Mencari keseimbangan
Muharram sudah tiba. Tahun baru. Azam baru. Mungkin salah satu azam kita tahun ini ialah untuk menjalani kehidupan yang lebih seimbang. Seimbang dalam memenuhi tuntutan di rumah dan sekolah atau tempat kerja. Seimbang dalam memenuhi keperluan jasmani dan rohani. Seimbang dalam mengejar kebahagiaan dunia dan akhirat.
Apabila kita fikirkan tentang pelbagai tanggungjawab yang kita ada terhadap diri kita, keluarga kita dan masyarakat sekeliling, kita boleh jadi tertekan. Rasa sesak. Terlalu banyak yang kita perlu dan ingin lakukan. Kadang-kala, semasa kita hendak tidur pun kita masih terbayang-bayang perkara-perkara yang tidak sempat diselesaikan pada hari itu. Terasa gagal mengimbangi masa untuk tunaikan segala tanggungjawab yang ada.
Bukan mudah untuk mencari keseimbangan dalam hidup. Dalam kita mengejar masa untuk melakukan tugas, jangan pula rasa bersalah untuk ambil masa berehat. Malah, antara rahmat Allah yang sering diingatkan di dalam Al-Quran ialah malam yang dijadikan untuk manusia berisitirahat.
“Katakanlah: ‘Terangkan kepadaku, jika Allah menjadikan untukmu siang itu terus-menerus sampai hari kiamat, siapakah Tuhan selain Allah yang akan mendatangkan malam kepadamu yang kamu beristirahat padanya? Maka apakah kamu tidak memperhatikan?’ ”
(Q.S. Al-Qashash[28]: 72)
“Allahlah yang menjadikan malam untuk kamu beristirahat padanya; dan menjadikan siang terang-benderang. Sesungguhnya Allah benar-benar mempunyai kurnia yang dilimpahkan atas manusia, akan tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur.”
(Q.S. Al-Mu’min[40]: 61)
Bolehkah kita bayangkan siang sepanjang hayat kita tanpa malam untuk kita tidur? Sang Pencipta lebih tahu tentang makhluk yang diciptaNya. Kajian menunjukkan bahawa rehat amat diperlukan untuk memberikan kita kesegaran dan kekuatan untuk terus menjalani kehidupan1. Oleh itu, daripada menonton TV, bermain komputer, melayan media sosial atau berborak hingga ke tengah malam, lebih elok kalau kita syukuri nikmat yang Allah berikan kepada kita dengan memanfaatkan malam untuk tidur.
Bagi mereka yang mempunyai kesukaran tidur awal, satu saranan untuk memudahkan kita tidur ialah untuk tidak melihat skrin komputer atau telefon bimbit sekurang-kurangnya dua jam sebelum tidur2. Para pelajar juga menyarankan untuk membaca buku teks sebelum tidur. Pasti terlelap dalam masa lima minit! Kalau terbangun di tengah malam kerana tidur awal, manfaatkan peluang itu untuk bertahajjud.
Pengurusan masa hanya satu aspek yang boleh kita bincangkan apabila bercakap mengenai keseimbangan. Ada banyak lagi aspek yang berkaitan dengan keseimbangan yang akan kami ketengahkan dalam isu kali ini. Kami mulakan dengan sebuah pencerahan tentang keseimbangan yang sudah ada secara fitrah dalam setiap insan. Kemudian kami kongsi pengalaman mencari keseimbangan dalam hidup melalui hiburan. Setelah itu, kita dengar luahan seorang pelajar tentang mencari keseimbangan di dalam menimba ilmu.
Diharap isu kali ini akan dapat membantu usaha kita mengecapai keseimbangan dalam pelbagai aspek kehidupan.
~Editor~
1 Pang, Alex Soojung-Kim. (2016). Rest: Why you get more done when you work less. Basic Books.
2 Sherman, L. (2022, January 3). Tired of being a night owl? 9 steps to stop staying up so late. Healthline. https://www.healthline.com/health/sleep/how-can-i-stop-staying-up-late#no-screen-time-before-bed