat Al-Quran yang menunjukkan cinta Allah kepadamu, kami semakin cinta.
Setiap kali kami mengetahui tentang kerisauanmu terhadap umatmu sehingga saat-saat akhirmu, kami rasa terharu.
Setiap kali kami mendengar kisah-kisah riwayat hidupmu, kami rindu.
Setiap kali kami bandingkan peribadimu dan kesabaranmu dengan diri kami, kami malu.
Setiap kali kami menyebut namamu, kami mohon untuk Allah memberikan selawat dan salam atasmu, dengan mengucapkan صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ .
Setiap kali kami mempelajari sunnahmu, kami berusaha sedaya upaya untuk mengikutmu.
Setiap kali mengenang perjuangan dan jasamu menyebarkan Islam, kami cuba untuk meneruskan perjuanganmu.
Itu sahaja yang kami mampu buat untukmu. Ia tidak mungkin cukup untuk membalas segala pengorbananmu untuk kami, ataupun menandingi cintamu kepada kami. Semoga kami dapat bertemumu dan mendapat syafaatmu di akhirat nanti. Amin.
~Techie Qari~
1 Allah menurunkan 10 ayat dalam surah An-Nur – dari ayat 11 hingga ayat 20 – untuk membersihkan nama Aisyah r.a..
Rujukan
Bayyinah Institute. (n.d.). The Trial of A’ishah. [Video]. Bayyinah TV Subscription.
Syihabudin Ahmad. (2012). Apa erti cinta. Must Read Sdn Bhd.
Yaqeen Institute. (n.d.). Meeting Muhammad s.a.w. presented by Dr Omar Suleiman. [YouTube playlist]. YouTube. Retrieved September 9, 2024, from https://www.youtube.com/playlist?list=PLQ02IYL5pmhHvZ02LKQVeey8H-2XBKMGb